The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Keharmonian negara amat penting dalam sesebuah negara agar tidak dipandang rendah dari negara lain. Merupakan imej terbesar dalam sesebuah negara.Negara Malaysia mempunyai masyarakat pelbagai kaum tapi dapat mengekalkan keharmonian negara kerana kesepaduan yang amat kuat dalam kehidupan masyarakat tersebut

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by jihahjuhari25, 2021-06-12 07:04:39

Keharmonian Malaysia: Satu Tanggungjawab Bersama

Keharmonian negara amat penting dalam sesebuah negara agar tidak dipandang rendah dari negara lain. Merupakan imej terbesar dalam sesebuah negara.Negara Malaysia mempunyai masyarakat pelbagai kaum tapi dapat mengekalkan keharmonian negara kerana kesepaduan yang amat kuat dalam kehidupan masyarakat tersebut

KEHARMONIAN MALAYSIA : SATU TANGGUNGJAWAB BERSAMA

NAMA : SITI NAJIHAH BINTI JUHARI

NO PEN : 04DET20F1037

NAMA PEN : ENGKU RAZINAWATY BINTI ENGKU CHIK

SITI NAJIHAH BINTI JUHARI
KEHARMONIAN MALAYSIA : SATU TANGGUNGJAWAB BERSAMA

PENGENALAN

Hubungan harmoni dan kerjasama antara pelbagai kaum adalah kunci atau senjata utama untuk menghadapi pelbagai
ancaman dan cabaran supaya negara kita dapat mencapai matlamat yang ditetapkan. Secara umumnya, perasaan
prasangka dan ketidakpuasan hati antara pelbagai etnik dalam sesebuah negara bukanlah suatu perkara asing.

Isu berkaitan hubungan pelbagai bangsa, agama dan budaya di negara ini seperti pengenalan tulisan Jawi dan ucapan
sempena sambutan perayaan sedikit sebanyak mencerminkan betapa pentingnya usaha lebih serius serta konstruktif
dalam mengurus masyarakat berbilang bangsa.

Masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama memang menjadi cabaran kepada kebanyakan negara
khususnya dalam mengurus kemajmukan sosial itu. Cabaran itu wujud, terutama dalam aspek membentuk keharmonian,
keamanan dan interaksi positif antara kaum, agama serta budaya, sekali gus memerlukan pendekatan berhemah serta
penuh rasa hormat.

Justeru, semua lapisan masyarakat tidak kira di peringkat pemimpin negara mahupun anak kecil perlu memainkan
peranan masing-masing dalam menjaga keharmonian yang telah kita kecapi selama ini dalam kehidupan masyarakat
majmuk yang diamalkan di negara ini, semua pihak perlu memahami asal usul, menghormati serta menerima budaya,
bahasa, agama dan cara hidup setiap bangsa.

