The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by 1043-3-hafiz, 2022-05-10 07:02:45

11

11

INSTITUT PENDIDIKAN GURU

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
KAMPUS SULTAN ABDUL HALIM,08000

SUNGAI PETANI,KEDAH

NAMA : MUHAMMAD HAFIZ BIN CHE MUSA

NO. K/P : 030327-03-0947

ANGKA GILIRAN : 2021252310388

INSTITUT : IPGK SULTAN ABDUL HALIM

PROGRAM : PPISMP

SEMESTER :2

NAMA KURSUS : ASAS KELESTARIAN DAN

TERKNOLOGI HIJAU

KOD KURSUS : PALS1012

PENSYARAH : DR HJH FAZLIZA CHE AMAT

TARIKH HANTAR : 8/5/2022

PENGAKUAN PELAJAR
Saya mengaku bahawa tugasan kerja kursus ini adalah hasil kerja saya sendiri kecuali
nukilan dan ringkasan yang setiap satunya saya jelaskan sumbernya.

Tandatangan Pelajar: Hafiz Tarikh : 8/5/2022

PEMERIKSA MODERATOR

Markah Markah

Tandatangan Tandatangan

Cop Cop

Tarikh Tarikh

PENGESAHAN PELAJAR
Saya mengesahkan bahawa maklum balas yang diberikan oleh pensyarah telah saya
rujuki dan fahami.

Tandatangan Pelajar: Hafiz Tarikh : 8/5/2022

1.0 PENDAHULUAN
Bangunan Hijau atau turut dikenali sebagai “Green Building” merupakan bangunan yang
mempunyai unsur teknologi binaan mesra alam semulajadi daripada lakaran pembinaan
sehinggalah kepada operasi, penyelenggaraan dan pengubahsuaian. Konsep bangunan hijau
diperkenal bagi mewujudkan taraf hidup yang sederhana dan memelihara alam semulajadi
dari kemusnahan (Alif Hilmi Shahron dan Wee, 2020). Antara tumpuan utama bangunan hijau
adalah untuk meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga, air dan bahan mentah. Teknologi
bangunan hijau kini semakin giat digunakan dalam pembinaan bangunan seperti bangunan
pejabat, kompleks membeli belah dan banyak lagi. Bangunan hijau atau bangunan mampan
adalah satu struktur yang direka dalam mendukung pembangunan rendah karbon yang
melibatkan hasil kerjasama antara kontraktor, arkitek dan semua ahli dalam pembinaan
projek. Pengaplikasian bangunan hijau merupakan satu langkah yang bijak kerana mampu
memberikan manfaat bukan sahaja kepada alam sekitar malah turut memberikan impak yang
besar kepada ekonomi dan kesihatan tubuh badan manusia.

2.0 TUJUAN BANGUNAN HIJAU

Secara asasnya, pembinaan bangunan hijau bertujuan bagi memberikan manfaat kepada
alam sekitar, penghuni dan bangunan itu sendiri. Bangunan hijau diperkenalkan kerana
mampu memberikan manfaat yang sangat besar kepada alam sekitar melalui penjagaan dan
pengawalan bahan yang digunakan dalam bangunan. Bangunan hijau menekankan aspek
penggunaan tenaga, air dan sumber-sumber lain untuk digunakan dengan lebih efisien bagi
mengelakkan pembaziran. Penggunaan tenaga yang paling diberi keutamaan adalah tenaga
elektrik kerana merupakan tenaga dominan yang digunakan dalam bangunan untuk tujuan
seperti pencahayaan dan penyaman udara.

Perbezaan bangunan normal dengan bangunan hijau adalah bangunan hijau mampu
memberikan perlindungan kepada penghuni di dalam bangunan tersebut daripada penyakit
building sick. Pencegahan kepada building sick perlu diberi perhatian kerana mampu
menyebabkan pelbagai penyakit seperti alergi, kesukaran bernafas dan gangguan psikologi
(Nur Azfahani Ahmad et al., 2019). Building sick berlaku apabila seseorang itu berada di
dalam ruang kerja yang tertutup dan tidak mempunyai kadar pengaliran udara yang baik.
Bangunan yang dibina pada masa kini kebanyakannya menggunakan penyaman udara untuk
menambah kesegaran udara namun tanpa mereka sedari udara itu hanya disejukkan tanpa
diganti dengan udara yang baharu. Hal ini akan menyebabkan penularan penyakit bawaan
udara seperti selsema akan disebarkan dengan pantas. Contohnya, apabila individu yang
mengalami selsema berada di dalam ruangan yang mempunyai penghawa dingin untuk
tempoh yang lama, risiko bagi individu lain untuk menerima jangkitan adalah tinggi.

