The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

ASPIRASI 2023 | Perutusan Naib Canselor Profesor Ir Dr Noor Azuan Abu Osman

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), 2023-02-17 04:36:21

ASPIRASI 2023 | Perutusan Naib Canselor Profesor Ir Dr Noor Azuan Abu Osman

ASPIRASI 2023 | Perutusan Naib Canselor Profesor Ir Dr Noor Azuan Abu Osman

COVER


Perutusan Naib Canselor 2023 1 15 Februari 2023 | Dewan Seri Sarjana


2 Perutusan Naib Canselor 2023 Alhamdulillahi Robbal ‘Alamin. Wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillahi wa ‘ala alihi wasohbihi wasallam Apakah saya mampu untuk menjadi nakhoda sehebat Laksamana Cheng Ho untuk membawa armada ke destinasi yang tepat sebagaimana yang diimpikan dan diamanahkan. Namun, saya sedari, dalam konteks sebuah bahtera, kejayaan mengemudi kapal bukanlah di bahu nakhoda semata, ianya merupakan kesalingfahaman dan kerjasama utuh semua. Justeru, walau laut tenang hatta laut bergelora sekalipun kita akan berjaya sampai dengan selamat dan membawa bersama pelbagai kejayaan. Begitu juga dalam konteks mengemudi sebuah organisasi. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Salam Sejahtera dan Salam Perpaduan UNITEN etiap pagi semasa dalam perjalanan ke Pejabat, saya ering mengimbau dan di masa yang sama mengintrospeksi apakah saya benar-benar berupaya untuk memimpin UNITEN dan apakah kita di landasan yang betul untuk membawa UNITEN ke tahap yang lebih tinggi dan cemerlang. S


Perutusan Naib Canselor 2023 3 Armada UNITEN adalah kepercayaan dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada saya dan kita semua, terutama pengurusan tertinggi UNITEN. Oleh itu, kita tidak mempunyai pilihan selain untuk menggalas amanah ini sebaik mungkin. Insya-Allah jika ada kebersamaan dalam tujuan (purpose) dan tindakan (action), kita akan bersama-sama menjulang UNITEN sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang ulung dan dikenali. Bukan hanya di Malaysia malah di persada dunia. Video yang ditayangkan tadi mengajar kita untuk menjadikan budaya kerja cemerlang sebagai indikasi kepada perkhidmatan yang diberikan, senantiasa responsif terhadap kehendak dan keperluan, lantas dijadikan sebagai penanda aras kepada kejituan nilai yang diterapkan dalam organisasi sekaligus menjana kehebatan dan keunggulan. Malah tidak keterlaluan, jika kita “exceed beyond the expectations of our stakeholders” dan jadikan misi ini sebagai teras organisasi UNITEN.


4 Perutusan Naib Canselor 2023 Para hadirin yang dihormati, Terima kasih kerana bersama-sama saya pada petang yang berbahagia ini. Majlis Aspirasi 2023 merupakan townhall atau kick-off 2023 bagi kita sama-sama menilai semula apa yang kita telah lakukan dan capai, dan bagaimana harus kita mengadaptasi dunia yang sentiasa dinamik dan berubah untuk kita meluncur ke hadapan menggapai kejayaan yang kita cita-citakan. Betullah kata-kata pujangga Inggeris Heraclitus “The only constant in life is CHANGE”. Begitu juga kata-kata pujangga Inggeris “Insanity - do the same thing over and over again, and expecting different results”. Hari ini, 15 Februari 2023, genaplah 8 bulan 8 hari saya diamanahkan sebagai Naib Canselor UNITEN sejak 8 Jun 2022 yang lalu. Sejurus selepas pelantikan tersebut saya telah turun padang melakukan libat-urus atau engagement dengan semua jabatan dan kakitangannya, akademik mahupun sokongan. Saya yakin nobody had been left behind di mana saya telah mendengar pandangan-pandangan yang diutarakan dan amat menghargai setiap pandangan yang diberikan. Malah telah saya maklumkan kepada Ahli Lembaga Pengarah UNITEN dan Ahli Lembaga Pengelola UNITEN yang rata-ratanya bersetuju dengan pandangan dan hala tuju yang disarankan. Hadirnya kita di sini merupakan bukti komitmen kita semua untuk berkongsi sesuatu yang sakral iaitu apa yang dituntut oleh institusi ini, apa yang diharapkan oleh masyarakat, dan apa yang diperlukan oleh negara daripada kita semua. Saya ingin memetik kata-kata President John F Kennedy pada tahun 1961, “Ask not what your country can do for you - ask what you can do for your country”. Izinkan saya letakkan kata-kata tersebut dalam konteks kita di UNITEN, “My fellow UNITEN citizens: ask not what UNITEN will do for you, but what together we can do for UNITEN, her students and the country”.