Mengharmonikan Hubungan Masyarakat Berbilang Bangsa di Malaysia

Kepelbagaian masyarakat merupakan satu yang lumrah bagi kebanyakan negara di dunia pada hari ini. Masyarakat yang terdiri
daripada kelompok kaum, budaya dan agama yang berbeza-beza menjadikan ia satu cabaran yang berpanjangan dalam mengurus
kemajmukan sosial ini. Cabaran ini wujud terutamanya dalam aspek membentuk keharmonian, keamanan dan interaksi positif antara
kaum, agama dan budaya yang berbeza-beza ini. Ia memerlukan pendekatan yang berhemah dan penuh rasa hormat.
Sebagai sebuah negara moden yang sedang melakar masa depan yang lebih dinamik serta berusaha untuk memposisikan diri sebagai
salah sebuah negara maju, cabaran berterusan dalam arus globalisasi dan pasca kemodenan merupakan satu realiti yang harus
ditangani dengan sebaik mungkin. Ini termasuklah ancaman pelbagai krisis yang berbentuk penindasan dari segi ekonomi, politik dan
sosial serta isu-isu berkaitan pencabulan hak-hak kemanusian. Cabaran-cabaran ini, jika tidak diatasi dengan baik dan berhemah, akan
menjadi halangan kepada proses pembinaan keharmonian dan perpaduan rakyat di dalam negara ini. Malaysia perlu dikenali bukan
hanya sebagai sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi dan pembangunan, malahan perlu menjadi sebuah negara yang
beridentitikan kepelbagaian agama, bangsa dan budaya, namun dapat bersama dalam suasana yang aman dan hamoni.
Namun begitu, walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai penganut agama serta mengamalkan budaya yang berbeza-beza,
sifat kerbersamaan serta rasa cintakan keharmonian dan keamanan perlu ada bagi merealisasikan matlamat perpaduan nasional.
Kesepaduan dalam kalangan majoriti rakyat Malaysia yang kita lihat hari ini sebenarnya lahir daripada semangat penerimaan dan rasa
hormat yang tinggi antara kaum dan agama. Justeru, keutamaan harus diberi kepada usaha-usaha membina sikap penerimaan diiringi
dengan nilai keluhuran budi pekerti dalam masyarakat. Ini adalah kerana keharmonian dan kesejahteraan dalam hubungan masyarakat
akan hanya dapat diwujudkan jika setiap individu mempunyai pemahaman yang baik tentang peranan masing-masing untuk
menerapkan nilai-nilai murni dalam interaksi seharian.
Hubungan baik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara ini harus diharmonikan dan dipelihara. Aspek ini tidak boleh
dijadikan taruhan oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda peribadi atau agenda kelompok yang tersendiri. Perlu ada rasa
belas kasihan kepada rakyat yang inginkan keamanan dan kestabilan negara agar berpeluang untuk meneruskan kelangsungan hidup
dengan rasa selamat dan terjamin. Cukuplah kekacauan dan konflik di negara-negara asing sebagai pengajaran kepada kita.

Kepentingan Perpaduan Kaum di Malaysia

Perpaduan antara rakyat Malaysia merupakan satu keistimewaan yang memainkan peranan penting demi mencapai status negara
maju menjelang tahun 2020. Banyak negara di dunia mencontohi Malaysia sebagai negara yang berbilang bangsa, agama dan
budaya kerana keharmonian dan kemakmuran antara kaum serta budaya menjadi pegangan kepada pandangan positif rakyat
antarabangsa terhadap Malaysia.

Selain itu, kepelbagaian agama di Malaysia juga perlu diberi keutamaan demi mengekalkan kukuhan perpaduan antara kaum dengan
mengamalkan semangat perkongsian, saling menghormati dan menanam sikap toleransi sesama rakyat Malaysia. Dengan itu,
masyarakat akan lebih terbuka untuk mengenali dan memahami kepelbagaian agama di negara ini demi menguatkan lagi
kesefahaman antara kaum dan agama.

Tambahan pula, sambutan pelbagai hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Hari Gawai
dan Kaamatan boleh dijadikan platform untuk mengenali budaya dan adat resam sesama masyarakat sambil memperbaharui ikatan
persahabatan. Keharmonian demi kesatuan ini juga merupakan keunikan yang bukan sahaja memperteguhkan lagi perpaduan antara
kaum, malah menjadi penanda aras bagi Malaysia dalam mencapai matlamat sebagai negara yang aman dan harmoni. Misalnya,
rumah terbuka bagi setiap satu perayaan diadakan untuk meraikan perpaduan kaum yang memupuk amalan ziarah-menziarahi,
saling menolong dan semangat kejiranan sebagai budaya harian kita.

Perpaduan kaum juga memainkan peranan dalam mengukuhkan lagi ekonomi negara dengan penglibatan semua kaum dalam kegiatan
ekonomi. Misalnya, Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan pada tahun 1970 oleh Tun Abdul Razak, adalah bertujuan untuk
menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di negara ini. Pelancaran dasar ekonomi tersebut memastikan
bahawa taraf hidup masyarakat dapat ditinggikan dalam usaha untuk mencapai kemajuan dalam pembangunan negara. Jurang
perbezaan akan terhapus dalam fungsi ekonomi mengikut kaum dan lahirnya perpaduan ekonomi di kalangan rakyat, sambil
meningkatkan lagi taraf pembangunan ekonomi negara.