3.0 CIRI-CIRI BANGUNAN HIJAU

Dalam menetapkan samada sesebuah bangunan itu merupakan bangunan hijau atau
sebaliknya, Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia
(PAM) telah menubuhkan “Green Building Index” (GBI) di Malaysia pada tahun 2009
(Muhammad Nur Fathi Azmi & Indera Syahrul Mat Radzuan, 2021). GBI akan menetapkan
standard yang perlu dicapai oleh sesebuah bangunan untuk mendapatkan status bangunan
hijau. Berikut merupakan kriteria yang digunakan untuk menilai kehijauan sesebuah
bangunan:

1) KECEKAPAN TENAGA

Bangunan hijau merupakan sebuah bangunan yang mempunyai pengoperasian bangunan
yang meminimalkan penggunaan bahan bakar atau tenaga elektrik. Penggunaan tenaga alam
sekitar akan dimaksimumkan seperti penggunaan tenaga solar atau penggunaan tenaga yang
boleh diperbaharui. Ini dapat mengurangkan kadar pembaziran tenaga dalam sesebuah
bangunan.

2) KUALITI PERSEKITARAN DALAMAN

Antara aspek yang melibatkan persekitaran dalaman adalah kualiti udara, pencahayaan
keselesaan visual dan keselesaan suhu. Sesebuah bangunan akan mempunyai kualiti udara
sekiranya saliran udara yang digunakan mampu meningkatkan kadar pergerakan udara untuk
keluar dan masuk ke dalam bangunan. Keselesaan suhu akan diperoleh sekiranya suhu di
dalam ruangan bangunan mampu mencapai standard suhu bilik yang sesuai dengan tubuh
badan manusia.

3) SUMBER BAHAN

Kriteria sumber bahan ini merujuk kepada jenis material yang digunakan dimana bahan
binaan sebuah bangunan hijau perlu diperoleh melalui sumber yang mesra alam dan lestari.
Bahan binaan yang digunakan sebolehnya mempunyai peratusan sebatian organik yang
tinggi bagi mengurangkan pelepasan gas berbahaya. Selain itu, bahan sisa pembinaan perlu
diurus dengan baik oleh pemaju dan menggunakan bahan tersebut kembali sekiranya boleh
dipakai.

4) PERANCANGAN DAN PENGURUSAN TAPAK YANG MAMPAN

Bangunan tersebut dibina di lokasi yang tidak sensitif terhadap alam sekitar samada
memajukan semula tapak yang sedia ada atau mengelakkan kawasan yang mempunyai
ekosistem yang besar. Pelaksanaan pengurusan pembinaan dan air hujan juga diberi
perhatian untuk mengelakkan banjir kilat. Selain itu, lokasi yang dipilih mempunyai

pengankutan alternatif seperti kenderaan awam untuk mengurangkan kadar pelepasan gas
karbon dioksida oleh engin kenderaan.
5) PENGGUNAAN AIR YANG EFISIEN
Penggunaan air yang yang cekap melibatkan pengurangan penggunaan air dan kecekapan
pengurusan air. Air hujan dikumpul untuk digunakan dan kelengkapan yang digunakan
menjimatkan air.
6) INOVASI DALAM REKA BENTUK BANGUNAN
Bangunan yang dibina mempunyai reka bentuk yang inovatif yang melibatkan
penambahbaikan dalam pengurusan kerja-kerja perpaipan, sumber air dan pengaliran udara.

4.0 TEKNOLOGI HIJAU DALAM BANGUNAN HIJAU
Konsep bangunan hijau bukan suatu perkara yang baru dalam industri pembinaan namun
telah lama diaplikasikan dalam bentuk yang kurang kompleks. Sebelum bangunan hijau ini
diperkenalkan secara rasmi, perekabentuk bangunan telah lama menggunakan konsep
rumah hijau. Konsep bangunan ini tercipta hasil daripada kebijaksanaan perekabentuk
bangunan dalam mencari alternatif untuk meningkatkan tahap keselesaan dan kesihatan
penghuni. Bermula dengan penerapan elemen semulajadi kepada rekaan bangunan, konsep
bangunan hijau semakin berkembang sebagai strategi untuk melaksanakan pembangunan
cekap tenaga yang mampan (Putri Herlia Pramitasari et al., 2020) . Sehingga kini, konsep
bangunan hijau masih menjalani penambahbaikan untuk memaksimumkan lagi
keberkesanannya kepada penghuni dan alam sekitar.