Perutusan Naib Canselor 2023 5 Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati, Ingin saya nukilkan kata-kata Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Perutusan Tahun Baharu 2023 yang mana beliau telah menegaskan empat (4) peranan utama Naib Canselor sesebuah institusi pendidikan tinggi seperti berikut: Sesungguhnya menjadi Naib Canselor ini bukanlah tugasan alang kepalang. Namun saya mendalami kata-kata Saidina Abu Bakar RA sebaik sahaja dipilih menjadi khalifah Islam pertama. Dalam ucapannya “Wahai semua orang! Aku telah dilantik menjadi pemimpin kalian, padahal aku bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kalian. Maka jika sekiranya aku seorang yang berlaku baik, bantulah aku. Sekiranya aku berlaku buruk, perbetulkanlah diriku” (Ibn Al Athir, Al Kamil Fi al-Tarikh, jld.2). Saya yakin saya kuat kerana angkatan armada saya adalah kalangan yang mahir, kuat dan amanah seperti yang dinukilkan dalam al-Quran Qawiyyul Amin. Menurut Harvard Business Review, “A leader has to have the emotional capacity to tolerate uncertainty, frustration, and pain. He has to be able to raise tough questions without getting too anxious himself”. Saya akui tuan-puan semua merupakan tonggak kekuatan untuk saya terus menongkah arus cabaran membangunkan UNITEN ini. Saya akan kuat apabila kita semua kuat dan bersepakat, “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Terfikir sejenak apakah saya telah melaksanakan sebaiknya apa yang dihasratkan YB Menteri? Saya menyedari perkara satu, dua dan tiga itu adalah terjunjung di batu jemala saya namun saya juga sedar bagi merealisasikan perkara keempat, warga UNITEN perlu dilibatkan dan diketengahkan menerusi pelbagai medium bersesuaian bagi membuktikan keupayaan UNITEN dalam menyambut seruan dan hasrat YB Menteri. Bak kata Halford Edward Luccock, “No one can whistle a symphony. It takes a whole orchestra to play it”. Pertama, menjadi jurucakap utama institusi ilmu dalam isu nasional; Kedua, memperluaskan pelbagai jaringan strategik untuk kepentingan universiti; Ketiga, meraih dana, wakaf, endowmen, infak, dan apa jua sumbangan bagi memastikan universiti berfungsi sebaiknya; Keempat, mencungkil dan membangunkan modal insan yang berpotensi setiap warga universiti.


6 Perutusan Naib Canselor 2023


Perutusan Naib Canselor 2023 7 My fellow UNITENians, Berkait dengan itu, saya juga ingin mengadaptasi konsep Madani melalui enam rukun yang diusulkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ke dalam kerangka UNITEN sebagai Institusi Pendidikan Tinggi yang mampu membangunkan modal insan dan menjadikan mereka insan yang karamah, mampu berfikir secara holistik berpaksikan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan berupaya menjadi medan dialog madani atau peradaban. Menyentuh aspek integriti, saya menyeru agar UNITEN mengamalkan budaya kerja terpuji, bersikap jujur dan menunjukkan kepatuhan tanpa kompromi terhadap prinsip dan nilai moral serta etika yang kuat yang sama kita perjuangkan. Maka semua perkara negatif yang menggugat nilai moral ini tidak boleh bertapak di UNITEN yang kita sayangi ini. Sabda Rasululullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT mencintai seseorang yang apabila mengerjakan suatu pekerjaan, dilakukannya dengan penuh kesungguhan (itqan)”. (Hadis Riwayat Imam Muslim). Saya akan pastikan semua lantikan di UNITEN akan dilaksanakan secara teratur mengikut tatacara sepatutnya. Tiada lagi lantikan kepada mereka yang tiada merit. Kewibawaan mereka yang dilantik sewajarnya tidak boleh dipersoalkan jika pelantikan adalah berdasarkan merit, keupayaan dan track record. Kita harus sedar, dunia kini di hujung jari, apa sahaja maklumat boleh diakses tanpa boleh diselindung. Yang Amat Berhomat Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, “Negara Madani akan mengangkat martabat negara untuk dikenali dan dihormati sebagai Malaysia yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati serta bersikap ihsan berdasarkan keyakinan antara satu sama lain”. Justeru, ayuh UNITEN kita bersama pastikan UNITEN juga diangkat martabatnya sebagai sebuah Institusi Pendidikan Tinggi yang dikenali dan disegani.