Secara keseluruhan, perpaduan kaum merupakan antara faktor terpenting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang
kaum dan agama. Sekiranya kita berpecah atau bertelingkah antara satu sama lain, negara yang aman dan harmoni ini akan menjadi
mundur dan pertikaian akan menyebabkan ketidakstabilan ekonomi yang menjejaskan pembangunan negara. Masyarakat Malaysia
perlu menjadi penggerak utama dalam memupuk dan mengekalkan perpaduan antara kaum dalam usaha untuk mencapai matlamat ke
arah status negara maju serta memastikan pembangunan ekonomi negara yang stabil dan konsisten.

Harmonikan hubungan masyarakat pelbagai kaum

Perpaduan nasional harus menjadi misi penting bagi negara. Ia memerlukan kerangka bersifat komprehensif yang akan mampu
menterjemahkan sebaik mungkin wajah kerencaman masyarakat majmuk Malaysia. Keadilan, penerimaan dan toleransi perlu menjadi
nilai asas kepada kerangka perpaduan nasional ini.

Nilai itu perlu digarap dengan menjadikan Islam sebagai kayu ukur utama mendukung agenda perpaduan nasional dalam konteks
Malaysia. Selain melihat sifat Islam sebagai rahmatan lil alamin atau rahmah seluruh alam, ciri agama bersifat sejagat sebenarnya
amat penting dalam memastikan umat Islam kekal menerajui usaha baik ini.

Sejujurnya, perlu wujud kesedaran dalam masyarakat usaha membina peradaban dan mencapai status kemajuan bagi Malaysia,
terutama dalam merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, seharusnya bertunjangkan persefahaman, tolak ansur
dan rasa hormat-menghormati.

Kesantunan insan dalam mengurus perbezaan dalam masyarakat pelbagai agama dan bangsa perlu dititkeberatkan. Ini
realiti harus difahami dan diterima semua pihak.

Pendekatan integrasi menjadi tunjang agenda perpaduan negara membolehkan masyarakat berbilang bangsa dan agama hidup
bersama-sama dalam suasana harmoni di samping mengekalkan identiti dan ciri bangsa masing-masing.

Walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai penganut agama dan mengamalkan budaya berbeza, sifat kebersamaan serta
cintakan keharmonian dan keamanan perlu ada bagi merealisasikan matlamat perpaduan nasional.

Kesepaduan dalam rakyat sebenarnya lahir daripada semangat penerimaan dan rasa hormat tinggi antara kaum dan agama. Justeru,
keutamaan harus diberi kepada usaha membina sikap penerimaan diiringi nilai keluhuran budi pekerti dalam masyarakat.

Keharmonian dan kesejahteraan dalam hubungan masyarakat akan hanya dapat diwujudkan jika setiap individu mempunyai
pemahaman baik terhadap peranan masing-masing untuk menerapkan nilai murni dalam interaksi seharian.

Hubungan baik dalam masyarakat berbilang bangsa tidak boleh dijadikan taruhan oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda
peribadi atau kelompok tersendiri. Perlu ada belas kasihan kepada rakyat yang inginkan keamanan dan kestabilan negara agar
berpeluang untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan selamat dan terjamin. Cukuplah kekacauan dan konflik di negara asing
sebagai pengajaran kepada kita.

Keharmonian jadi cabaran utama

Apatah lagi jika kita melihat sebahagian rakyat Malaysia gagal memahami maksud Keluhuran Perlembagaan yang ada dalam
Rukun Negara apabila masih wujud mereka yang mempersoalkan perkara berkaitan agama, kebebasan bersuara dan penghakiman
mahkamah yang disifatkan boleh membawa negara kepada kehancuran. Justeru, ia membuktikan bahawa isu keharmonian antara
kaum masih menjadi cabaran utama walaupun pelbagai usaha sudah diambil.