Rajah 1 Contoh Reka Bentuk Bangunan Hijau

Bangunan hijau mempunyai pelbagai kemudahan yang diperlukan oleh penghuni disebabkan
oleh kelebihannya yang tidak memerlukan kerja penyelenggaraan yang banyak. Antara
kelebihan bangunan hijau adalah penggunaan tenaga elektrik yang kurang, udara dalam
bangunan yang segar hasil daripada peredaran udara yang baik dan kurang penggunaan air.
Proses rekabentuk bagi bangunan hijau memerlukan ketelitian kerana melibatkan pengurusan
elemen yang pelbagai.
4.1 PENGGUNAAN KACA RENDAH PANCARAN

Rajah 2 Tingkap Kaca Bangunan

Hampir kesemua bangunan yang ada di dunia ini menggunakan tingkap kaca terutamanya
bangunan pencakar langit yang tinggi seperti Menara Berkembar Petronas, Malaysia (KLCC).
Jenis tingkap kaca yang biasakan digunakan adalah kaca rendah kepancaran atau low-
emissitivity glass yang membantu untuk memantulkan lebih banyak haba daripada masuk ke
ruangan bangunan. Selain itu, sifat kaca yang membolehkan cahaya menembusinya dapat
menyebabkan ruangan di dalam bangunan akan menjadi terang secara automatik disebabkan
oleh cahaya matahari yang masuk ke dalam ruangan. Ini dapat mengurangkan kadar
penggunaan tenaga elektrik yang digunakan untuk menyalakan lampu sewaktu di siang hari.
Kesannya, sumber tenaga dapat dijimatkan.
4.2 URBAN FARMING

Rajah 3 Tumbuhan Hijau Dalam Bangunan

Secara umumnya, urban farming dapat diartikan sebagai pertanian yang dijalankan di tengah
bandar terutamanya bandar-bandar besar. Urban farming ini sangat sesuai untuk
memanfaatkan kawasan koridor bangunan yang terbatas dengan menanam sayur-sayuran.
Kegiatan urban farming di bangunan hijau mampu memberikan kesan baik kepada kualiti
udara di dalam bangunan. Tumbuh-tumbuhan yang ditanam akan menjalankan proses
fotosintesis yang dapat menyerap karbon dioksida dan menghasilkan oksigen. Ini dapat
mengurangkan suhu di dalam ruangan bangunan kerana tumbuhan akan membebaskan wap-
wap air semasa proses fotosintesis. Selain itu, urban farming juga dapat mengurangkan
peratus pembuangan sampah domestik kerana sisa-sisa organik dapat dijadikan baja kompos
untuk kegunaan tumbuhan-tumbuhan (Gede Sedana, 2020).

4.3 PENJANA TENAGA ELEKTRIK

Rajah 4 Panel Suria

Seperti yang kita sedia maklum, tenaga elektrik merupakan satu keperluan yang sangat
penting dalam kehidupan seharian bagi membolehkan peralatan elektronik untuk berfungsi.
Dalam penggunaan domestik, tenaga elektrik sentiasa digunakan tanpa henti untuk
mengaktifkan peralatan rumah seperti peti sejuk, penghawa dingin dan sebagainya. Oleh hal
yang demikian, bangunan hijau amat menitik beratkan mengenai pengurangan tenaga
elektrik. Di bangunan hijau, penjana elektrik digunakan bagi menghasilkan tenaga elektrik
tambahan dengan memanfaatkan tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan
angin. Penjana elektrik solar atau lebih dikenali sebagai panel suria akan diletakkan di atas
atap bagi memaksimumkan cahaya matahari yang diperoleh. Tenaga elektrik yang terjana
biasanya akan digunakan dalam sitem pemanasan air. Dengan ini, tenaga elektrik yang
digunakan dapat dijimatkan. Kos awal penggunaan panel suria semangnya agak tinggi kerana
kos pembelian dan pemasanganya tapi manfaat yang diperoleh mampu digunakan dalam
tempoh masa yang panjang.

4.4 PENGGUNAAN CAT WARNA CERAH
Penggunaan cat yang berwarna cerah merupakan salah satu teknologi yang digunkan dalam
pembinaan bangunan hijau. Hal ini kerana, kecerahan warna cat yang digunakan akan
mempengaruhi kadar penyerapan haba di dinding bangunan. Semakin cerah warna cat yang
digunakan, semakin berkurang kadar penyerapan haba. Hal ini kerana, warna yang cerah
memantulkan lebih banyak haba berbanding warna gelap. Secara tidak langsung, apabila
sesebuah bangunan menggunakan cat yang berwarna cerah, suhu di dalam bangunan akan
lebih rendah kerana kurang penyerapan haba. Salah satu kriteria bangunan hijau iaitu
keselesaan suhu mampu dicapai tanpa perlu menggunakan alatan elektronik seperti kipas.