8 Perutusan Naib Canselor 2023 Saya mengambil contoh, seorang ketua dalam bidang penyelidikan perlu menonjolkan kredibiliti dan kemampuan dalam bidang penyelidikan sekaligus menjadi role model dalam bidangnya. Malah, kehebatan dan pencapaian beliau boleh dilihat, diakses dan dibuktikan menerusi pelaporan pelbagai media, elektronik, media cetak mahupun media baharu. Bukan sekadar guruh berdentum, namun hujan tak turun-turun. Saya petik kata-kata Jack Welch, “Before you are a leader, success is all growing yourself. When you become a leader, success is all about growing others”. Saya kira perkara asas sebegini tidak wajar berlaku dengan gred-gred jawatan yang disandang. Kepada yang tidak tahu, bertanya, belajar dan berusahalah. Kita harus senantiasa terbuka untuk belajar dan menimba pengalaman dari pelbagai sudut dan cara. Ambil kesempatan bekerja di UNITEN yang penuh dengan sumber-sumber ilmiah ini untuk mantapkan keupayaan. Saya mahu budaya terus belajar menyubur di UNITEN. Saya meletakkan harapan dan kepercayaan yang tinggi agar kita sama-sama bergandingan untuk melaksanakan tugasan dengan komited dan efisien. I am a believer of empowerment and delegation yang disertakan dengan rasa tanggungjawab terhadap amanah yang telah diberikan kepada kita. Saya mahu kita diyakini, dilihat profesional, tidak politikal, menjulang integriti dengan akal dan budi. Kitalah UNITEN dan UNITEN adalah kita. Saya ingin menegaskan bahawa Sehubungan itu, saya tidak akan menggunakan pendekatan micro-manage dalam pentadbiran saya, sebab saya percaya sahabat semua cukup matang dalam menjalankan tugasan harian. Saya juga akan memastikan bahawa tidak akan ada ruang penyalahgunaan kuasa di kalangan pengurusan UNITEN. Jika terdapat isu penyalahgunaan kuasa, boleh maklumkan terus kepada saya. Saya juga tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan kepada ketua-ketua yang terbukti menyalahguna kuasa dan menindas staf di bawah seliaan mereka. Kita perlu menjalankan tugasan kita dengan penuh profesional. Kita tidak mahu lagi ketua yang hanya bijak berhujah akan tetapi tidak cekap dalam melaksanakan tugasan, “forms more than substance, lebih sudu dari kuah”. Antara perkara yang mengejutkan saya ialah terdapat staf yang tidak boleh menyediakan surat menyurat dengan baik.


