The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Buku Teks Digital PPKI SMKPT, 2022-07-15 17:05:58

MODUL LATIHAN GURU

PPI

iii. Penglihatan Terhad (Rabun) Teruk

Murid yang mengalami masalah ini, masih menggunakan penglihatan mereka
untuk membaca. Secara amnya, bahan cetakan yang diadaptasi mengikut
keperluan khas individu amat membantu dalam aktiviti literasi mereka. Murid
penglihatan terhad teruk turut dikenali sebagai kategori B3. Kategori B3
adalah klasifikasi bagi mereka yang masih mempunyai separa penglihatan
dengan ketajaman penglihatan lebih baik dari 20/600 dan boleh melihat objek
sedekat 20/200 dan/atau medan penglihatan lebih baik dari 5 darjah tetapi
kurang dari 20 darjah. Anggaran penglihatan berfungsi bagi kategori ini adalah
kira-kira 10% dan boleh mengenal bentuk tangan dengan bantuan cermin
mata. Jarak membaca teks adalah sejauh 10 sentimeter atau 3.9 inci.

iv. Buta atau Kurang Upaya Penglihatan di Sebelah Mata

Bagi kecacatan kategori B4 yang hanya digunakan di beberapa buah negara
maju, diklasifikasikan sebagai mempunyai ketajaman penglihatan lebih baik
dari 20/200, ketajaman penglihatan boleh mencecah 20/70 dan medan
penglihatan yang lebih daripada 20 darjah. Lazimnya melibatkan individu yang
mengalami masalah penglihatan di sebelah mata dan kategori ini masih boleh
membaca cetakan biasa dengan bantuan cermin mata.

Tanda-tanda Murid Kurang Upaya Penglihatan

i. Ciri Fizikal Mata:
 mata merah yang kronik
 sangat sensitif kepada cahaya
 inflamasi yang teruk pada pelupuk mata
 mata berair dengan teruk
 anak mata berwarna putih
 mata kelihatan normal tetapi tidak bertindak balas terhadap
persekitaran
 tidak berupaya mengesan objek dengan mata walaupun pada
jarak dekat

ii. Perlakuan
 kerap menggosok mata
 mengecilkan dan mengedipkan mata
49

 melihat objek dan membaca pada jarak dekat
 tidak berminat kepada aktiviti PdP yang berbentuk tulisan
 resah kecewa apabila melakukan aktiviti yang memerlukan

tumpuan penglihatan
 selalu terlanggar objek/benda ketika berjalan
 keliru dengan huruf yang dibaca
 kerap menukar jarak antara bahan bacaan dengan mata
 mempunyai tabiat menggeleng-gelengkan kepala
 suka menekan kelopak mata dengan jari

Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che Ahmad (2011) telah menyatakan
bahawa MBK penglihatan lazimnya akan mengalami masalah dalam
membina pengalaman, keupayaan untuk bergerak bebas dan interaksi
dengan alam persekitaran. Antara ciri dan limitasi murid bermasalah
penglihatan termasuklah:

i. Perkembangan Bahasa
a. Mengalami masalah bahasa pada peringkat awal sebelum tujuh
(7) tahun apabila perkembangan bahasa pada peringkat awal
literasi lebih tertumpu pada pengalaman visual dan bersifat
egosentrik.

jj. Keupayaan Intelek (IQ)
a. MBK penglihatan mempunyai keupayaan kognitif yang sama
seperti rakan sebaya yang lain sekiranya mereka tidak
mengalami masalah kognitif.

iv. Keupayaan Konseptual
a. Terdapat perbezaan yang ketara dalam aspek pemahaman
konsep visual. Keupayaan konseptual amat bergantung kepada
keadaan murid sama ada pernah mempunyai pengalaman
melihat ataupun murid tersebut telah mengalami masalah
kebutaan secara kongenital (sejak lahir).
b. Bergantung kepada deria lain untuk bertindak balas terhadap
rangsangan.

50

c. Amat menggemari aktiviti yang melibatkan pergerakan motor,
audio serta deria rangsangan yang lain.

v. Keadaan Fizikal dan Pergerakan/Mobiliti
a. Kebanyakan MBK penglihatan tidak mempunyai postur badan
yang betul, kelihatan kaku dan tegak apabila berdiri atau
berjalan.
b. Bergerak dengan perlahan kerana takut terlanggar objek di
sekeliling mereka.
c. Pada peringkat awal, kesedaran tentang ruang dan jarak perlu
diterapkan dalam sesi PdP bagi meningkatkan kemahiran untuk
menyesuaikan diri dengan persekitarannya.

v. Kemahiran Visual
a. Menggalakkan murid menggunakan sisa-sisa penglihatan yang
masih ada sepenuhnya dengan berkesan.
b. Latihan awal stimulasi visual dapat merangsang dan
meningkatkan perkembangan psikomotor dan perkembangan
kognitif.
c. Persekitaran dan peralatan yang sering digunakan oleh MBK
penglihatan boleh diadaptasi bagi membolehkan mereka melihat
dengan lebih jelas, contohnya mengawal pencahayaan atau
kontras warna, taktil dan saiz pada sesuatu objek.
d. Menyediakan pelbagai pengalaman sedia ada murid dengan
objek maujud.

vi. Deria Halangan (Obstacles sense)
a. MBK kurang upaya penglihatan sentiasa mengoptimumkan
penggunaan deria ransangan yang lain untuk memahami
perkara yang berlaku di sekeliling mereka.
b. Mereka amat sensitif terhadap perubahan-perubahan kecil
dalam persekitaran, iaitu menerusi gema berfrekuensi tinggi
atau nada ketika mereka mendekati sesuatu objek (Doppler
effect).

51

vii. Penyesuaian Sosial
a. Mudah berinteraksi dengan sesiapa sahaja, namun tidak
menguasai komunikasi seluruh dengan berkesan kerana tidak
dapat melihat ekspresi sosial seperti senyuman, mimik muka,
gerak badan dan sebagainya.
b. Kurang keyakinan diri apabila tidak dapat melibatkan diri dalam
semua aktiviti yang dijalankan.
c. Suka mencelah dalam suatu perbualan, dan tidak menyedari
telah menyinggung perasaan orang lain secara tidak langsung.
d. Memerlukan bantuan daripada orang di sekeliling untuk
melakukan sesuatu aktiviti apabila berada di tempat baharu.
Sebagai contoh, melintas jalan, mengambil makanan, membaca
apabila teks Braille tidak disediakan dan sebagainya.
e. Suka meniru gaya percakapan orang lain.

viii. Perlakuan Stereotaip
Pergerakan yang berulang-ulang seperti suka menggoyang-goyang
badan (body rocking), menggosok-gosok mata, menggeleng-geleng
kepala, menepuk-nepuk tangan, mengetuk-ngetuk meja dan
seumpamanya.