4.5 LAMPU LED

Rajah 5 Jenis-jenis Lampu LED

Sumber pencahayaan di bangunan hijau menggunakan lampu LED kerana ianya mempunyai
banyak manfaat kepada alam sekitar seperti mempunyai kecekapan tenaga yang tinggi.
Lampu LED mempunyai kadar kecekapan tenaga yang lebih tinggi berbanding lampu biasa
seperti pendarfluor ( Asepta Surya Wardhana et al., 2021). Kecekapan lampu LED adalah 80
% lebih tinggi berbanding lampu pendarfluor kerana 95 % tenaga dalam LED ditukarkan
kepada cahaya dan hanya 5 % tenaga menjadi haba. LED 36-watt mampu menghasilkan
tahap cahaya yang sama dengan lampu pendafluor 84-watt. Ini membuktikan bahawa lampu
LED memerlukan tenaga yang lebih sedikit berbanding lampu pendafluor untuk menghasilkan
menghasilkan keamatan cahaya yang sama. Oleh itu, penggunaan lampu LED boleh
mengurangkan permintaan loji janakuasa seterusnya mengurangkan pelepasan gas rumah
hijau.

5.0 KELEBIHAN BANGUNAN HIJAU

5.1 MENGURANGKAN PEMBAZIRAN AIR DAN TENAGA

Proses pembinaan bangunan hijau amat mementingkan kepada pengurusan dan
pengurangan bahan yang digunakan. Oleh sebab itu, penjimatan air merupakan salah satu
ciri yang diberi perhatian dalam pembinaan bangunan hijau (Shinta Ayu Afrhiani et al., 2020).
Di India, bangunan-bangunan hijau yang diperakui oleh Indian Green Building Council (IGBC)
telah menyumbang kepada 20% - 30% penjimatan air dan 40% - 50% penjimatan tenaga.
Peratusan yang besar ini telah membuktikan bahawa bangunan hijau mampu mengurangkan
pembaziran air dan tenaga dalam sektor pembinaan.

5.2 MEMULIHARA SUHU GLOBAL

Dalam usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, sektor pembangunan merupakan
agen utama dalam merealisasikan hasrat ini. Sekiranya bangunan hijau yang menitikberatkan
kecekapan tenaga, penukaran bahan api dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui terus
diguna pakai dalam sektor pembinaan, kita berpotensi untuk mengurangkan kadar pelepasan
gas rumah hijau dalam tempoh dua dekad dari sekarang. Bangunan hijau meminimalkan
kadar penggunaan elektrik yang menjadi salah satu sebab kepada pelepasan gas rumah hijau
(Sharif Shofirun Sharif Ali et al., 2019). Kenaikan suhu global mampu dihadkan kepada 2℃
pada tahun 2050 dengan syarat sektor bangunan berjaya membuat penjimatan tenaga
sekurang-kurangnya 50%.

5.3 MENINGKATKAN KUALITI UDARA DAN AIR

Menurut Environmental Protection Agency (EPA), bangunan menyumbang kepada 30%
daripada komposisi karbon yang ada di dunia ini. Oleh itu, pembinaan bangunan hijau perlu
dijalankan semaksimal mungkin supaya komposisi karbon yang ada dapat dikurangkan. Hal
ini kerana, bangunan hijau mempraktikkan penanaman di ruang koridor bangunan yang
membantu mengurangkan pencemaran udara.

5.4 MELINDUNGI BIODIVERSITI DAN EKOSISTEM

Pelestarian ekosistem disokong oleh bangunan hijau yang menggalakkan penggunaan
tenaga, air dan sumber lain dengan cekap. Selain itu, tenaga yang boleh diperbaharui seperti
suria juga digunakan bagi menyokong dan menggantikan tenaga yang sedia ada. Bahan yang
digunakan untuk menghasilkan alatan yang digunakan untuk menukarkan tenaga terdiri
daripada bahan yang tidak toksin dan mampan. Dengan ini, aktiviti pelestarian ekosistem tidak
akan mengancam mana-mana kehidupan.

6.0 BANGUNAN HIJAU DI MALAYSIA
Di Malaysia, pembinaan bangunan hijau telah berkembang pesat selepas Green Building
Index Malaysia (GBIM) ditubuhkan bagi meningkatkan ekohomi negara. Penubuhan GBIM
berperanan bagi memastikan bangunan yang diiktiraf mampu menarik minat pelabur luar
untuk melabur di negara kita (Saedah Napisah Abd Hamid dan Edie Ezwan Mohd Safian,
2020). Antara contoh bangunan hijau yang terkenal di Malaysia adalah Edelweiss SOFO &
Serviced Residences.