Politik sepatutnya menyatukan bukan merobohkan. Penulis berasakan sebagai negara berbilang bangsa dan agama, kita mesti hidup
dalam kerukunan. Tidak dinafikan, perbezaan nilai antara etnik juga mengakibatkan hubungan antara kaum bertambah rumit. Oleh
itu, orang politik dan pemimpin tidak kira agama dan bangsa, perlu menginsafi dan menyedari bahawa tanggungjawab memupuk
kebersamaan ialah hak bersama, bukan melaga-laga serta mendorongkan perbezaan yang memecahkan.

Kalau tidak, ketahanan negara pasti tidak dapat dibina, sebaliknya akan membawa kepada kehancuran ekonomi yang merugikan
negara secara mutlak. Sebarang salah laku yang membawa kepada kemusnahan negara perlu dihukum. Harus diingat,
penguatkuasaan undang-undang bukan untuk menghukum, tetapi memastikan kerukunan sesuatu perkara dapat berlangsung dengan
sempurna bagi kebaikan semua.

Perkukuh perpaduan

Pastinya, Malaysia akan hanya tinggal nama tanpa isi pada masa akan datang sekiranya konsep kenegaraan terbiar maka
tinggallah kulit bersepah tanpa isi. Apakah kerana kepentingan politik atau perbalahan perkauman yang keterlaluan di Malaysia
akhir-akhir ini, menyebabkan prinsip Keluhuran Perlembagaan sebagai ideologi negara semacam tidak lagi perlu
dipertahankan?

Wahai rakyat Malaysia, jika tanggungjawab Perlembagaan ini gagal dihayati dan dilaksanakan, bagaimanakah matlamat utama
perpaduan negara bangsa ini dapat dicapai? Perpaduan hanya akan bertambah kukuh dengan wujudnya kestabilan politik di
antara kaum dan etnik, merentasi agama. Walaupun sudah 62 tahun kita memekik kemerdekaan, tetapi merdeka kah kita
sebenarnya?

Mungkin benar kita sudah merdeka daripada penjajahan, sebaliknya kita dijajah pemikiran kita sendiri. Terpenjara dalam ruang
ciptaan prasangka dusta dan ego dalam kesempitan. Mari bebaskan diri kita dengan menghayati erti sebenar perit mencapai
kemerdekaan. Hanya dengan itu, kita akan berusaha mengekalkannya.

Hiduplah dalam peraturan yang sudah kita setujui. Tuntasnya untuk mencapai kemajuan bagi negara yang seperti ini, sikap
penerimaan antara kaum membawa kepada perpaduan yang utuh perlu diamalkan. Apabila perpaduan dicapai, maka semua
urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Yang penting, citra Malaysia mesti jelas bahawa negara berdaulat ini memiliki kepelbagaian yang perlu diraikan berdasarkan
Rukun Negara yang dipersetujui bersama. Malaysia Baharu sepatutnya membina teladan mengukuhkan aspirasi perlembagaan
kita, bukan mengadaptasi liberalisasi mahu ekstremis untuk kepentingan sesetengah pihak.

PERTAHANKAN PERPADUAN DALAM KEPELBAGAIAN

Menghargai kepelbagaian budaya dan saling menghormati perbezaan agama ialah dua perkara yang sangat penting dalam mencapai
keharmonian hidup dalam bermasyarakat. Hal ini demikian kerana menghormati budaya dan perbezaan agama merupakan kunci
utama ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu padu.

Kepelbagaian rakyat Malaysia dari segi budaya dan agama telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang sangat unik.
Rakyat diberikan kebebasan mutlak dalam mengamalkan ajaran agama dan kepercayaan masing-masing tanpa sebarang kekangan,
batasan mahupun halangan walaupun agama Islam diisytiharkan agama rasmi negara kita. Hak dan kebebasan ini turut termaktub
dalam perlembagaan dan menjadi asas untuk memelihara perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.

Selain itu, perayaan setiap agama juga disambut secara besar-besaran. Malah ada negeri yang memberikan cuti umum untuk
menyambut perayaan-perayaan tersebut. Hal ini jelas membuktikan masyarakat Malaysia telah hidup dalam keadaan yang harmoni
dengan berpegang kuat kepada sifat toleransi yang tinggi dan setiap kaum juga menunjukkan sikap saling menghormati antara satu
sama lain. Sifat terpuji sebeginilah yang telah menjadi tunjang kepada kemajuan kita sebagai sebuah bangsa yang berjaya.