Pendekatan PdP Spesifik
a. Sebelum memulakan sesi PdP bagi MBK penglihatan, guru perlu mempunyai
kefahaman tentang gaya pembelajaran murid melalui maklumat;
 Latar belakang dan budaya belajar
 Kategori dan tahap ketidakupayaan penglihatan
 Tahap kompetensi MBK menggunakan peralatan Braille
 Potensi, bakat dan minat MBK
 Keberdikarian murid dalam orientasi dan mobiliti

b. Apabila bertemu dengan MBK kurang upaya penglihatan, guru seharusnya
memperkenalkan diri terlebih dahulu, kemudian menghulurkan tangan dan
menyentuh bahagian belakang tapak tangan murid tersebut sebagai tanda
menawarkan pertolongan kepada mereka untuk bergerak.

52

Rajah 7 : Sentuh belakang tangan sebelum memberi bantuan
atau memperkenalkan diri

(Sumber: Buku Panduan Pengajaran dan Pembelajaran Kemahiran
Orientasi dan Mobiliti)

c. Menggunakan sukatan pelajaran yang sama dengan murid arus perdana.
d. Apabila mengulang arahan, gunakan ayat yang sama dan secara spesifik.

Elakkan penggunaan perkataan seperti “di sana‟ atau “di situ‟ kerana
memberi gambaran abstrak dan sukar difahami oleh MBK penglihatan.
e. Merancang aktiviti yang melibatkan rangsangan pembelajaran multi-sensori
seperti pendengaran, sentuhan dan bau.
f. Konsep visual dan ruang perlu diberi penjelasan yang lebih, seperti konsep
lebih terang, lebih gelap, dekat atau lebih jauh serta sempit dan lebih luas.
g. Guru resos perlu mengubah suai bahan pembelajaran setelah diperoleh
daripada guru mata pelajaran mengikut keperluan murid, seperti tulisan yang
lebih besar atau warna kontras dengan latar belakang untuk murid rabun dan
grafik taktil serta bahan braille untuk murid buta.
h. Guru mata pelajaran perlu menyerahkan BBB (bertulis, rajah atau kertas
peperiksaan) lebih awal kepada guru resos untuk dipindah tulis dalam bentuk
tulisan braille dan rajah timbul.
i. Guru boleh mengamalkan tactile approach (sentuhan) bagi meningkatkan
rangsangan murid terhadap objek yang wujud di sekeliling mereka. Kemahiran
ini membolehkan murid mengenal bahan maujud menerusi sentuhan, dan
dikukuhkan dengan penjelasan.
j. Apabila memberitahu MBK kurang upaya penglihatan tentang arah, guru
seharusnya merujuk kepada kiri atau kanan murid tersebut. Penerangan
tentang jarak, klu, bau, bunyi serta tanda (landmark) amat berguna untuk

53

meningkatkan ingatan semasa menjalankan aktiviti orientasi dan pergerakan
di dalam kelas. Guru juga boleh menggunakan arah sistem muka jam (seperti
pukul 3 bermaksud kanan) dalam pelbagai aktiviti seperti ketika memberitahu
posisi makanan di pinggan dan kedudukan alat tulis di atas meja.
k. Pelibatan guru resos, guru pendidikan khas atau ibu bapa (melalui sarana ibu
bapa peringkat sekolah) boleh membantu proses PdP MBK penglihatan.
Kolaboratif dengan Pasukan Pelbagai Disiplin khususnya Terapis Carakerja
bagi mendapatkan khidmat sokongan berhubung dengan PdP mereka.
l. Menyediakan bahan cetakan Braille atau cetakan besar bagi sumber bahan
pembelajaran, ruang dan sudut pembelajaran khusus bagi MBK penglihatan.
m. Sebaiknya guru mempunyai pengetahuan untuk menggunakan peralatan
pendidikan khas seperti mesin Braille, kanta pembesar, komputer yang
dilengkapi dengan perisian pembaca skrin/command seperti Job Access with
Speech (JAWS), NonVisual Desktop Access (NVDA), Open Book, Zoom Text,
Duxburry dan seumpamanya bagi membolehkan MBK penglihatan
mengakses maklumat secara atas talian dan melakukan pembelajaran
kendiri.
n. Penggunaan bahan cetakan besar atau fon tulisan rumi serta alat bantuan
khas seperti kanta pembesar elektronik seperti Closed Circuit Television
System (CCTV) amat membantu murid dalam aktiviti literasi.

Mesin Braille Kanta Pembesar Closed Circuit Television
System(CCTV)

Rajah 8: Alat Sokongan PdP bagi Murid Kurang Upaya Penglihatan

54

3.3.4 Kurang Upaya Pendengaran
Kurang upaya pendengaran berlaku apabila deria pendengaran seseorang
terganggu atau terhalang daripada menerima atau mengamati sesuatu
bunyi, perbualan atau bisikan orang lain. Dengan erti kata, deria
pendengaran tidak boleh berfungsi untuk pendengaran biasa dalam
kehidupan seharian. Kurang upaya pendengaran menjadi penghalang
besar dalam mewujudkan perhubungan yang sempurna dengan orang lain.

Kurang upaya pendengaran boleh dikategorikan kepada dua keadaan
iaitu;

i. Kurang pendengaran (kehilangan pendengaran separa) atau
ii. Pekak (kehilangan pendengaran sepenuhnya)

Cabaran utama bagi MBK dalam kategori ini ialah kesukaran
berkomunikasi, keupayaan untuk bertutur dan mendengar bahasa
pertuturan. Mereka menghadapi kesukaran untuk menyampaikan apa yang
difikirkan atau yang ingin diperkatakan serta sukar memahami apa yang
diperkatakan oleh orang lain. Walaupun kebanyakan daripada MBK
pendengaran mempunyai tahap kecerdasan yang normal, tetapi mereka
sering terjejas dalam aspek sosial dan emosi. Ini memberi kesan yang
sangat signifikan terhadap pembelajaran mereka. Keupayaan pendengaran
seseorang murid bergantung kepada beberapa faktor, seperti;

i. Tahap kehilangan pendengaran:
 Ringan (Mild)
 Sederhana (Moderate)
 Teruk (Severe)
 Sangat teruk (Profound)

ii. Jenis kehilangan pendengaran bergantung kepada ketidakfungsian dan
halangan yang berlaku sama ada di telinga luar, tengah atau dalam.

iii. Kehilangan pendengaran kekal mahupun tidak tekal (fluctuating).

55

iv. Kehilangan pendengaran sama ada sebelah telinga (unilateral) atau
kedua-duanya sekali (bilateral).

v. Kehilangan pendengaran selepas memperoleh bahasa (acquired
hearing loss).

