The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Berkisahkan tentang persahabatan

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by layaidatulm, 2025-03-12 20:27:50

SEMPERIT TERAKHIR

Berkisahkan tentang persahabatan

Hari raya sudah hampir tiba, namun rumah Ana sunyi. Tiada bau semperit, tiada bunyi loyang berlaga dan tiada suara nenek memberi arahan di dapur. Nenek terbaring lemah di hospital dan Ana tahu tahun ini, tiada siapa yang akan membuat kuih kegemarannya.


Ana termenung di tangga rumah, matanya merenung kosong ke jalan. Tiba-tiba, Ah Kai, Dewi dan Hakim datang menghampiri. "Ana, kenapa kau nampak sedih?" Tanya Dewi. Ana mengeluh. "Nenek sakit…setiap tahun nenek buat semperit untuk kami, tapi sekarang..." Suaranya tenggelam dalam kesayuan.


Hakim memberi idea. "Kalau begitu, kita buat sendiri!" Ana mengerutkan dahi. "Tapi aku tak tahu resipi." "Tak apa! Aku pernah tengok mak aku selalu buat!" kata Dewi bersemangat. Ah Kai tersenyum. "Aku boleh ambil bahan dari kedai ayah aku." Hakim mengangkat tangan. "Aku ada ketuhar di rumah, boleh kita guna." Ana terdiam sejenak. Betulkah mereka boleh melakukannya? Namun, melihat wajah penuh semangat kawan-kawannya, dia akhirnya mengangguk setuju. "Baiklah, jom kita buat!"


Malam itu, dapur rumah Ana bertukar menjadi medan peperangan. "Aduh! Aku tertumpahkan tepung!" Ah Kai panik melihat lantai yang berdebu putih. "Doh aku lembik sangat!" Ana mengeluh dan masih cuba membentuk bunga semperit yang tidak menjadi. "Susu tertumpah! Aduh!" Dewi menjerit.


Apabila mereka akhirnya berjaya membentuk semperit dan membakarnya, didapati separuh daripadanya hangus. Ana menutup wajahnya. "Kita gagal…" Ah Kai duduk di sebelah Ana cuba memujuk. "Tak semua tak jadi. Kita bawa yang elok untuk nenek."


Keesokan harinya, mereka berempat ke hospital. Ana berjalan perlahan, membawa sebalang semperit yang terselamat. Hatinya berdebar. Saat mereka masuk, Ana hampir menitiskan air mata. Nenek kelihatan sangat lemah.


“Nenek, Ana buat semperit untuk nenek, " katanya perlahan sambil menyuapkan sekeping kuih semperit ke mulut nenek. Semua menahan tangis. Nenek mengunyah perlahan, kemudian tersenyum nipis. "Sedap, sama macam nenek buat dulu."


Ana menahan tangis. "Tapi banyak yang tak jadi.." Nenek menggenggam tangannya dengan lemah. "Sayang, yang penting kasih sayang yang kamu curahkan dalam pembuatan kuih ini."


Ketika itu, Ana dan kawan-kawannya merasakan raya yang paling bermakna. Akan tetapi, malam itu nenek pergi menghadap Ilahi. Di atas meja hospital, balang semperit itu masih ada dan kuihnya separuh penuh.


Semperit kuning di atas dulang, Dibentuk rapi dengan kasih sayang. Tangan kecil menguli doh, Mengharap senyum, menghalau resah. Dulu dapur terang bercahaya, Harum biskut semerbak rasa, Kini hanya sepi menyapa, Tiada tangan menggulung mesra. Namun kasih takkan pudar, Dalam hati tetap mekar, Kenangan manis tetap segar, Bersama doa yang menggempar. Ah Kai, Dewi, Hakim hadir, Menghulur tangan, mengukir bibir, Bersama sahabat aku sedar, Kasih sejati takkan pudar. TAKKAN TERGANTI


Hari raya menjelang tiba, tetapi Ana bersedih kerana neneknya sakit dan tiada siapa yang akan membuat kuih semperit kegemarannya. Rumahnya sunyi tanpa aroma kuih dan suara nenek di dapur. Apabila melihat kesedihannya, sahabat baiknya Ah Kai, Dewi dan Hakim datang memberi semangat. Mereka berempat berganding bahu membuat biskut semperit, menghidupkan kembali tradisi nenek Ana. Dalam kehangatan persahabatan, Ana sedar bahawa kasih sayang sejati wujud dalam kebersamaan, bukan sekadar dalam kenangan lama. SINOPSIS


PENGENALAN Sastera kanak-kanak meliputi pelbagai genre bahasa yang mudah dan imaginative bagi menarik minat kanak-kanak membaca. Ini membantu perkembangan intelektual, emosi dan sosial kanak-kanak, selain memperkaya perbendaharaan kata serta mengasah daya fikir kreatif. Selain berfungsi sebagai medium pendidikan dan hiburan, sastera kanak-kanak turut menyampaikan mesej moral serta memperkenalkan budaya dan warisan sesuatu bangsa. Tambahan pula, penceritaan yang menarik dapat membentuk pemikiran kritis dan membina jati diri yang kukuh. Secara keseluruhan, sastera kanak-kanak berperanan melahirkan generasi muda yang berilmu dan berakhlak mulia.


