The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by 1650-24-adriana, 2023-11-02 13:15:00

Mahakarya

Cerpen

MAHAKARYA Nur Adriana Natrah


Seni. Lukisan. Sejak kecil lagi, Riri sangat meminati bidang seni melukis. Tangannya begitu mudah menari di atas lembaran kertas putih. Menghiasnya dengan tinta dan warna. Di kala waktu lapang, pantas tangannya melorek contengan di mana sahaja permukaan yang bisa digapai. Dia mempunyai bakat semula jadi yang dicemburui oleh setiap mata yang melihatnya. Sayang seribu kali sayang, kedua orang tuanya memandang sebelah mata malah melarang Riri untuk mengejar mimpinya. Saat itu, impian yang sudah terukir di bintang, hancur berkecai. Sayap kecilnya direntap kuat dan tiada yang menyambutnya saat dia jatuh menyembah ke bumi. “Kalau Ibu nampak Riri melukis lagi, Ibu tak akan belikan lagi barang-barang lukisan Riri. Buang masa, lebih baik Riri fokus dengan pelajaran. Tahun ni, Riri akan menghadapi SPM. Cuba Riri contohi Abang, buat Ibu bangga.” Sering sekali dirinya dibandingkan dengan Abang. Ya, Abang lah harapan keluarga yang telah membuat Ibu dan Ayah bangga. Di setiap majlis dan kenduri, Abang menjadi bahan untuk Ibu membuktikan dirinya sebagai Ibu Terbaik di Dunia. ‘Abang sambung belajar dalam bidang perubatan’, ‘Abang dapat anugerah dekan lagi.’, ‘Abang itu, Abang ini.’ Bukan Riri memperlekehkan abangnya, jauh lagi membencinya. Dia juga tumpang merasa bangga dengan pencapaian abangnya namun dia merasa sedikit cemburu. Mengapa Ibu dan Ayah hanya menyokong minat Abang? Adakah dia kurang disayangi? Mungkin dia anak pungut seperti yang Abang katakan padanya ketika mereka masih kecil. Air mata pun mula mengalir memikirkan nasib dirinya. “Anak perempuan kau tu, tak sambung belajar ke? Kalau tak, kau kahwinkan la dia dengan anak aku. Mukanya lawa, perangainya je kuat melawan.” Terdengar suara sumbang makcik-makcik bawang mencuba untuk menjodohkannya. ‘Saya tak ingin mak cik!’ Bab 1 : Berus dan Kertas


Di sekolah, Riri hanya mempunyai seorang kawan yang sentiasa berada di susah senangnya dan memahami setiap masalahnya. Namanya Amelia, panggilan manjanya ‘Lia’. Sejak di bangku sekolah rendah, Lia sentiasa menemani Riri dan memuji lukisannya. “Suatu hari nanti, bila kau dah berjaya. Kau mesti beritahu akulah peminat nombor satu kau, okey?” Pinta Lia. “Bukan itu je, aku nak potongan harga sebanyak 50% sebab aku satusatunya kawan baik kau.” Tidak tahu malu. Riri ketawa. “Boleh, kalau kau janji kau akan dedikasikan sebuah lagu khas untuk aku.” Balas Riri. Seperti Riri, Lia sangat menyukai musik dan pandai bermain instrumen musik. Ibu Lia sangat menyokong minatnya dengan mendaftarkan Lia ke kelas musik berbayar. Ketika Lia berlatih dengan lembaran musiknya, Riri akan menemaninya sehingga lewat petang sambil melukis apa sahaja yang datang di mindanya. Selalunya, dia akan melukis potret Lia yang sibuk berlatih dengan gitarnya. Kadang kala, dia berharap dia menjadi adik kepada Lia. Pasti minatnya untuk melukis juga akan disokong. Namun, impian Lia berbeza dengannya. Lia menyukai musik tetapi musik bukan mimpinya. Di borang cita-citanya, Lia menulis impiannya untuk menjadi seorang guru. Dia mempunyai cita-cita yang murni untuk mendidik anak bangsa. Namun, Riri juga mempunyai cita-cita yang murni untuk menghias dunia dan mewarnainya dengan pelbagai cerita. Kerana itu, di borang cita-citanya, Riri menulis impiannya untuk menjadi seorang pelukis. Bab 2 : Seni dan Musik