Kurang Upaya Pendengaran dengan Implan Koklea (Pacakan Koklea)

Murid yang mengalami kehilangan pendengaran pada peringkat sangat teruk
(profound) biasanya tidak akan memperoleh faedah daripada pemakaian Alat Bantu
Pendengaran (ABP). Murid kategori ini merupakan calon yang sesuai untuk
menjalani Implan Koklea.

Implan koklea merupakan alat elektronik yang ditanam di bawah kulit di belakang
telinga melalui pembedahan bagi membolehkan murid mendengar bunyi. Murid
dengan implan koklea perlu diinklusifkan bagi menggalakkan perkembangan bahasa
dan pertuturan mereka. Namun begitu, selepas dua hingga tiga minggu menjalani
pembedahan, pemulihan intensif yang melibatkan proses kemahiran mendengar dan
bertutur adalah kritikal dan sangat diperlukan. Guru perlu ambil maklum bahawa
murid yang telah menjalani pembedahan implan koklea tidak boleh terus
berkomunikasi secara lancar atau normal selepas pembedahan. Mereka
memerlukan masa dan bimbingan untuk menguasai kemahiran mendengar, dan
memperoleh kemahiran berbahasa dan berkomunikasi.

Pendekatan PdP Spesifik

a. Semasa PdP dijalankan guru seharusnya menggunakan pendekatan
komunikasi seluruh yang merangkumi komponen:
 Bahasa Lisan
 Mimik Muka
 Gerak Badan
 Isyarat Tangan
 Gerak Bibir
 Kiu Visual (gambar/lukisan)

56

Kesemua komponen ini perlu digunakan secara serentak apabila
berkomunikasi dengan murid.
b. Pengajaran dijalankan menggunakan sukatan yang sama dengan murid
arus perdana namun sebaik-baiknya kandungan pengajaran
dipermudahkan.

c. Bercakap atau memberi penerangan seperti biasa, tanpa meninggikan
suara.

d. Mengenal pasti tahap pendengaran murid melalui keputusan Audiogram
(Ujian Pendengaran) daripada maklumat yang diberikan oleh ibu bapa/guru
pendidikan khas/ahli audiologis yang memberikan sokongan kepada MBK.

e. Mengenal pasti keadaan telinga murid melalui pemerhatian cara murid
memalingkan kepala ke arah punca bunyi. Letakkan posisi kedudukan murid
mengikut telinga yang lebih baik atau dominan menghadap guru.

f. Meletakkan kedudukan MBK pendengaran mengikut susun atur di tengah
kelas.

g. Memastikan murid memakai ABP yang berfungsi dengan baik. Sekiranya
guru kurang mahir mengendalikan ABP murid, guru boleh meminta murid
memeriksa sendiri peralatan tersebut sebelum kelas bermula atau guru
memohon bantuan dengan menghubungi audiologis, guru pendidikan khas
pendengaran atau ibu bapa.

g. Tanda-tanda yang menunjukkan peralatan atau ABP tidak berfungsi
dengan baik adalah:
 Terdengar bunyi yang nyaring (whistling) daripada ABP
 Tiada bateri atau jangka hayat bateri habis
 Tiub penyambung dan acuan telinga (earmold) ABP retak atau
longgar.

57

h. Pelibatan guru pendamping, guru pendidikan khas atau ibu bapa (melalui
PIBK peringkat sekolah) membantu meningkatkan PdP murid khusus
sebagai penterjemah bahasa isyarat.

i. Pelbagai jenis bantuan teknologi seperti ABP, FM Unit/Sistem (Sistem
Frekuensi Modular yang merangkumi Transmitter untuk guru dan Receiver
untuk murid berfungsi menguatkan suara guru supaya dapat menyokong
PdP MBK pendengaran.

Alat Bantu Pendengaran FM Unit/ FM Sistem Koklea Implan

Rajah 9: Peralatan Sokongan Murid Kurang Upaya Pendengaran
3.3.5 Kurang Upaya Pelbagai (Multiple Disabilities (MD)

Kurang upaya pelbagai terdiri daripada mana-mana kombinasi ketidakupayaan
seperti yang dinyatakan dalam Kod Amalan Pendidikan MBK (2014), contohnya:

i. Kurang Upaya Pendengaran dan Kurang Upaya Penglihatan
ii. Kurang Upaya Penglihatan dan Masalah Pembelajaran (Autisme)
iii. Kurang Upaya Pendengaran dan Masalah Pembelajaran (ADHD)

58

Pendekatan Khusus PdP bagi MBK MD adalah seperti yang berikut:

a. Guru perlu memberi tumpuan kepada jenis ketidakupayaan yang lebih
dominan yang ada pada murid MD berkenaan terlebih dahulu. Ciri ini boleh
diperoleh melalui laporan kesihatan murid, perbincangan bersama-sama
guru pendidikan khas dan ibu bapa serta melalui pemerhatian guru sendiri.

b. Gunakan Komunikasi Tambahan atau Alternatif - Terdapat murid MD yang
mengalami masalah pertuturan dan komunikasi yang serius dan tidak dapat
menyampaikan keperluannya melalui lisan (verbal). Komunikasi tambahan
atau alternatif boleh digunakan seperti Bahasa Isyarat, Kod Braille, Finger
Spell, Tactile Sign, Morse Code, mimik muka, bahasa badan dan
seumpamanya.

c. Memendekkan arahan dan menggunakan kiu visual bagi memudahkan
proses pemahaman murid.

d. Rancang aktiviti PdP berfokuskan kepada minat murid MD. Gunakan
pendekatan pembelajaran kontekstual yang menghubung kait isi pelajaran
dengan keupayaan dan pengalaman sebenar serta bersesuaian dengan
umur kronologi murid MD.

e. Beri masa kepada murid MD untuk memproses maklumat dan memikirkan
respons kepada soalan yang diberikan.

f. Ulang arahan atau maklumat penting kepada murid MD.

g. Pastikan guru mengadap murid MD apabila memberi penerangan.

h. Beri bimbingan dengan menulis kata kunci kepada maklumat yang telah
diajar di dalam kelas kepada murid setiap kali tamat PdP.

59

j. Beri penekanan yang lebih terhadap aspek kandungan hasil tulisan murid,
berbanding tatabahasa.

k. Beri latihan atau tugasan secara berkala dan berperingkat mengikut tahap
murid MD.

l. Gunakan BBB yang bersifat maujud.

m. Beri galakan kepada rakan sekelas untuk membantu atau membimbing
murid MD. Beri peneguhan yang relevan dengan tingkah laku murid.

n. Guru pendamping, guru pendidikan khas atau ibu bapa (melalui PIBK
peringkat sekolah) boleh membantu PdP murid MD di dalam kelas. Individu
ini sebaik-baiknya merupakan orang yang memahami tentang murid MD.

o. Pembantu pengurusan murid (sekiranya ada PPKI) atau rakan sekelas boleh
membantu menjadi penulis kepada murid yang mengalami masalah
pergerakan dan masalah motor. Mereka boleh membantu mencatat
jawapan, idea dan pemikiran murid berkenaan.

p. Kerjasama yang kukuh antara ibu bapa dengan pihak sekolah amat
diperlukan bagi membolehkan kesinambungan pembelajaran berlaku di
rumah.

q. Penyediaan teknologi peralatan khas dalam bilik darjah seperti
Augmentative Alternative Communication (AAC) dan penggunakan Picture
Exchange Communication System (PECS), jadual visual dan kaedah
bercerita boleh meningkatkan interaksi sosial dua hala dan pemahaman
situasi sosial di dalam kelas.