Di samping itu, pemimpin luar turut mengakui dan mengiktiraf keunikan yang ada pada Malaysia sehingga melabel Malaysia
sebagai model negara membangun. Pengiktirafan ini adalah berdasarkan penilaian mereka terhadap tiga perkara asas dan utama yang
dimiliki oleh Malaysia iaitu kesuburan sistem demokrasi, mempunyai kerajaan yang efektif dan pembangunan ekonomi yang baik.
Ketiga-tiga perkara ini perlu dimantapkan supaya sejajar dengan kehendak rakyat yang cintakan keamanan dan kesejahteraan.

Oleh itu, bukan mudah untuk mempertahankan warisan turun temurun ini. Malahan terlalu banyak cabaran dan dugaan yang
terpaksa kita harungi dalam mempertahankan perpaduan dan keharmonian kaum tersebut. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita
termasuklah generasi hari ini untuk mempertahankan keunikan tersebut dengan terus menyuburkan rasa saling menghormati dan
memahami budaya dan kepercayaan semua kaum di Malaysia.

Malaysia Prihatin - Kedaulatan negara tanggungjawab bersama
Patriotisme amat penting kepada rakyat setiap negara. Ia bukan sekadar luahan perasaan, tetapi menuntut penghayatan setiap
warganegara.Nasionalisme pula gerakan untuk menciptakan masyarakat lebih terbuka untuk mendapatkan kebahagiaan perseorangan,
bagi menjamin kemerdekaan warganegara dan membebaskan akal dan fikiran.Dengan kata lain, nasionalisme itu satu semangat. Oleh
itu, kebudayaan seperti agama, bahasa dan lain-lain boleh menimbulkan semangat nasionalisme. Melalui elemen itu juga, ia mampu
mewujudkan semangat yang dapat melahirkan satu identiti baharu bagi negara dijajah.Elemen penting terkandung dalam nasionalisme
ialah patriotisme, iaitu perasaan cinta kepada tanah air.

Dalam konteks Asia Tenggara, semangat nasionalisme wujud dengan serius dalam abad ke-20. Dalam konteks orang Melayu pula,
nasionalisme merujuk perjuangan mereka untuk mendapatkan kembali kedudukan unggul dalam negaranya sendiri, iaitu sebelum
kedatangan penjajah.

Keseluruhannya, nasionalisme bertujuan membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing. Namun, pengertian nasionalisme dalam
konteks lepas merdeka pula lebih sebagai satu perjuangan mempertahankan maruah dan mempertinggikan martabat serta kedaulatan
negara.

Dalam konteks Malaysia, patriotisme perlu ada pada diri setiap rakyat Malaysia. Ini kerana, kemerdekaan yang kita kecapi bukan
dicapai dalam masa singkat. Sebaliknya, berlangsung dalam suasana dramatik dan tidak harus dilupakan bagi mengekalkan
kesinambungan kemerdekaan dicapai.Semangat patriotisme terhadap negara tidak sewajarnya timbul hanya dalam perjuangan
menuntut kemerdekaan atau apabila negara berada dalam ancaman musuh semata-mata.
Dalam keadaan aman umpamanya, semangat patriotisme seharusnya menjadi pendorong setiap rakyat yang cintakan negaranya, untuk
bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh bagi membangun dan memajukan negaranya.

Perbezaan ideologi, kaum dan parti politik dalam sesebuah negara sepatutnya tidak dijadikan halangan kepada usaha memakmurkan
negara.Tidak kira petani, nelayan, kakitangan awam atau buruh, semuanya perlu mempunyai semangat kecintaan menebal ke atas negara.
Tanpanya, individu dan masyarakat akan berpecah belah kerana masing-masing lebih menumpukan kepada diri atau puak masing-masing
dan lupa tanggungjawab terhadap negara.