JUSTIFIKASI CERPEN Cerpen yang dihasilkan ini menggunakan teknik penceritaan pemerian, tuturan dan imbasan bagi menyampaikan mesej berkaitan persahabatan dan kehilangan dengan lebih berkesan. Teknik pemerian digunakan bagi menggambarkan suasana yang suram di rumah Ana yang dengan lebih jelas yang mana membolehkan pembaca membayangkan latar tempat dan emosi yang dialami oleh Ana. Teknik pemerian mengembangkan plot cerita dengan memberikan gambaran yang lebih realistik (Nik Rafidah, 2005). Contoh ayat yang dipetik daripada cerpen ialah "Hari raya sudah hampir tiba, namun rumah Ana sunyi. Tiada bau semperit, tiada bunyi loyang berlaga dan tiada suara nenek memberi arahan di dapur." Pemerian ini menggambarkan suasana rumah Ana yang berbeza berbanding kebiasaan yang menunjukkan kekosongan dan kesunyian tanpa nenek.


JUSTIFIKASI CERPEN Teknik lain yang dapat dilihat di dalam cerpen ini adalah teknik tuturan yang menunjukkan interaksi antara watak. Menurut Shamsudin abu bakar et. al (2024), teras tuturan itu perlu mengandungi nilai moral yang tinggi agar dapat dicontohi kanak-kanak. Sebagai tamsilan di dalam ayat “Ana, kenapa kau nampak sedih?” yang menunjukkan keakraban serta kasih sayang antara mereka. Menerusi dialog ini, pembaca dapat melihat bagaimana hubungan persahabatan yang dibina menjadi sumber kekuatan bagi Ana dalam menghadapi kesedihan. Menurut Nursyahrurahmah (2018), persahabatan dapat terjalin dengan baik menerusi rasa saling memahami, ikhlas dan percaya antara satu sama lain.


JUSTIFIKASI CERPEN Selain itu, teknik imbasan juga digunakan dalam cerpen ini bagi menghidupkan kenangan manis Ana bersama neneknya. Teknik ini membantu penyusunan jalan cerita lebih dinamik (Aishah Abdul Malek et. al, 2019). Ini memberikan gambaran kepada pembaca mengenai hubungan Ana dengan neneknya serta betapa pentingnya kuih semperit di dalam kehidupannya. Contoh ayat yang dipetik ialah "Setiap tahun dia buat semperit untuk kami...". Ayat ini menunjukkan kenangan Ana terhadap neneknya yang sentiasa menyediakan kuih kegemarannya setiap kali hari raya.


JUSTIFIKASI CERPEN Gaya penulisan yang dapat dilihat daripada cerpen ini ialah bahasa yang mana cerpen yang dihasilkan menggunakan bahasa yang ringkas dan mudah difahami serta sesuai untuk semua peringkat umur terutamanya kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak boleh menghayati dan memahami watak dan penceritaan lebih mendalam (Sara Beden, 2019). Seterusnya, cerpen ini turut mengandungi ilustrasi yang menarik bagi membantu murid memahami cerita dengan lebih efektif serta dapat menarik minat kanak-kanak untuk membacanya. Penggunaan ilustrasi di dalam cerpen turut membantu murid memvisualisasikan cerita kepada nyata (Ahmad Firkry Ahmad Mustafa et. al, 2023).


JUSTIFIKASI SAJAK Sajak yang dihasilkan mengandungi 4 rangkap dan setiap rangkap mengandungi 4 baris. Rima bagi sajak ini tidak mengikut pola tetap seperti pantun, namun lebih kepada merupakan bebas yang memberikan kelonggaran dalam penyampaian makna. Ini kerana sajak yang bebas akan memberikan kebebasan ekspresi kepada pengarang. Selain itu, pemilihan kata bagi sajak ini menggunakan bahasa yang ringkas dan mudah difahami dan menjadikan sajak lebih moden dan fleksibel (Mohammad Fadzeli Jaafar dan Khazri Osman, 2022).