60

r. Guru boleh merujuk kepada penggunaan sokongan khusus bagi MBK
kategori Masalah Pembelajaran yang lain.

3.3.6 PERKHIDMATAN SOKONGAN
Khidmat sokongan daripada pasukan pelbagai disiplin diperlukan untuk membentuk
matlamat sosial dan akademik bagi murid seperti:

Psikologi (Klinikal/Pendidikan)
 Melaksanakan ujian atau penilaian kognitif.
 Mengenal pasti dan membuat diagnosis ketidakupayaan kognitif dan
mental MBK.
 Melaksanakan intervensi berkaitan dengan pengurusan tingkah laku,
emosi dan sosial MBK.
 Memberikan khidmat nasihat kepada guru dan ibu bapa berkaitan
pengurusan emosi dan tingkah laku MBK.

Terapis Carakerja
 Membantu mengembangkan kemahiran fizikal melalui alatan
permainan dan bahan terapi yang mudah. Bahan-bahan tersebut
biasanya bertujuan untuk meningkatkan fungsi tangan yang seterusnya
mengoptimumkan penggunaan anggota badan yang lain.
 Khidmat nasihat tentang alatan atau bantuan yang boleh membantu
murid mencapai kejayaan dalam aktiviti PdP di dalam kelas khususnya
yang berkaitan dengan aspek menulis, menggunting, mewarna serta
memahami konsep asas untuk meningkatkan kemahiran kognitif murid.
 Memberi penekanan terhadap isu yang berkaitan dengan persepi visual
serta mencadangkan senarai latihan yang sesuai untuk mengatasi
masalah tersebut.

61

Terapis Pertuturan
 Membantu MBK yang mempunyai masalah pertuturan, bahasa dan
komunikasi seperti MBK yang mempunyai kesukaran untuk bertutur
atau lewat bertutur.

Terapis Fisio
 Membantu MBK yang mengalami kekejangan otot supaya dapat
mengurangkan kadar kekejangan dengan melakukan aktiviti fizikal,
senaman dan penggunaan splint.

Audiologis
 Membantu MBK kurang upaya pendengaran di kelas inklusif
menggunakan alat bantu pendengaran sepenuhnya dengan
memberikan khidmat konsultasi kepada guru arus perdana dan guru
pendamping.

62

3.3.7 Ujian Kendiri Topik 3 : Strategi Khusus Pengajaran Dan Pembelajaran

Masalah Pembelajaran
1. Senaraikan dua strategi khusus pengajaran yang boleh diaplikasi kepada murid

bermasalah pembelajaran autisme.
Jawapan : memberi jangkaan masa dan menggunakan kiu visual
2. Senaraikan 3 alat sokongan pengajaran yang diperlukan oleh murid disleksia.
Jawapan : kertas bewarna, perakam suara dan pembaris tetingkap
Kurang Upaya Penglihatan
1. Senaraikan dua alat sokongan yang diperlukan oleh murid kurang upaya
penglihatan terhad (rabun).
Jawapan :

i. Kanta pembesar
ii. CCTV
2. Nyatakan dua modifikasi yang boleh dilakukan oleh guru kepada lembaran kerja
murid kurang upaya penglihatan.
Jawapan :
i. Cetakan besar
ii. Rajah timbul
iii. Cetakan braille
Kurang Upaya Pendengaran
1. Bagaimanakah posisi guru ketika bercakap dengan MBK kurang upaya
pendengaran yang memakai alat bantu pendengaran?
Jawapan : Bercakap pada telinga yang lebih baik (yang memakai alat
pendengaran)

63

2. Bagaimanakah kedudukan meja dan kerusi murid kurang upaya pendengaran di
dalam kelas?
Jawapan : Di barisan tengah kelas

3. Murid kurang upaya pendengaran mungkin mempunyai kesukaran mendengar
arahan guru di dalam kelas, bagaimanakah guru boleh membantu murid
memahami arahan yang diberi?
Jawapan :
i. Memendekkan arahan dan menggunakan kiu visual
ii. Menyemak semula kefahaman murid
iii. Bercakap dengan jelas dan tempo perlahan

64

3.4 TOPIK 4 : Strategi Pengurusan Tingkah Laku

Perkara yang menjadi kebimbangan guru apabila melibatkan MBK ialah aspek
mengawal tingkah laku murid di dalam kelas. Keadaan ini berlaku kerana sering
kali wujud tingkah laku MBK yang tidak sesuai seperti mengganggu murid lain,
memberontak dan sebagainya yang akan memberi kesan kepada pelaksanaan
PdP. Dalam keadaan ini, guru perlu mengetahui cara untuk mengendali tingkah
laku tersebut.
Antara perkara yang menyebabkan masalah tingkah laku di dalam kelas
adalah:

i. Tugasan atau aktiviti yang diberikan terlalu sukar atau terlalu mudah
berbanding tahap kemahiran MBK.

ii. Tugasan atau aktiviti kurang menarik dan menyebabkan MBK berasa
bosan.

iii. Kaedah pengajaran yang tidak sesuai dengan gaya pembelajaran MBK.
iv. MBK masih belum bersedia dari segi kognitif, emosi dan sosial.
v. MBK mempunyai kemahiran sosial yang lemah, tidak boleh

berkomunikasi dengan baik bersama-sama guru dan rakan sebaya serta
mempunyai keyakinan diri yang rendah.

3.4.1 Penilaian Tingkah Laku Berfungsi

Penilaian Tingkah Laku Berfungsi merupakan satu pendekatan menggunakan
pelbagai teknik dan strategi bagi mengenal pasti sebab atau punca wujudnya
tingkah laku yang bermasalah.
Ini membolehkan tindakan yang sesuai dilakukan bagi mengatasi tingkah laku
tersebut. Melalui proses penilaian ini, guru merangka pelan tindakan bagi
mengawal/mengubah tingkah laku murid.

65

Guru pendamping, guru kelas atau guru mata pelajaran perlu berbincang
bersama-sama bagi melaksanakan penilaian Tingkah Laku Berfungsi di dalam
kelas.