Semangat patriotisme lebih penting kepada negara pada masa kini. Ini kerana negara didiami rakyat berbilang agama, bangsa dan ideologi
politik yang begitu ketara. Jika rakyat meletakkan semangat perkauman, kefahaman ideologi politik atau parti politik lebih utama daripada
negara, tentulah pembangunan dan kemajuan tidak akan dapat dicapai.

Oleh itu dalam situasi masyarakat sebegini, keperluan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat begitu penting. Semangat patriotisme
akan menghalang rakyat Malaysia bersikap prejudis terhadap mana-mana kaum, agama mahupun ideologi parti yang berbeza dengan
mereka.Dalam erti kata lain mereka akan meletakkan kepentingan negara lebih tinggi daripada peribadi mahupun kaum masing-
masing.Patriotisme juga merujuk ikatan spiritual antara individu dan negara. Ikatan itu berasaskan semangat cintakan negara dan sanggup
berkorban untuk mempertahankannya.Seseorang insan yang tidak tergerak jiwanya oleh perasaan cinta terhadap ibu pertiwinya dianggap
manusia yang hilang jati dirinya.

Patriotisme boleh dilihat dalam dua keadaan, iaitu tersirat dan tersurat.Bentuk tersurat boleh dilihat dalam luahan patriotisme berdasarkan
simbol digunakan seperti bendera, lagu kebangsaan, Rukun Negara, dasar kerajaan, perbarisan Hari Kebangsaan dan sebagainya.
Perspektif tersirat pula lahir daripada sikap dalaman seperti adat resam, nilai, budaya dan pelbagai lagi.
Kemungkinan cara melahirkan penghayatan patriotisme yang terdahulu tidak lagi dapat menarik minat generasi pasca merdeka, kerana
generasi ini tidak tersentuh oleh faktor sama dengan generasi terdahulu.

Walaupun bentuk penghayatannya berbeza, tetapi yang penting kewujudan perasaan cintakan negara dan kesanggupan untuk
meningkatkan imejnya. Semangat patriotisme seperti dipersetujui banyak pihak adalah suatu tuntutan dan keperluan dalam kehidupan
manusia.

Ini kerana melalui patriotisme setiap rakyat di sesebuah negara akan memperoleh maruah, jati diri dan jaminan masa depan untuk
generasinya.Semangat patriotisme nadi kepada kebebasan, kemerdekaan, kestabilan dan kemajuan sesebuah negara. Kurangnya
semangat patriotisme dalam kalangan rakyat sesebuah negara akan membawa kegoyahan dan penderitaan kepada rakyat.

Patriotisme juga akan melahirkan rakyat yang akan berkhidmat dengan cekap, yakin dan jujur dalam tindakan mereka seperti diungkap
Presiden Theodore Roosevelt (1969):”Patriotik akan menjadikan seseorang itu berkhidmat demi negaranya…. Dalam apa keadaan pun,
adalah dianggap tidak patriotik kalau tidak bercakap benar, sama ada berhubung dengan Presiden ataupun berhubung dengan sesiapa
saja".

Menurut Ungku Aziz, "patriotisme tidak harus dipandang sepi rakyat sehingga rasa kesetiaan kepada negara sekadar ungkapan dan
tanggungjawab yang hanya terletak di atas bahu pemimpin lapisan pertama iaitu Perdana Menteri yang rapat dengan mereka".

Oleh itu semangat patriotisme tinggi perlu ada dalam diri rakyat sebagai tunggak utama pembangunan sesebuah negara.Tanpanya negara
akan musnah dan hancur bukannya kerana diserang musuh, tetapi kegagalan rakyat melaksanakan tanggungjawab terhadap
negara.Keunikan patriotisme di Malaysia terletak pada kejayaan menguruskan masyarakatnya yang berbilang kaum. Sejak merdeka
kerajaan Malaysia meletakkan perpaduan kaum sebagai matlamat utama negara.