Edelweiss SOFO & Serviced Residences dirancang akan siap pada 2024 tetapi telah
memperoleh pensijilan sebagai bangunan hijau kerana mempunyai beberapa kriteria
pembinaan inovatif seperti penggunaan cat yang rendah Volatile Organic Compounds (VOC)
atau mempunyai peratusan sabatian organik meruap yang rendah. Hal ini akan dapat
mengelakkan cat tersebut daripada mengeluarkan bau yang kuat yang dapat menjaga kualiti
udara sekitar bangunan. Selain itu, bangunan ini juga mempunyai bumbung konkrit yang rata
yang kuat bagi mengurangkan kadar pemindahan haba ke bangunan. Muka bangunan hijau
ini diperbuat daripada kaca rendah kepancaran atau low-emissivity glass untuk menyejukkan
bangunan secara semula jadi.

7.0 KESIMPULAN

Pada masa kini, isu global seperti pemanasan global menjadi topik hangat yang sering
dibentangkan dalam kebanyakan kongres anatarabangsa. Pelbagai institusi terkemuka dunia
telah menjalankan kajian dan penyelidikan bagi membendung pencemaran alam sekitar ini.
Bangunan hijau merupakan salah satu solusi yang mempunyai potensi yang paling tinggi
dalam usaha meningkatkan kualiti pengurusan sumber. Dengan mengaplikasikan konsep
bangunan hijau, bangunan yang mesra alam dan mempunyai suasana yang selesa dapat
dibangun tanpa memberikan kesan yang buruk kepada alam sekitar. Diharapkan bangunan
hijau akan terus digunapakai di semua negara supaya isu-isu global yang melibatkan alam
sekitar dapat dibendung.

RUJUKAN

Alif Hilmi Shahron, & Wee, S. T. (2020). Perbandingan Penggunaan Tenaga Bagi Bangunan
Hijau ‘Diamond Building’dengan Bangunan Pejabat Konvensional Di Malaysia.
Research In Management Of Technology And Business, 1(1), 622-634.

Asepta Surya Wardhana, Astrie Kusuma Dewi, Toegas Soegeng Soegiarto Dan Durrotul
Khotimah. (2021). Edukasi Dan Aplikasi Penghematan Energi Listrik Menggunakan
Lampu Led Di 3 Desa Di Kecamatan Cepu. Jurnal Dianmas, 10(1).

Gede Sedana. (2020). Urban Farming Sebagai Pertanian Alternatif Dalam Mengatasi Masalah
Ekonomi Pada Masa Dan Pasca Pandemi Covid 19. In Prosiding Seminar Nasional
Yang Diselenggarakan Oleh Fakultas Pertanian Universitas Dwijendra Di Denpasar,
Tanggal (Vol. 26).

Muhammad Nur Fathi Azmi & Indera Syahrul Mat Radzuan. (2021). Persepsi Pelajar Institusi
Pengajian Tinggi Awam (Ipta) Terhadap Kepentingan Pembangunan Hijau Di
Malaysia. Research In Management Of Technology And Business, 2(1), 1459-1472.

Nur Azfahani Ahmad, Zuraihana Ahmad Zawawi, Nazhatulzalkis Jamaludin & Khairulliza
Ahmad Salleh. (2019). Ventilation Flow Evaluation System For Sustainable Housing
Development. Jurnal Inovasi Malaysia, 2(2), 55-70.

Putri Herlia Pramitasari, Suryo Tri Harjanto & Muhammad Nelza Mulki Iqbal. (2020).
Karakteristik Bangunan Hijau Pada Rumah Susun Umum Di Daerah Beriklim Tropis
Lembab. Pawon: Jurnal Arsitektur, 4(02), 95-108.

Sharif Shofirun Sharif Ali, Muhammad Rizal Razman & Azahan Awang. (2019). Tren
Penggunaan Tenaga Elektrik Dan Pembebasan Gas Rumah Hijau Di Malaysia (The
Trend Of Electricity Consumption And Greenhouse Gases Emissions In
Malaysia). Asian Journal Of Environment, History And Heritage, 3(1).

Shinta Ayu Afrhiani, Kancitra Pharmawati & Andindito Nurprabowo. (2020). Potensi
Penerapan Konservasi Air Pada Gedung Dekanat Universitas X. Jurnal Sains &
Teknologi Lingkungan, 12(2), 100-109.


Click to View FlipBook Version