Langkah-langkah penilaian Tingkah Laku Berfungsi adalah:

i. Memberi definisi dan menerangkan secara spesifik tingkah laku yang
bermasalah.
a. Langkah ini penting kerana definisi tingkah laku yang kurang jelas
akan menyukarkan tindakan yang patut dilakukan.
b. Jadual 3 menunjukkan perbezaan antara definisi yang kurang
jelas dengan definisi tingkah laku yang konkrit.

Definisi Umum Definisi Konkrit

Murid A bertindak Murid A memukul murid lain di dalam kelas Bahasa
agresif Melayu apabila tidak mendapat apa yang diingini.

Murid B mengganggu Murid B bercakap dengan suara yang kuat dan memberi

murid lain komen yang tidak sesuai semasa perbincangan di dalam

kelas.

Murid C hiperaktif Murid C sering bangun dari tempat duduk tanpa
kebenaran.
Menyiapkan hanya separuh kerja sekolah yang diberi serta
sering menjawab soalan sebelum soalan habis dibaca.

Jadual 3: Perbezaan Definisi Umum dan Definisi Konkrit

ii. Mengumpul maklumat berkenaan fungsi atau penyebab bagi tingkah laku
yang bermasalah.
a. Maklumat boleh dikumpul secara langsung atau tidak langsung daripada
pelbagai sudut dan sumber.
b. Antara maklumat yang perlu dikumpulkan adalah:
 Penyebab: Peristiwa sebelum tingkah laku bermasalah.
 Akibat: Peristiwa selepas tingkah laku bermasalah.

66

 Konteks sosial dan persekitaran: Bila, mana, siapa atau kondisi
spesifik yang mengurang atau meningkatkan frekuensi tingkah laku
bermasalah.

Rajah 10: Perkaitan Tingkah Laku
c. Guru boleh mengumpul maklumat dengan menggunakan jadual kekerapan

dan Borang Pemerhatian ABC (Antecedent-Behaviour-Consequences).
 Melalui jadual kekerapan (seperti di Lampiran C), guru akan dapat
mengenal pasti pola tingkah laku yang berkait dengan situasi atau
konteks yang spesifik.
 Penggunaan Borang Pemerhatian ABC (seperti di Lampiran D), pula
membolehkan pemerhati menyusun dan melihat secara jelas
perkaitan antara penyebab, tingkah laku dan akibat.

iii. Menentukan kategori tingkah laku.
a. Terdapat tiga cara untuk mengkategorikan sebab kenapa sesuatu tingkah
laku itu berlaku, iaitu berdasarkan:
 Fungsi tingkah laku: Untuk mendapatkan/ mencari sesuatu yang
diingini atau untuk mengelak/ melepaskan diri daripada sesuatu yang
tidak diingini/disukai. Sebagai contoh: untuk mendapatkan perhatian
orang lain atau mengelak daripada membuat aktiviti.

67

 Kekurangan dari segi kemahiran: Murid tidak mengetahui cara
untuk melaksanakan sesuatu kemahiran tingkah laku atau akademik.
Sebagai contoh: Dalam pertelingkahan, murid memukul rakannya
kerana dia tidak mengetahui cara yang betul untuk menyelesaikan
konflik.

 Kekurangan dari segi pencapaian: Murid mengetahui cara untuk
melaksanakan sesuatu kemahiran tingkah laku atau akademik tetapi
tidak melakukannya secara konsisten.

 Kekurangan dari segi domain perkembangan: Murid mempunyai
kelewatan dalam perkembangan serta masalah sensori.

 Kekurangan dari segi kesihatan: Murid mempunyai masalah
kesihatan sehingga memberi kesan kepada tingkah laku murid di
dalam kelas.

iv. Menganalisis maklumat yang diperolehi untuk membentuk hipotesis.
a. Hipotesis merupakan satu penyataan yang menerangkan dapatan mengenai
sebab-sebab, pola, situasi pencetus dan kekurangan yang menyebabkan
murid menunjukkan sesuatu tingkah laku.

b. Antara contoh penyataan hipotesis yang boleh digunakan adalah seperti:
 Tingkah laku menjerit (W) dalam kelas sentiasa berlaku ketika sesi
perbincangan berkumpulan (X) disebabkan oleh Adam ingin
memberikan pendapatnya tetapi kawan tidak mendengarnya (Y) lalu
cikgu pergi ke meja Adam untuk bertanya kenapa (Z).
 Akibat daripada tingkah laku W, murid mendapat respon Z.

68

3.4.2 Pelan Tindakan Tingkah Laku

Pelan tindakan tingkah laku mengambil kira maklumat dan hipotesis yang telah
dibentuk untuk merancang strategi yang akan digunakan bagi mengubah tingkah
laku yang tidak diingini. Elemen-elemen yang perlu ada dalam pelan ini adalah:

i. Penerangan tentang tingkah laku sasaran (yang hendak diubah).
a. Nyatakan dengan terperinci tingkah laku sasaran termasuk kekerapan,
keterukan dan tempoh masa kejadian.

ii. Data yang diperoleh melalui penilaian tingkah laku berfungsi.
a. Nyatakan keadaan atau situasi di mana tingkah laku sasaran terjadi.
b. Nyatakan apa yang berlaku sejurus sebelum tingkah laku sasaran terjadi.
c. Nyatakan matlamat yang cuba dicapai oleh murid melalui tingkah laku
tersebut.

iii. Tingkah laku alternatif (analisis kerja).
a. Kenal pasti tingkah laku positif yang akan diajar untuk menggantikan tingkah
laku yang disasarkan. Tingkah laku alternatif ini perlu berkaitan dengan
fungsi/ matlamat tingkah laku yang disasarkan.

iv. Strategi proaktif.
a. Senaraikan sokongan positif yang akan digunakan untuk menggalakkan
tingkah laku alternatif.

v. Strategi positif melalui modifikasi persekitaran.
a. Senaraikan sokongan persekitaran yang akan digunakan untuk menyokong
tingkah laku alternatif termasuklah kedudukan, susunan di dalam kelas dan
papan tanda.

vi. Strategi reaktif.
a. Nyatakan strategi yang akan digunakan apabila tingkah laku yang
disasarkan terjadi.

69

vii. Pemantauan kemajuan.
a. Menentukan kaedah untuk memantau kemajuan dan kumpul data bagi
melihat kerberkesanan pelan tindakan yang dilaksanakan.
b. Memantau kekerapan tingkah laku yang terjadi untuk pengumpulan data.
c. Menentukan cara dan masa untuk menyemak data seperti melalui
perjumpaan tidak formal dan perbualan telefon.

viii. Proses keberhasilan Pelan Tindakan
a. Mengenal pasti tarikh mula dan tarikh semakan data kemajuan tingkah laku
murid.
b. Membuat rumusan data.
c. Menentukan sama ada tindakan yang telah dijalankan dapat mencapai
matlamat serta menentukan langkah penambahbaikan terhadap pelan
tindakan sekiranya perlu.