Sememangnya perpaduan antara kaum di Malaysia teras kepada kelangsungan sesebuah negara itu. Dalam suasana masyarakat majmuk
di Malaysia ini sebagai rakyat yang mempunyai semangat patriotisme, mereka perlu memikirkan tentang masa depan, survival bangsa
Malaysia dan perlu dijadikan sebagai wahana dalam mengecapi kehidupan lebih bermakna.Sekiranya cinta terhadap negara hilang,
kepercayaan kepada ibu pertiwi musnah maka lenyaplah harga diri dan maruah sesuatu bangsa. Ini akan mengundang kelemahan bangsa.

Lantaran itu, bagi mengembalikan semangat patriotisme, sejarah dan sivik mesti dijadikan landasan kerana melaluinya manusia
semasa dapat mempelajari segala liku-liku yang terpaksa ditempuhi generasi sebelumnya untuk mewariskan sebuah kehidupan bagi
generasi berikutnya.Segala kesusahan ditempuhi generasi terdahulu dapat dijadikan iktibar untuk merangka tamadun lebih tinggi
untuk generasi kemudiannya pula.

Melalui cara itulah, tamadun manusia berkembang dan nadi kepada perkembangannya terletak pada semangat
patriotisme.Pengorbanan tokoh zaman silam mestilah dikenang sebaiknya kerana mereka sejarah gemilang perjuangan gemilang
untuk memartabatkan patriotisme negara.

Oleh itu, negarawan lambang atau simbol kejayaan sesebuah bangsa yang merdeka. Mereka generasi yang menjadi pelopor
kemerdekaan dan kemajuan kita nikmati hari ini.Dirgahayu negaraku Malaysia yang ke-63 tahun.

Perpaduan tunjang keharmonian negara

Perpaduan membaca perkataaan ini sahaja sudah pasti membuatkan kita tergambar mengenai kehidupan aman, damai dan harmoni
tanpa sebarang gangguan, peperangan, perpecahan budaya dan kaum dalam sesebuah negara itu.Tanpanya, keretakan dan
kerenggangan dalam sesebuah masyarakat itu akan wujud sehingga menjurus kepada perpecahan rakyat.Kerana itu, perpaduan
menjadi faktor atau tidak salah disebut sebagai tunjang kepada keamanan tanah tumpah darah kita, Malaysia mahupun negara-negara
lain.Seperti yang pernah dikatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, perpaduan dicapai akan menjamin kestabilan
seluruh rakyat.

Justeru, kita sentiasa diingatkan supaya mengekalkan semangat perpaduan demi pembangunan negara dan kesejahteraan bersama.
“Kestabilan, keharmonian perpaduan dikecapi membawa kepada kehidupan rakyat bersatu-padu, erat dan sekali gus meningkatkan
aktiviti ekonomi bagi menjana kekayaan untuk kita kongsi bersama.“Kita perlu mengambil iktibar daripada kehancuran yang dialami
oleh negara-negara luar akibat perpecahan hingga berlaku konflik dan peperangan,” kata beliau.Terdahulu, kenyataan tersebut
dibacakan semasa beliau menyampaikan ucapan pada sambutan Hari Malaysia di Stadium Perpaduan 16 September lalu.

Menurut Tun M, apabila sesuatu kehancuran dalam perpaduan itu berlaku, ia sukar untuk diperbaiki dan kadang-kala melangkaui satu
generasi.“Walaupun wujud cubaan daripada pihak tertentu yang mahu melemahkan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini
tetapi, kita perlu berjiwa besar, yakin dan terus berfikiran waras supaya tidak dipengaruhi.“Naratif digunakan berkait dengan emosi
khususnya berkaitan kaum, agama, kenegerian dan kumpulan etnik dan kita jangan mudah terperangkap dengan isu-isu ini,” kata
beliau.Sambutan Hari Malaysia 2019 yang bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ turut mengambarkan betapa
pentingnya rakyat supaya mengasihi dan mencintai negara ini.

Sedar Tanggungjawab

Dalam pada itu, sebagai rakyat Malaysia kita harus sedar tanggungjawab dipikul terhadap negara, khususnya bagi
mempertahankan perpaduan dibina demi kesenangan serta keselesaan telah dinikmati.