Perutusan Naib Canselor 2023 9 Sahabat-sahabat seperjuangan sekalian, Kita perlu mewujudkan sebuah ekosistem organisasi yang sentiasa cakna dan memainkan peranan yang aktif dan berkesan untuk mensejahterakan warga UNITEN. Kita bukan sahaja akan memastikan segala kelengkapan yang diperlukan ada di UNITEN tetapi sentiasa dalam kondisi tip-top. Kafe perlu ditukarkan. Alhamdulilah, kita telah mendapat peruntukan dan harus disiapkan pada tahun ini juga. Pada masa yang sama, kita akan menaik taraf kesemua 79 buah bilik kuliah kepada digitally hybrid based classrooms dengan peruntukan sebanyak RM 10 juta. Saya meletakkan KPI ini kepada Ketua Pegawai Operasi (COO) dan Facility Management, Safety and Security Department (FMS) yang perlu disiapkan mengikut jadual. UNITEN harus ke hadapan dalam inisiatif digital terutama infrastruktur pembelajaran secara digital. Bagi menambah baik proses pembelajaran ini, maka seorang tokoh hebat telah bersama dengan kita iaitu Profesor Dr Abd Karim Alias. UNITEN komited memastikan pembelajaran berasaskan digital ini diberi perhatian serius bagi menghasilkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan menyeronokkan dan yang lebih utama meningkatkan prestasi akademik. Deliverable ini dijadikan sebagai KPI utama di bawah portfolio Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).


10 Perutusan Naib Canselor 2023 Pada masa yang sama, kita akan menyediakan kemudahan e-sports yang boleh dimanfaatkan oleh para pelajar bagi melahirkan pelajar yang mengutamakan kehidupan yang seimbang semasa di kampus mahupun di luar nanti. Ekosistem ini turut akan memberi fokus terhadap pembangunan lestari yang mengaplikasikan konsep bangunan hijau di UNITEN. Dunia mempunyai sebanyak kira-kira 3 trilion pokok dan dianggarkan satu ekar tanah bersama pokok matang boleh menghasilkan oksigen yang cukup untuk 18 orang setahun. Bayangkan jika tanah UNITEN yang seluas kira-kira 600 ekar ini dapat dihijaukan, 10,000 manusia akan dapat manfaat menghirup oksigen yang segar. Justeru, pihak pengurusan bercadang untuk menanam lagi 6,000 pokok di dalam kampus ini. Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh FMS bersama-sama dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Selain itu, bangunan-bangunan berstruktur konkrit di UNITEN juga perlu dijalarkan dengan tumbuhan-tumbuhan hijau. Inisiatif penghijauan ekosistem ini akan memberi banyak faedah seperti mengurangkan suhu, mengurangkan bahan pencemar berbahaya di udara dan menyerap karbon yang membantu mengurangkan kesan perubahan iklim.


Perutusan Naib Canselor 2023 11 Sahabat-sahabat UNITENians yang dikasihi, Pelajar adalah anak-anak kita, yang akan menjadi pemimpin pada masa hadapan. UNITEN mempunyai ikon dari kalangan alumni yang boleh kita banggakan. Saudari Nurul Izzah Anwar adalah alumni pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di UNITEN. Kini beliau merupakan Ahli Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan. Hakim Mahkamah Agung Malaysia, Tan Sri Harun Mahmud Hashim dalam bukunya The Benchmark menyatakan bahawa “Varsity education is more than just getting a degree”. Di samping memperkasakan dengan ilmu dan kemahiran, kita juga berperanan untuk mengacu pelajar kita supaya berfikiran kreatif, mampu bersaing dengan membantu kedewasaan mereka melalui lebih banyak kuasa, kebebasan dan tanggungjawab. Semua sedia maklum bahawa Mesyuarat Senat UNITEN telah melibatkan wakil-wakil daripada MPP. Kita mahukan pelajar-pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan hubungan sesama pelajar, tetapi juga berkebolehan memberi input kepada universiti agar universiti sentiasa bersifat ‘orang muda’ dengan fresh ideas. Untuk itu, kita telah berbincang dengan MPP untuk mereka menguruskan sendiri perniagaan perkhidmatan dobi, kedai serbaguna serta menaik taraf The Loop dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Yayasan Canselor UNITEN (YCU). Misi kita adalah untuk melahirkan graduan yang akan menjadi industry leaders atau pemimpin di setiap industri di dalam dan di luar negara, serta usahawan dan tokoh korporat yang berbakti kepada negara. Kita perlu melahirkan lebih ramai lagi graduan yang boleh menjadi ikon negara merintis kepada generasi muda yang berwibawa, berilmu dan mempunyai jati diri yang ampuh untuk membawa Malaysia ke mercu kejayaan yang gemilang. UNITEN harus berbangga dengan kebolehpasaran para graduannya. 96.8% graduan kita telah bekerja dalam industri tenaga ataupun dalam bidang yang sama dengan pengajian akademik mereka.