LANGKAH 1 LANGKAH 2 LANGKAH 3

• Kenal pasti • Ukur tahap asas • Analisis punca
tingkah laku yang tingkah laku dan hasil daripada
hendak diubah tingkah laku

LANGKAH 4 LANGKAH 5

• Laksanakan pelan • Buat penilaian
tindakan dan
penambahbaikan

Rajah 11: Langkah-langkah Pelaksanaan Pelan Intervensi Tingkah Laku
3.4.3 Strategi Modifikasi Tingkah Laku

Modifikasi tingkah laku boleh dilakukan bertujuan untuk mengenal pasti punca
tingkah laku yang kurang sesuai dan seterusnya mencari kaedah terbaik untuk
mengubah tingkah laku tersebut.

70

Terdapat beberapa strategi dan prosedur yang boleh digunakan untuk
meningkatkan tingkah laku positif atau mengurangkan tingkah laku yang tidak
diingini. Pemilihan strategi bergantung kepada maklumat yang telah
dikumpulkan dan pelan tindakan yang dirancang. Berikut adalah contoh strategi
modifikasi tingkah laku yang berkesan:
Peneguhan
i. Pemilihan peneguhan yang sesuai adalah penting kerana mampu

meningkatkan motivasi MBK untuk melakukan sesuatu tingkah laku.

ii. Terdapat dua jenis peneguhan yang biasa digunakan oleh guru, iaitu
peneguhan sosial seperti pujian, tepukan, nyanyian, masa bermain; dan
peneguhan tangible seperti penggunaan komputer, bermain alat permainan,
makanan kegemaran, menonton video.

iii. Guru boleh menggunakan kaedah pemerhatian dan temu bual bagi
mengenal pasti peneguhan yang paling disukai murid.

iv. Peneguhan perlu diberikan sejurus selepas tingkah laku yang ingin dilihat.
Antara prosedur yang boleh digunakan untuk strategi peneguhan adalah:

a. Peneguhan bagi tingkah laku alternatif.

 Prosedur ini digunakan untuk meningkatkan kekerapan tingkah laku
yang diingini dan mengurangkan tingkah laku yang tidak diingini.
Peneguhan diberikan setiap kali tingkah laku yang diingini ditunjukkan
sahaja. Tiada peneguhan diberikan untuk tingkah laku yang tidak
diingini.

71

b. Peneguhan bagi tingkah laku lain
 Peneguhan akan diberikan apabila tingkah laku bermasalah tidak
berlaku dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Rajah 12 : Peneguhan Positif Negatif
Prosedur Kawalan Penyebab (Antecedent)
i. Dalam prosedur ini, stimuli penyebab (antecedent) seperti aspek persekitaran

fizikal dan sosial, dimanipulasikan bagi menggalakkan tingkah laku yang
diingini. Sebagai contoh, mengubah tempat duduk MBK kepada tempat duduk
berhampiran rakan yang boleh mengubah tingkah lakunya.
ii. Melalui manipulasi penyebab, peneguhan dapat diberikan sekaligus
meningkatkan kekerapan tingkah laku positif. Sebagai contoh, untuk
menggalakkan murid A yang mempunyai masalah untuk mengambil perhatian
guru dengan cara yang betul, guru boleh menyediakan satu kad peringatan
bergambar ‘angkat tangan’ dan meletakkannya di atas meja. Dengan cara ini,
stimuli penyebab (kad gambar) membolehkan murid A melakukan tingkah laku
yang diingini, iaitu mengangkat tangan untuk menarik perhatian guru.

72

3.4.4 Ujian Kendiri Topik 4 : Strategi Pengurusan Tingkah Laku

1. Apakah faktor yang menyebabkan masalah tingkah laku dalam kelas?

Jawapan :
i. Pengajaran terlalu sukar.
ii. Kemahiran bersosial yang lemah.

iii. Masalah kefahaman, kemahiran bahasa dan komunikasi.
iv. Masalah sensori.
v. Masalah kesihatan.
vi. Pembelajaran kurang menarik minat MBK

2. Bagaimanakah guru boleh mengenal pasti tingkah laku berfungsi murid dalam
kelas?

Jawapan :
i. Mengumpul maklumat peribadi murid.
ii. Melalui pemerhatian.

iii. Membuat jadual kekerapan.

3. Nyatakan dua strategi modifikasi tingkah laku yang guru yang boleh diaplikasi
di dalam kelas.

Jawapan :
i. Melakukan prosedur kawalan penyebab seperti memudahkan
lembaran kerja mengikut tahap murid.
ii. Aplikasi peneguhan seperti pujian, token dan lain-lain bersesuaian.

73

BAB 4
PELAKSANAAN

4.1 TOPIK 1 : Program Pendidikan Inklusif

Topik Program Pendidikan Inklusif

Masa ±15 minit

Objektif Pada akhir sesi, guru dapat:

1. Menerangkan dasar, matlamat dan objektif
Program Pendidikan Inklusif.

2. Menyatakan definisi Program Pendidikan Inklusif.

3. Menjelaskan model Program Pendidikan Inklusif.

Kaedah Penyampaian Ceramah interaktif

Video

Aktiviti dalam kumpulan

Langkah-langkah 1. Tayangan video – Video aspirasi PPPM
menerangkan tentang pendidikan inklusif

2. Ceramah interaktif (10 minit)

3. Penilaian/ refleksi (5 minit)

74

4.2 TOPIK 2 : Pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif

Topik Pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif

Masa ±40 minit

Objektif Pada akhir sesi, guru dapat:

1. Menyenaraikan peranan guru arus perdana
dalam pendidikan inklusif.

2. Menyenaraikan peranan guru pendidikan khas
dalam pendidikan inklusif.

3. Menyenaraikan peranan pentadbir dalam
pendidikan inklusif.

Kaedah Penyampaian Tayangan video

Ceramah interaktif

Aktiviti dalam kumpulan

Langkah-langkah 1. Tayangan video (5 minit):

a. Video anak murid (MBK) inklusif yang tidak
mendapat sokongan di sekolah: Video
Murid Disleksia dalam kelas.

2. Ceramah interaktif (20 minit):

a. Sumbang saran: risiko yang akan dihadapi
oleh MBK jika semua pihak tidak
memainkan peranan yang sepatutnya
(mind map).

