The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Buku Cerita Kanak-Kanak Tahap 1

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by asyiqinnurul1097, 2024-04-13 11:01:03

Lebah Yang Malas

Buku Cerita Kanak-Kanak Tahap 1

LEBAH YANG MALAS


Di sebuah hutan yang penuh dengan flora dan fauna, terdapat sebuah kerajaan lebah yang tekun dan rajin berkerja menghasilkan madu.


Mereka berkerja keras supaya ratu lebah mempunyai sumber makanan yang mencukupi untuk menghadapi musim kemarau. Semua askar lebah sentiasa memastikan Ratu Lebah kenyang, sihat dan selamat walaupun mereka terpaksa berlapar dan sakit.


Pada suatu hari, Ratu Lebah telah mengarahkan Aming iaitu ketua askar lebah untuk membawa askar-askar pergi mencari bungabungaan. Mereka sudah kekurangan makanan untuk menghadapi musim kemarau nanti.


Kemudian, Aming memberikan arahan supaya semua askar berkumpul dalam barisan.


Askar-askar terbang ke hutan untuk mencari bunga-bungaan demi menghasilkan madu yang mencukupi.


Aming membawa askar-askar ke sebuah kawasan yang dipenuhi dengan bunga matahari yang mekar. Aming mengarahkan askar-askarnya pergi ke bungabunga tersebut dengan tegas.


“Jangan berhenti selagi kamu tidak mendapatkan madu yang cukup!” jeritnya kepada askaraskar lebah. Mereka pun hanya menurut tanpa membantah.


Aming hanya memerhati askaraskarnya tanpa ingin membantu mereka. Dia terbang ke arah sebatang sungai meninggalkan askar lebah yang sibuk. Airnya mengalir dengan tenang diiringi dengan angin sepoi-sepoi bahasa.


Aming berbaring di atas sebuah dahan pokok sambil bersiul. Tiba-tiba, seekor ulat bulu berjalan melalui kawasan Aming berehat. “Kau tidak berkerjakah, Aming?” , tanya ulat bulu. “Aku seorang ketua jadi aku tidak perlu berkerja sehingga penat untuk makan. Aku hanya perlu menunggu mereka selesai membawa makanan ke sarang dan aku boleh kenyang, ” kata Aming.


Tiba-tiba, seekor burung merpati hinggap pada dahan pokok lalu berkata “musim kemarau sudah semakin hampir, sepatutnya kau juga berpenat seperti rakan-rakan kau untuk mencari bekalan makanan”. Aming ketawa lalu berkata “aku berehat di tepi sungai lebih baik daripada berpanas”.


“Tapi bukankah lebih baik berat sama dipikul, ringan sama dijinjing?” tanya burung merpati. “Macamlah kamu tidak mengenali Aming. Semua haiwan dan serangga di hutan ini mengenali sikapnya yang malas” , seekor ular menyampuk setelah terdengar perbualan mereka.


Ulat bulu, burung merpati dan ular pun beredar kerana Aming tidak mengendahkan mereka. Aming tidak mempedulikan kata-kata mereka sebaliknya dia terus berehat menikmati ketenangan suasana sungai.


Setelah beberapa jam berlalu, Aming meninggalkan kawasan rehatnya lalu bergerak pulang ke sarang. Askar-askar lebah yang lain sudah pun selesai mengumpul madu dari beberapa kawasan bunga-bungaan.


Setelah sampai di sarang, Aming berasa sangat gembira kerana askar-askar lebah berjaya mengumpul banyak madu. Tanpa membuang masa, Aming pun memakan sebanyak mungkin madu yang ada kerana dia kelaparan. Dia memastikan tiada sesiapa pun yang menyaksikan tindakannya itu.


Beberapa bekas madu telah dikosongkan oleh Aming tanpa disedarinya. Dia kekenyangan lalu tertidur tanpa mempedulikan lebah lain yang kepenatan.


“Siapa yang mengambil madu-madu kita?” tanya ratu lebah. Dia berasa sangat marah apabila melihat beberapa tong madu telah kosong. Kemudian, seekor askar lebah menjawab, “Aming yang telah memakan madu-madu tersebut lalu dia tertidur”. Ratu lebah berasa sangat kecewa dengan sikap Aming yang tidak bertanggungjawab walaupun dia sudah dilantik menjadi ketua askar.


Pada hari yang sama, ratu lebah mengarahkan askar-askar untuk berkumpul. Ratu lebah berkata mereka perlu berpindah ke sarang baharu untuk menghadapi musim kemarau. Sarang baharu tersebut terletak di kawasan yang agak jauh dari sarang lama jadi mereka perlu bergerak segera sebelum kemarau tiba.


“Bagaimana dengan Aming, Ratu Lebah?” tanya seekor askar lebah. “Sesiapa yang malas, dia selalu rugi, ” jawab Ratu Lebah. Askaraskar lebah pun berkemas dan bersiap sedia untuk berangkat ke destinasi. Mereka terbang dalam kumpulan meninggalkan Aming yang masih tidur nyenyak.


Keesokan hari, Aming terbangun dari tidurnya. Dia menyedari bahawa dia telah ditinggalkan oleh kerajaan lebahnya. Madu-madu yang telah dikumpul juga dibawa oleh mereka. Tiada sedikit madu pun yang tinggal untuk Aming.


Beberapa hari kemudian, musim kemarau pun tiba. Aming terbang ke arah sebatang anak sungai yang hampir kering kontang. Dia memandang air sungai yang mengalir perlahan dengan perasaan sayu dan sedih.


Mereka berpanas mereka berhujan mereka berlapar aku kekenyangan tidak sedikit pun rasa malas ku buang merasa besar diri angkara kuasa Sayap kukibar lemah dan layu mata melilau mencari mereka tempatku singgah terasa asing duduk sendiri tanpa kerajaanku Sesal kini tiada guna sedih kini tiada yang peduli namun ketika kita bersua lagi sambutlah sesal dan kata maafku


Aming terbang di udara tanpa arah tuju sambil meluahkan perasaan sedihnya melalui sajak. Sudah beberapa hari dia tidak makan kerana banyak bunga yang telah layu akibat cuaca yang terlalu panas. Dia juga teringat akan sikap malasnya sebelum ini. Jika dia tidak bersikap malas dan mementingkan diri sendiri, sudah tentu dia tidak berada dalam kesusahan sekarang.


Tiba-tiba, Aming terlanggar sebuah dahan pokok semasa terbang melalui pokok-pokok hutan. Dia hilang imbangan lalu jatuh terhempas ke tanah.


Aming menangis kesakitan kerana terjatuh dan sebelah sayapnya patah. Dia tidak tahu cara untuk meneruskan hidup tanpa sayapnya. Penyesalan demi penyesalan Aming rasakan setelah dia ditinggalkan oleh kerajaannya. Satu per satu masalah timbul dalam kehidupannya akibat sikap buruknya sebelum ini.


Dengarlah sini wahai kawan jangan engkau mensia-siakan kesenangan yang kamu ada sedarlah wahai kawan jangan engkau biarkan nafsu menguasai diri atau engkau akan menyesal seperti aku


Click to View FlipBook Version