12 Perutusan Naib Canselor 2023 Para hadirin yang dihormati, Penginapan pelajar merupakan satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan. Tempat tinggal yang kondusif dan selesa akan turut membentuk jiwa dan minda yang terbuka dan positif. Justeru, tempat penginapan mereka perlulah bersifat moden, digital dan kondusif. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) telah dipertanggungjawabkan supaya 100% penginapan yang ada dinaik taraf dengan fasiliti yang diperlukan. Kita mahu aduan berkenaan tempat penginapan dan fasiliti sampingan yang ada diminimumkan. Permasalahan yang ada perlu diselesaikan pada tahun ini juga. Kita akan membenarkan pelajar-pelajar yang ingin menguruskan perniagaan dengan cara tahun senggang atau “gap year”. Ini secara tidak langsung akan membuka pelbagai peluang pekerjaan sambilan kepada pelajar. Pulangan yang dijana boleh dijadikan sumber pembiayaan kepada aktiviti kemahasiswaan.


Perutusan Naib Canselor 2023 13 My fellow UNITENians, Warga kerja UNITEN terdiri daripada kira-kira 49% staf akademik dan 51% staf sokongan. Kita inginkan kecemerlangan di kedua-dua segmen ini; staf akademik yang hebat akademiknya dan staf sokongan yang cekap, kompeten dan berfikiran kreatif. Its no longer Business As Usual. Kita tidak mahu lagi terdapat staf yang menunggu gaji pada setiap hujung bulan, berTikTok, berFacebook dan apabila saya datang minimize skrin. Tidak salah bermedia sosial tetapi kita mahukan keikhlasan dan kejujuran dalam menjalankan amanah terutama dalam waktu bekerja. Saya meletakkan kepercayaan penuh kepada seluruh warga kerja UNITEN untuk sama-sama memberikan komitmen dan menghasilkan kerja yang berkualiti dan berimpak.


14 Perutusan Naib Canselor 2023 Tuan-tuan dan puan-puan, Peranan staf akademik adalah amat kritikal bukan sahaja sebagai pemacu kegemilangan tradisi kesarjanaan tetapi juga sebagai problem solver yang berupaya menyelesaikan masalah negara. Polisi-polisi negara asal-usulnya diperolehi hasil daripada ilmu dan penyelidikan yang diterokai daripada universiti. Jadi tidak salah, kalau saya katakan bahawa universitilah yang membentuk polisi negara dan universitilah yang memperbetulkan polisi negara. Begitu juga polisi-polisi yang ada di UNITEN, juga termasuk yang ditindikkan untuk dibaca bersama polisi TNB. Saya pernah bercakap dengan pegawai kanan tinggi kerajaan bahawa kita daripada universiti yang sepatutnya menjadi penasihat dalam merangka dan memperkemaskan sesuatu polisi negara. Intelektualiti yang datang daripada universiti tidak mempunyai kepentingan melainkan untuk memaju dan mensejahterakan rakyat dan negara. Sebagai sebuah universiti yang berstatus Government-Linked Universities (GLU), kita perlu meningkatkan kemasukan bilangan pelajar ke universiti ini. Sehubungan itu, kita perlu memperhebatkan content dan harus juga dijajarkan dengan perkembangan serta hala tuju strategi pendidikan tinggi negara. Polisi yang tidak lagi relevan kerana keperluan zaman dan teknologi, perlu dikemaskan segera. Jangan gunakan alasan ianya adalah amalan yang digunakan turun-temurun walaupun kita tahu bahawa ianya bukanlah amalan yang baik. Amalan yang kurang baik ataupun tidak baik perlulah ditukar seberapa segera agar permasalahan yang ada dapat diselesaikan dengan lebih efisien. “Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul!”