3. Aktiviti: (10 minit):

Selepas mengenal pasti risiko MBK dalam aktiviti
sumbang saran, peserta menggunakan Jadual

75

Analisis Peranan Guru (Lampiran B) bagi
membincangkan peranan setiap individu yang
terlibat.
4. Penilaian/ refleksi (5 minit)

4.3 TOPIK 3 : Strategi Khusus Pengajaran dan Pembelajaran

Topik Strategi Khusus PdP

Masa ±45 minit

Objektif Pada akhir sesi, guru dapat:

1. Menjelaskan strategi khusus yang sesuai untuk
MBK masalah pembelajaran dalam kelas inklusif
atau;

2. Menjelaskan strategi khusus yang sesuai untuk
MBK kurang upaya penglihatan dalam kelas
inklusif atau;

3. Menjelaskan strategi khusus yang sesuai untuk
MBK kurang upaya pendengaran dalam kelas
inklusif.

Kaedah Penyampaian Ceramah interaktif

Video

Langkah-langkah Aktiviti dalam kumpulan
1. Tayangan video – Video strategi khusus PdP

2. Ceramah interaktif (15 minit)

3. Aktiviti Simulasi (30 minit)

 Aktiviti 1: Simulasi Masalah Pembelajaran

76

o Nama Aktiviti: Simon’s says
o Bahan: pembesar suara dan lagu (atau

bunyi bising)

 Langkah-langkah:
o Penceramah memberi arahan kepada
peserta bahawa “kita semua mendengar
arahan Simon”
o Penceramah akan memasang lagu di
pembesar suara. Penceramah akan
memberikan arahan yang kompleks dan
panjang.
o Peserta perlu mendengar dan melakukan
arahan yang diberi
o Bincangkan dalam kumpulan: Apakah
teknik/strategi yang perlu dilakukan bagi
membantu mereka memproses maklumat
dengan lebih berkesan?

 Aktiviti 2: Simulasi Kurang Upaya Pendengaran
o Nama Aktiviti: “Ulang semula”
o Bahan: Speaker, mikrofon, ABP (jika ada)

 Langkah-langkah:
o Penceramah perlu menyediakan
persekitaran yang hingar dan bising
dengan memasang bunyi/lagu yang kuat.
o Peserta perlu mengeja 10 perkataan yang
diberikan oleh penceramah tanpa
menggunakan mikrofon.
o Peserta mengulangi semula aktiviti dengan
menggunakan mikrofon.

77

o Nota: Fasilitator boleh menggunakan ABP
untuk menerangkan kegunaan ABP (jika
ada)

 Aktiviti 3: Simulasi Masalah Penglihatan
o Alamak! Saya tidak nampak!
o Bahan: Slaid

 Langkah-langkah:
o Penceramah menunjukkan slaid aktiviti
atau menampal poster dengan fon bersaiz
kecil.
o Peserta dikehendaki mencari jumlah
bilangan perkataan “inklusif” di dalam slaid
tersebut.
o Peserta mengulangi semula aktiviti
menggunakan slaid aktiviti atau
menggunakan poster dengan fon bersaiz
besar.
o Nota: Fasilitator juga boleh meminta
peserta menggunakan kanta pembesar
sekiranya fasilitator menggunakan kertas
(jika ada)

Perbincangan berkumpulan: Senaraikan strategi khusus
yang boleh dilakukan guru dalam sesi PdP atau di
persekitaran sekolah.

4. Penilaian/ refleksi: Perbincangan dilaksanakan
dalam kumpulan. (5 minit)

78

4.4 TOPIK 4 : Strategi Pengurusan Tingkah Laku

Topik Strategi Pengurusan Tingkah Laku

Masa ±20 minit

Objektif Pada akhir sesi, guru dapat:

1. Menerangkan aspek penilaian tingkah laku untuk
MBK dalam kelas inklusif.

2. Menjelaskan pelan tindakan tingkah laku untuk
MBK dalam kelas inklusif.

3. Menyatakan strategi modifikasi tingkah laku untuk
MBK dalam kelas inklusif.

Kaedah Penyampaian Ceramah interaktif

Video

Aktiviti dalam kumpulan

Langkah-langkah 1. Tayangan video: Tingkah laku disruptif dalam
kelas

2. Ceramah interaktif

3. Aktiviti 1: Perbincangan
Bahan: Kertas mahjung, pen marker

 Perbincangan dan pembentangan dalam
kumpulan untuk mengenal pasti modifikasi yang
boleh dilaksanakan:
o Sebelum
o Semasa
o Selepas sesuatu tingkah laku disruptif
berlaku

4. Penilaian/ refleksi

79

BAB 5
PENILAIAN

5.1 Pengenalan
Penilaian dilaksana untuk mengetahui keberkesanan penyampaian
maklumat kursus ini kepada guru yang bakal terlibat dalam PPI. Terdapat
dua jenis ujian yang perlu dilakukan kepada peserta, iaitu sebelum dan
selepas kursus.

5.2 Ujian Kesedaran Program Pendidikan Inklusif
1. Ujian Pra
Satu set soalan ini diberi kepada guru yang mengikuti modul ini sebelum
kursus/ bengkel bermula.
2. Ujian Pasca
Satu set soalan yang sama diberi kepada guru yang mengikuti modul ini
selepas kursus/ bengkel selesai.
Ujian Pra dan Pasca boleh diperoleh pada link berikut:
https://goo.gl/forms/AkQQIQkuxM922P373

5.3 Ujian kendiri

Ujian kendiri perlu dilakukan oleh setiap peserta mengikut topik yang telah
diikuti.

80

BIBLIOGRAFI

American Psychiatric Association (APA), (2013).Diagnostic and Statistical Manual of
Mental Disorders Fifth Edition (DSM-5). England: American Psychiatic Publishing.
Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia (2014). Kod Amalan
Pendidikan MBK. Putrajaya.
Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia (2016). Panduan Pelaksanaan
Pedagogi Inklusif. Kajang
British Columbia Ministry of Education. (2015) Teaching Students with Attention-
Deficit/Hyperactivity Disorder: A Resource Guide for Teachers . (British Columbia Ministry of
Education) http://www.bced.gov.bc.ca/specialed/adhd
Bui., E. L. (2007). Exceptional Children in Today's Schools: What Teachers Need to Know.
USA: Love Publishing Company.
Diane Pedrotty, Deborah Smith and Brian Bryant, (2008).Teaching Students with
Special Needs in Inclusive Classrooms, Pearson, US.
Sindrom Down Victoria. (2009). Learners with Sindrom Down: A handbook for
teaching professionals. VIC, AUS: Author.
Florian, L dan Black-Hawkins, K., (2011). Exploring inclusive pedagogy.British
Educational Research Journal, Vol.37, (5), hlm 813-828.
Florian, L. dan Linklater, H. (2011).Preparing teachers for inclusive education: using
inclusive pedagogy to enhance teaching and learning for all.Cambridge Journal of
Education.http://www.tandfonline.com/loi/ccje20
Hinchcliffe, A. (2007). Children with Cerebral Palsy: A Manual for Therapists, Parents
and Community Workers. New Delhi: Sage Publications
Little, A.W.(2006). Education for All and Multigrade Teaching: Challenges and
Opportunities. Netherlands: Springer.
Rix. J., Hall K., Nind, M., Sheehy K., Wearmouth, J. (2006) A systematic review of
interactions in pedagogical approaches with reported outcomes for the academic and
social inclusion of pupils with special educational needs in mainstream classrooms.
Dlm: Research Evidence in Education Library. London: EPPI-Centre, Social Science
Research Unit, Institute of Education.