PENERAPAN NILAI Penerapan nilai murni dalam diri kanak-kanak penting yang perlu dititik beratkan sejak kecil lagi (Noor Syahida Md Soh, 2021). Oleh itu, cerita ini menerapkan pelbagai nilai murni yang memberikan pengajaran kepada pembaca antaranya, kasih sayang dan keprihatinan. Nilai kasih sayang dapat diperhatikan melalui hubungan erat antara Ana dan neneknya. Ana amat menyayangi neneknya sehingga dia sangat terkesan apabila neneknya jatuh sakit dan tidak dapat menyediakan kuih semperit kegemarannya. Ini menggambarkan betapa pentingnya kasih sayang keluarga dalam kehidupan seseorang (Safinah Ismail et. al, 2025).


PENERAPAN NILAI Nilai keprihatinan ditonjolkan apabila rakanrakan Ana menunjukkan empati terhadap perasaannya. Mereka bukan cuma bertanyakan tentang masalahnya semata-mata, namun mereka juga cuba untuk memberikan semangat dan sokongan moral. Ini mengajarkan pembaca bahawa sikap prihatin terhadap orang lain sedikit sebanyak mampu meringankan beban yang ditanggung oleh seseorang itu (Mohamad Khairi Hj Othman et. al, 2015).


PENUTUP Rangkumannya, sastera kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran, emosi dan nilai murni dalam kalangan pembaca muda. Menerusi penggunaan bahasa yang mudah difahami, jalan cerita yang menarik serta ilustrasi yang berkesan, karya sastera ini bukan sahaja menghiburkan, namun juga mendidik. Ini kerana karya-karya sastera menjadi medium untuk menyampaikan mesej moral dan memperkukuh hubungan sosial serta budaya. Oleh itu, usaha untuk memperkembangkan sastera kanak-kanak perlu diteruskan supaya generasi muda dapat menikmati karya-karya yang berkualiti di samping membentuk sahsiah yang baik.


RUJUKAN Aishah Abdul Malek, Mohd Nazri Abdul Rahman, Romli Darus & Muhammad Asyraf Mansor. (2019). Pendekatan Bercerita Berasaskan Kurikulum Berkepelbagaian Budaya Untuk Pembelajaran Literasi Awal Kanak-Kanak. JuKu: Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik 7(3), 28-34. Ahmad Firkry Khairy Ahmad Mustafa, Suhana Johar, & Mohd Khairul Azhar Mat Sulaiman, (2023). Kajian Kelebihan Menggunakan Ilustrasi Sebagai Bahasa Visual Dalam Memahami UKBS 1984. Jurnal Kejuruteraan, SI-6 (1). pp. 183-196. ISSN 0128-0198 Mohammad Fadzeli Jaafar & Khazri Osman. (2022). GAYA KESEJAJARAN DALAM PUISI MELAYU. Jurnal Bahasa, 22(2), 205‒222.


RUJUKAN Mohamad Khairi Hj Othman, Asmawati Suhid & Samsilah Roslan. (2015). Penghayatan Nilai Murni dalam kalangan Pelajar Sekolah Menengah Masa Kini. Jurnal Pembangunan Sosial Jilid 18 (Jun) 2015: 1–20 Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi. (2005). Pemikiran Dan Teknik Penceritaan Dalam Novel Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu. Universiti Putra Malaysia Noor Syahida Md Soh, Huzaimah Ismail, Faridah Mohd Sairi & Mohd Annas Shafiq Ayob. (2021). Nilai Murni dalam Pendidikan 5.0: Moral Values in Education 5.0. Journal of Quran Sunnah Education & Special Needs, 5(2), 1-11. Nursyahrurahmah. (2018). Hubungan Antara Kualitas Persahabatan Dan Empati Dengan Kebahagian Pada Mahasiswa Bima. Ecopsy, 5(2), 88-93.


RUJUKAN Safinah Ismail, Rosmawati Mohamad Rasit, Zulkefli Aini, Abur Hamdi Usman, Mariam Abd. Majid, Abdul Wahab Md. Ali & Siti Khaulah Mohd Hamzah Murghayah. (2025). Nilai Teladan Ibu Bapa Berdasarkan Kasih Sayang Dalam Keluarga Muslim. INTERNATIONAL ‘JOURNAL OF MODERN EDUCATION (IJMOE). 7 (24), 288- 305 Sara Beden. (2019). Prinsip Dan Strategi Kesantunan Penulisan Dalam Artikel Ruangan Agenda Bahasa. Issues in Language Studies, 8(1), 105-129. Shamsudin Abu Bakar, Arfah Ahamad, Fadzilah Abdul Rahim, Azman Rahmat dan Hasnah Awang. (2024). Kesusateraan Kanak-kanak dalam Pendidikan Bahasa Melayu. SSM Sri Saujana Marketing


Click to View FlipBook Version