Perutusan Naib Canselor 2023 15 My fellow UNITENians, Kita akan turut mendapatkan lebih ramai profesor-profesor dari dalam dan luar negara. Tahun 2023 sahaja kita mensasarkan 75 profesor daripada universiti terkemuka dunia untuk bersama kita dalam pelbagai jawatan dan bidang. Di masa yang sama, kita akan memperluaskan kerjasama dengan research universities dalam negara. Kita mensasarkan 90 universiti terkemuka dunia untuk bersama UNITEN dalam pelbagai aktiviti akademik dan penyelidikan. Dengan tindikan sepertimana yang saya nyatakan sebelum ini, secara tidak langsung, pencapaian mereka di luar negara atau di research universities akan membawa kita bersama ke arah kecemerlangan akademik yang boleh dibanggakan. Dalam hubungan ini, Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin turut menggalakkan skim ‘multiple appointment’ di mana konsep ‘brain sharing’ menjadi dasar nasional. UNITEN juga telah meluluskan konsep sabatikal yang akan berkuat kuasa serta merta kepada mereka yang layak. Ini juga akan dikembangkan bukan sahaja kepada staf akademik, tetapi staf sokongan juga. Kita mahu staf UNITEN sentiasa cakna dengan perkembangan luar bukan hanya tahu dalam ruang lingkup UNITEN sahaja.


16 Perutusan Naib Canselor 2023 Para hadirin sekalian, Sepertimana semua sedia maklum bahawa kita menuju kepada dua teras utama iaitu Pengantarabangsaan dan Perindustrian. Antara aktiviti yang akan kita laksanakan bagi inisiatif Pengantarabangsaan adalah dual degree program, visiting international professors dan international post-doctoral researchers. Kita mahu melihat pelajar-pelajar UNITEN lah yang memimpin dunia. Jika tidak memimpin dunia, mereka memimpin Malaysia. Jika tidak memimpin Malaysia, mereka memimpin Kerajaan Negeri. Jika tidak Kerajaan Negeri, mereka memimpin industri. Bagi aspek Perindustrian pula, kita melihat pelajar-pelajar UNITEN mempunyai potensi yang lebih besar untuk bekerja di sektor industri tenaga. Kita bernasib baik kerana kita mempunyai banyak anak-anak syarikat di bawah TNB. Saya difahamkan, sebanyak 11% daripada graduan UNITEN mendapat tawaran bekerja di TNB dan anak-anak syarikat di bawahnya. Manakala yang lain diambil bekerja oleh sektor-sektor tenaga di luar daripada TNB. Kita juga patut bersyukur bahawa Aktiviti-aktiviti ini telah diletakkan sebagai KPI bagi tahun ini dan akan diagihkan kepada semua di mana dekan-dekan dan pengarah-pengarah dipertanggungjawabkan bagi memastikan perkara ini direalisasikan. UNITEN adalah satu-satunya universiti yang telah diberi peruntukan 200 post-doctoral researchers sebagai catalyst dalam memacu pembangunan penyelidikan UNITEN setanding dengan penyelidikan dunia. Penarafan penting tetapi kita tidak mahu hanya penarafan (ranking) semata-mata. Kita perlu membangunkan model pendidikan bertaraf antarabangsa yang mampu mengangkat anak bangsa kita menjadi pemimpin negara suatu hari nanti.


Perutusan Naib Canselor 2023 17 Kita juga berbangga dengan maklum balas daripada majikan-majikan yang rata-ratanya berpuas hati dengan kualiti, prestasi, kemahiran dan disiplin yang dimiliki oleh graduan UNITEN. Sepertimana yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi, tumpuan kita bukan lagi ‘soft and hard skills’. Tetapi ‘smart and sharp skills’. Ini bermakna, pelajar kita perlu dilengkapkan dengan kepintaran mengurus manusia dan kebijaksanaan mengurus teknologi. Pada masa yang sama, kurikulum yang dirangka adalah yang menjurus kepada industri dan yang dikehendaki oleh pasaran. 2 daripada 14 minggu kuliah diajar oleh profesional daripada industri. Pendekatan ini telah memberi pendedahan dunia sebenar pekerjaan kepada pelajar melalui sudut pandangan tokoh industri. Kita juga telah mendapat maklum balas yang positif daripada para pelajar mengenai pendekatan sebegini kerana ia membolehkan mereka memahami dan mengaplikasikan teori yang mereka pelajari di dalam kuliah.