81

LAMPIRAN

LAMPIRAN A : SOALAN UJIAN KESEDARAN PROGRAM PENDIDIKAN
INKLUSIF

1. Apakah perbezaan Program Pendidikan Inklusif (PPI) dengan Program
Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)?

PPI ertinya suatu program pendidikan bagi MBK yang dihadiri oleh MBK
bersama-sama dengan murid lain dalam kelas yang sama di sekolah
kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan.
PPKI ertinya suatu program pendidikan bagi MBK di kelas khas di sekolah
kerajaan dan bantuan kerajaan.

2. Apakah kategori murid yang layak mengikuti PPI?
Semua kategori MBK layak mengikuti PPI.

3. Adakah MBK arus perdana dikira sebagai murid PPI?
Ya. Semua MBK arus perdana dikira sebagai murid PPI.

4. Adakah PPI akan menambah beban guru arus perdana?
Tidak. PPI tidak menambah beban guru jika setiap pihak berkepentingan
melaksanakan tangungjawab masing-masing.

5. Berapakah bilangan MBK yang boleh diinklusifkan dalam satu kelas pada satu
masa?
MBK boleh diinklusifkan tidak melebihi lima (5) orang dalam satu kelas
pada satu masa.

6. Adakah guru perlu menyediakan Rancangan Pendidikan Individu (RPI) untuk
MBK PPI?
Ya. Guru perlu menyediakan RPI untuk MBK PPI mengikut keperluan.
(Rujuk perkara 5.20 Kod Amalan Pendidikan MBK).

7. Apakah bentuk latihan yang disediakan kepada guru dalam menjayakan PPI?
Latihan berkaitan pendidikan inklusif kepada guru arus perdana dan guru
pendidikan khas.

8. Apakah bentuk kemudahan prasarana/ peralatan yang perlu disediakan untuk
MBK di PPI?
Prasarana/ peralatan yang perlu disediakan mengikut ketidakupayaan
murid berdasarkan Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidkan Khas)
2013.

82

LAMPIRAN B : JADUAL PERANAN GURU DAN PENTADBIR

RISIKO MURID PERANAN GURU PERANAN PERANAN
ARUS PERDANA GURU PENTADBIR
 Gagal mengikuti SEKOLAH
PdP PENDIDIKAN KHAS

 Ketinggalan
dalam pelajaran

 Dibuli rakan
sekelas

 Tiada/kurang
keyakinan diri

 Tidak gemar ke
sekolah

 Kemurungan
 Tiada kawan
 Keresahan
 Terasing

83

LAMPIRAN C : JADUAL KEKERAPAN

Nama Murid : Murid A JADUAL KEKERAPAN : Tahun 5K

Kelas

Tarikh : 15/08- 19/08/2016 Nama Pemerhati : Cikgu Z

Tingkah laku yang merisaukan:
Sering meninggalkan tempat duduk tanpa kebenaran semasa PdP berlangsung.

Masa Hari/ Hari/ Hari/ Hari/ Hari/ Kekerapan
atau Tarikh Tarikh Tarikh tingkah
WAKTU interval Tarikh Tarikh 17/08/16 18/08/16 19/08/16
KELAS laku dilihat
15/08/16 16/08/16

Bahasa Inggeris 8:45- // /// / / /// 10
9:45

Matematik 9:45- / // 3
10:45 2
1
Rehat 10.45- / / 1
11.00

Sains 11.00- /
12.00

Pemulihan 12.00- /
1.00

84

Nota Pemerhatian:
Murid A meninggalkan tempat duduk tanpa kebenaran lebih kerap semasa mata
pelajaran Bahasa Inggeris dan pada waktu pagi sebelum masa rehat. Tingkah
lakunya mungkin adalah reaksi kepada subjek, guru atau waktu tertentu.
Tindakan Susulan:
Bagi menentukan penyebab tingkah laku dengan lebih spesifik, pemerhatian
dilakukan apabila guru lain mengajar waktu Bahasa Inggeris atau apabila waktu
Bahasa Inggeris ditukarkan ke waktu selepas rehat.

85

LAMPIRAN D : BORANG PEMERHATIAN ABC

BORANG PEMERHATIAN ABC

Nama Murid: Murid A Kelas : Tahun 2 M

Tarikh : 07/08/2016 Nama Pemerhati: Cikgu Z

Tingkah laku yang merisaukan:

Merosakkan barang peribadi dan barang di dalam kelas

Tarikh/Masa 07 Ogos 2016 07 Ogos 2016

Perkara 9:25 - 10:10 pagi 12:05 - 1:05 tengah hari
KONTEKS ATAU
KEADAAN A berada di dalam kumpulan A berada di dalam kelas

PENYEBAB membaca dari pukul 9:25- Matematik. Guru sedang
(Apa yang berlaku
sejurus sebelum) 9:45pagi. Kemudian dia membuat memberi contoh operasi tolak

TINGKAH LAKU aktiviti dengan dua orang rakan, dua digit di papan putih.

tanpa bantuan guru.

Murid mengambil buku dan Guru meminta murid untuk
bahan-bahan ke mejanya. Murid- menyelesaikan soalan di papan
murid dikehendaki berkongsi putih. A dan beberapa orang
krayon. murid lain mengangkat tangan,
namun guru memilih murid lain.
A mengambil krayon dan A menyatakan kemarahan dan
menulis satu huruf di atas buku membaling buku matematik ke
sebelum menconteng meja. lantai. Beberapa helai muka
surat terkoyak.

86

Guru menghentikan PdP, dan Guru menunjukkan ekspresi

AKIBAT pergi ke meja A dan bertanya muka yang garang kepada A
(Apa yang berlaku
sejurus selepas) Kepada A sebab kenapa dia tetapi tetap meneruskan PdP.

CATATAN menconteng meja. A menjawab
TAMBAHAN
tidak tahu.

Walaupun ditegur oleh guru, A A tidak dapat mengawal emosi

berasa seronok kerana mendapat apabila guru tidak memberi

perhatian daripada guru. perhatian kepadanya.

87

BAHAGIAN PENDIDIKAN KHAS

Kementerian Pendidikan Malaysia
Aras 2, Blok E2,
Kompleks Kerajaan Parcel E
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 PUTRAJAYA
Tel : 603 8884 9190
Faks : 603 8888 6670

88


Click to View FlipBook Version