Penanaman
Tanaman
Sayuran Secara
Konvensional
1.0 Jenis Tanaman dan Kaedah Penanaman
1.1 Penyediaan Tapak
Penyediaan tapak merupakan langkah pertama untuk penanaman tanaman sayuran.
Tapak yang dipilih haruslah rata untuk memudahkan kerja penanaman dan terdedah
kepada cahaya matahari yang mencukupi. Aktiviti-aktiviti penyediaan tapak termasuk
aktiviti pembersihan kawasan, membajak tapak dan membuat batas.
Pertama sekali, kerja pembersihan kawasan yang dilakukan adalah membuang batu-
bata dan sisa akar, membersihkan ketulan tanah liat dan merumput. Tujuannya adalah
untuk melancarkan proses penanaman sayuran dengan subur. Selepas membersihkan
kawasan, kerja membajak tanah dijalankan dengan menggunakan alatan seperti cangkul
dan pencakar tanah supaya dapat memperbaiki saliran dan pengudaraan tanah serta
penyerapan air dalam tanah. Kerja pembinaan batas boleh dijalankan dengan
meninggikan tanah bagi mengelakkan air bertakung dan memperbaiki pengudaraan
tanah. Jarak bagi satu batas ke batas yang lain adalah 45cm - 100cm, tinggi 120cm dan
lebarnya 15cm - 20cm. Semasa membina batas, kita perlu membubuh baja organik
seperti najis ayam atau baja kompos iaitu bahan organik yang mengalami proses
pereputan untuk menambahkan kandungan nutrien dalam tanah. Seterusnya, batas yang
dibina perlu dibiarkan selama seminggu sebelum kerja penanaman kerana pancaran
cahaya matahari dapat menghapuskan organisme yang akan merosakkan sayuran.
1.2 Pemilihan Biji Benih
Pada masa yang sama, kita perlu memilih biji benih yang sesuai untuk ditanam di
talam semaian. Antara ciri-ciri biji benih yang baik dan sihat adalah besar dan berisi
penuh, cukup matang dan bernas, tidak rosak dan mempunyai peratus percambahan
yang tinggi sebanyak 80 peratus ke atas. Dengan itu, kita boleh melakukan ujian
percambahan biji benih dengan langkah-langkah berikut:
1. Sediakan satu bekas.
2. Letakkan tisu dalam bekas dan basahkan.
3. Letak biji benih dengan teratur atas tisu.
4. Tutup bekas.
5. Biarkan biji benih untuk bercambah selama beberapa hari.
6. Mengira peratusan percambahan anak benih dengan formula:
Cara alternatif ialah merendamkan biji benih dalam air. Biji benih yang tenggelam
merupakan biji benih yang baik kerana mempunyai ketumpatan yang tinggi, manakala
biji benih yang terapung adalah biji benih yang tidak baik.
Seterusnya, kita perlu menyediakan semaian bagi penyemaian biji benih. Tanah
organik dimasukkan dalam talam semaian dan memasukkan biji benih yang dipilih ke
dalam semaian dengan kedalaman yang sesuai dengan sebatang lidi. Akhirnya, timbus
biji benih menggunakan jari dan siram semaian sehingga lembap menggunakan spray.
Kemudian, talam semaian perlu diletakkan di tempat yang teduh dan melakukan
penyiraman setiap hari untuk proses percambahan.
1.3 Pemindahan Anak Benih
Sekiranya biji benih telah bercambah dalam seminggu, kerja pemindahan anak
benih dengan pendedahan kepada cahaya matahari secara beransur-ansur yang
dikenali sebagai proses pengerasan boleh dilakukan. Sebelum pemindahan, kita perlu
membuat penjarangan yang sesuai supaya anak benih tidak bersaing antara satu sama
lain. Setelah menandakan tempat yang ingin ditanam, buat lubang dan masukkan bahan
organik untuk membolehkan anak benih bertumbuh dengan sihat. Bagi memudahkan
proses pemindahan, lembabkan semaian sebelum mengeluarkan anak benih.
Seterusnya, masukkan anak benih dengan kedalaman yang sesuai, iaitu pangkal adalah
separas dengan tanah dan timbuskan dengan tanah.
2.0 Rekod Penjagaan Tanaman Sayuran
2.1 Naungan
Kemudian, kita perlu membuat naungan bagi anak benih bertujuan untuk
mengawal pendedahan cahaya matahari yang terlalu terik. Cara membuat naungan
ialah dengan menutup batas menggunakan jaring hitam. Dengan adanya naungan,
dapat mengelakkan timpaan hujan yang terus ke atas anak benih yang akan
merosakkan anak benih.
2.2 Sungkupan
Selain daripada naungan, kita juga perlu membuat sungkupan yang bertujuan
untuk mengurangkan pendedahan cahaya matahari secara terus terhadap anak benih
yang akan menyebabkan anak benih layu dan mati. Cara yang boleh dilakukan adalah
seperti meletakkan dua helai daun di sekeliling anak benih selama satu hingga dua
minggu.
2.3 Penyiraman
Akhirnya, kerja penyiraman dilakukan untuk memastikan kelembaban yang
mencukupi. Proses penyiraman haruslah dilakukan sebanyak dua kali sehari iaitu pagi
dan petang supaya tanah tidak menjadi kering yang akan menyebabkan sayuran
kekurangan air.
2.4 Pembajaan
Dalam proses penjagaan tanaman sayuran, kaedah membaja biasanya dilakukan setiap
2 minggu yang bertujuan untuk memastikan tanaman sayuran tumbuh dengan segar dan
mengeluarkan hasil yang memuaskan. Contoh baja yang boleh digunakan ialah baja organik
kerana ia merupakan baja mesra alam yang dihasilkan tanpa menggunakan bahan kimia.
2.5 Merumput
Seterusnya, kita perlu sentiasa memastikan kawasan tanaman adalah bersih dan kemas.
Oleh itu, kerja merumput perlu sentiasa dilakukan kerana rumput-rumput yang tumbuh di
sekeliling sayuran akan menyebabkan sayuran tidak menerima nutrien yang cukup.