Ujar Tun M, rakyat harus menghargai jasa dan pengorbanan dilalui mereka yang berjuang mewujudkan negara ini lebih lima
dekad.
“Jika mereka sedar dan hargai apa dilakukan pejuang terdahulu, pasti perpaduan dan kerjasama antara rakyat tidak dipandang
ringan.
“Malah, kita akan terus bangkit serta pertahankan perpaduan terbina dari anasir yang mahu menggugatnya,” kata beliau.
Bagi beliau, tanggungjawab mempertahankan perpaduan tidak boleh diletakkan kepada kerajaaan semata-mata.
“Ia adalah tanggungjawab semua yang mengakui diri sebagai rakyat Malaysia.
“Walaupun semangat perpaduan mengalami pasang surut bergantung kepada keadaan dan suasana, namun ia tidak seharusnya
melemahkan semangat kita untuk kekalkannya,” kata beliau.

Beliau yakin majoriti rakyat Malaysia menolak pemikiran sempit dan jumud sekali gus akan terus bersama mempertahankan
perpaduan terjalin.Setiap rakyat harus mengetahui betapa pentingnya perpaduan dalam negara ini demi pembangunan negara dan
kesejahteraan rakyat.

Kesimpulan

Kesimpulannya, semua pihak perlu bertanggungjawab dalam menggalas kewajipan ini. Pemimpin pelbagai peringkat
terutamanya, harus senada dalam merealisasikan agenda perpaduan negara. Persefahaman dalam kalangan pemimpin ini adalah
amat penting kerana melaluinya, rakyat akan dapat satu isyarat yang jelas bahawa mengharmonikan hubungan masyarakat
berbilang bangsa dan budaya di Malaysia ini adalah tanggungjawab semua warganegara.

Hubungan baik yang terbina antara penganut pelbagai agama di Malaysia ini perlu sentiasa dikekalkan bagi menjamin
keharmonian hidup bermasyarakat. Situasi ini memerlukan kepada kerjasama semua pihak secara menyeluruh bagi
menghasilkan suatu proses integrasi yang bersifat nasional. Perkongsian dan pematuhan terhadap nilai dan norma yang terpuji
merupakan aspek yang disepakati oleh semua manusia merentasi sempadan kaum dan agama. Maka, pendekatan wasatiyyah ini
dilihat penting dalam memandu interaksi inter-agama di Malaysia supaya tidak bersifat retorik semata-mata, bahkan mampu
menterjemahkan kemajmukan dan kepelbagaian yang wujud di Malaysia dalam bentuk yang lebih jitu dan bersepadu. Sebarang
ancaman yang dilihat berpotensi merencatkan pembinaan asas keharmonian ini perlu segera dicantas sama ada menerusi kempen
dan dialog mahupun penguatkuasaan undang-undang bagi menjamin kestabilan dan keharmonian yang wujud dalam kalangan
masyarakat berbeza agama di Malaysia mampu dikekalkan.

Rujukan
-Datuk Marzuki Yahya, Mei 15, 2019, Bersama Bersatu hati membina Malaysia baharu, Berita Harian.
-Enizahura Abdul Aziz, Januari 31, 2020, Harmonikan hubungan masyarakat pelbagai kaum, Berita Harian
-Sarah Sahadin, 2020, Kepentingan Perpaduan Kaum di Malaysia, Jobstore Team Blogger
-Syajaratulhuda Mohd Rosli, 9 Februari 2020, Perpaduan kunci keharmonian, Sinar Harian
-Bernama, 17 September 2019, Rakyat Malaysia bertanggungjawab pertahan perpaduan, Sinar Harian
-Fahezah Nor Mohamed, 26 September 2018, Pertahankan Perpaduan dalam Kepelbagaian, Blogger Fakulti Pertanian
-Ku Hasnan Ku Halim, Ogos 30, 2020, Kedaulatan negara tanggungjawab bersama, Berita Harian
-Admin Melaka Kini, 2020, Perpaduan tunjang keamanan negara, Blogger Melaka Kini


Click to View FlipBook Version