Riri menatap wajah marah ibunya dan kekecewaan di wajah ayahnya. Tangannya memeluk tubuh. Amarah ibunya ibarat gunung berapi hanya menunggu masa untuk meletus. Seketika terlintas di minda Riri, bilakah kali terakhir Ibu memandangnya tanpa amarah? Apabila Ibu mengetahui bahawa Riri menulis pelukis di borang cita-citanya, Riri terus dipanggil menghadap di ruang tamu. Ayah pula seperti biasa, tidak pernah berpihak kepadanya. “Ibu nak Riri jadi macam Abang. Sambung belajar dalam bidang perubatan.” ujar Ibu, tegas. “Riri tak yakin Riri mampu. Riri bukan macam Abang.” balas Riri. “Kenapa Riri ni degil sangat? Tak pernah nak dengar cakap! Ibu tahu apa yang terbaik untuk Riri. Riri akan menyesal kalau Riri teruskan dengan seni entah apa ni!” Hati Riri tertikam dengan kata-kata Ibu. Tidak menyangka Ibu akan meninggikan suara kepadanya kerana dia mempunyai impian yang berbeza. Dengan mata bergenang, dia menoleh kepada Ayah, mengharap sedikit sokongan. “Kalau Ibu Ayah dah tua dan sakit, Riri boleh jaga kami. Dengarlah cakap Ibu,” pujuk ayah pula. Kecewa, Riri berlari masuk ke dalam biliknya. Bunyi tangis memenuhi biliknya. Betapa pilu dan terluka hatinya. Sedikit kata semangat sudah memadai. Jika tidak ingin menggembirakannya, sekurang-kurangnya jangan menyakitinya. Kecewa, dia cukup kecewa. Mengapakah orang tuanya tidak seperti orang tua yang lain yang sentiasa memberi kata-kata semangat dan dorongan kepada anak-anak mereka untuk berusaha mencapai cita-cita mereka? Bab 3 : Ibu dan Ayah


Ketika semua pelajar Tingkatan 5 sedang sibuk mengulang kaji tiba-tiba guru kelasnya dan guru kaunseling memanggil Riri ke Bilik Kaunseling. Tanpa berlengah, Riri segera menuju ke Bilik Kaunseling memandangkan dia juga mempunyai beberapa persoalan untuk ditanyakan mengenai jurusan yang perlu diambil untuk menyambung pelajaran dalam bidang seni. “Cikgu dapat tahu yang kamu nak sambung belajar dalam bidang seni? Kamu yakin ke, Riri? Dah fikir masak-masak? Bukannya keputusan kamu tak bagus, kamu boleh pilih jurusan perubatan yang kamu nak.” Sebaik sahaja dia masuk ke dalam Bilik Kaunseling, dia diterjah dengan soalan dan persoalan. Riri terdiam seketika. Dia memandang raut wajah risau guru kelasnya. Garis-garis di dahinya jelas terlihat. “Riri, cikgu bukan apa. Ini demi masa depan kamu. Lebih baik kamu pilih bidang perubatan. Ibu kamu beritahu yang kamu banyak main dan keliru sekarang. Riri, kamu masih muda. Kadang-kala, kamu perlu terima nasihat dari orang yang lebih dewasa dan berpengetahuan. Demi kebaikan kamu juga.” Saat itu gugur hatinya ibarat kaca terhempas ke batu. Masa depannya terasa begitu gelap dan jauh. Riri mengangguk lalu keluar dari Bilik Kaunseling. Guru kelas dan guru kaunselingnya hanya menggelengkan kepala. Dia cuba menahan tangis namun apabila dia melihat Lia menunggunya di luar, air matanya mengalir deras. Bahunya terhenjut menahan tangis. Dia memeluk Lia erat. Begitu remehkah impiannya? Mengapa semua orang mempersoalkan keinginannya? Mengapa realiti begitu berbeza dengan mimpinya? “Riri, jangan mengalah. Suatu hari nanti, kau pasti akan dapat capai impian kau.” pujuk Lia. “Lia, kau akan jadi guru yang terbaik untuk murid kau satu hari nanti.” ujar Riri pula. Lia tersenyum lembut. Tangannya menepuk bahu Riri. Memberi semangat dan kekuatan kepada sahabat baiknya itu. Jika degil itu ialah manusia, Riri lah orangnya, Lia yakin tentang itu. Bab 4 : Mimpi dan Realiti


“Wah, macam best je karya terbaru Riana ni! Aku nak beli komik baru dia di galeri seni dia nanti!” “Kan! Hujung minggu ni, aku dengan ibu aku nak pergi galeri dia.” Lia tersenyum mendengar perbualan anak muridnya. Begitu riuh dan ceria berbual sementara menunggu guru mereka. Dia berjalan masuk ke dalam kelas bersama sebuah gitar. “Baiklah, murid-murid! Hari ni kita akan menyanyi lagu! Semua duduk dalam kumpulan masing-masing.” Riri memeriksa kesemua persiapan untuk pameran seninya buat kali terakhir. Dia bangga melihat hasil titik peluhnya berhempas pulak untuk projek itu. Semuanya sudah dalam keadaan terbaik dan sedia untuk dipamerkan. “Cik Riri, lukisan ni untuk dijual?” tanya pengurusnya. “Oh, lukisan itu dah dijual.” jawab Riri, selamba. “Harganya agak murah berbanding lukisan yang lain. Diskaun rakan baik?” usiknya. Riri ketawa kecil. Dia mengambil lukisan itu dan menyandarkannya di dinding. Di balik lukisan potret itu, tertulis ‘peminat nombor satu’. Waktu sekolah akan habis pada pukul 2. Bab 5 : Mahakarya TAMAT


Click to View FlipBook Version