18 Perutusan Naib Canselor 2023 Hadirin sekalian, Dalam aspek kelestarian tenaga, saya ingin menggesa kerajaan untuk mengembalikan fokus tenaga nuklear sebagai salah satu punca tenaga di Malaysia. Ia mungkin sedikit kontroversi, tetapi sebenarnya tenaga nuklear merupakan tenaga yang benar-benar hijau dan mesra alam. UNITEN adalah universiti yang berfokuskan tenaga. Sehubungan itu, tenaga nuklear seharusnya bermula di UNITEN. Perkara ini juga telah dibawa ke perhatian Senat untuk difikirkan bagaimana untuk membangunkan semula tenaga nuklear melalui program-program akademik. Kita mempunyai ramai pakar di UNITEN dan TNB yang bidang penyelidikan mereka berteraskan nuklear. Untuk itu, kita harus menggembleng semua tenaga pakar ini. Selain itu, kita juga perlu meningkat kefahaman kepada masyarakat melalui penganjuran wacana dan forum di samping program advokasi yang berterusan untuk memberi penerangan bahawa tenaga nuklear adalah selamat, hijau dan tidak berbahaya ke atmosfera. Bukan karbon dioksida atau metana, atau gas atau gas pencemar lain yang menyebabkan perubahan iklim.


Kita telah diberi kepercayaan untuk mewujudkan Pusat Tenaga Nasional (National Energy Centre) yang akan menjadi hub penyelidikan berteraskan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan dan institutinstitut penyelidikan. NEC dijangka siap pada penghujung suku pertama tahun ini dan kita bercadang untuk menjemput Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk merasmikan fasiliti ini. Saya juga telah memaklumkan hasrat kepada Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim semasa lawatan beliau ke Bangunan Platinum TNB, dan secara prinsip beliau telah bersetuju untuk menyampaikan hasrat ini kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. NEC juga turut membuka ruang untuk jalinan hubungan strategik dengan universiti-universiti awam, industri dan agensi kerajaan. Inisiatif ini adalah untuk menjadikan NEC sebagai Pusat Peralihan Tenaga Strategik Kebangsaan yang menjalankan penyelidikan berkaitan tenaga dan kelestarian. Perutusan Naib Canselor 2023 19


Sahabat-sahabat UNITENians, UNITEN telah ditubuhkan di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 atau lebih dikenali sebagai Akta 555 dan sebagai Government-Linked University (GLU), kita diberi mandat penuh atau autonomi untuk mengurus dan mentadbir universiti yang kita cintai ini sebaik mungkin. Sebagai institusi pendidikan tinggi swasta, kita harus memastikan sustainability atau kemampanan kelestarian UNITEN berterusan bagi jangka masa yang panjang. Kedudukan kewangan yang kukuh dan terjamin dapat direalisasikan melalui ekosistem kewangan UNITEN yang mampan, dengan kutipan dan sumbangan daripada Tabung Amanah Zakat UNITEN (TAZU), Dana Wakaf Ilmu UNITEN (DWI) dan Yayasan Canselor UNITEN (YCU) yang berjumlah hampir mencecah RM 57 juta pada tahun 2022. 20 Perutusan Naib Canselor 2023


Para hadirin yang dihormati sekalian, Pengambilan pelajar yang konsisten juga adalah penting bagi mendokong aspirasi ini. Pada tahun ini, kita meletakkan sasaran untuk mendapatkan minimum seramai 3,500 orang pelajar baharu dan kerjasama daripada kesemua staf UNITEN bagi mencapai matlamat ini adalah penting. Pelbagai medium dapat digunakan bagi membolehkan lebih ramai pelajar tempatan dan antarabangsa untuk menyambung pelajaran mereka di UNITEN. Kita perlu pastikan semua dapatan penyelidikan sama ada daripada geran atau konsultansi perlu diterbitkan di dalam jurnal-jurnal berimpak tinggi, berindeks WOS dan Scopus. Walau bagaimanapun, kita tidak mahu penerbitan kita hanya berakhir di perpustakaan ataupun di dalam penerbitan digital. Saya sendiri melihat banyak produk yang dihasilkan oleh staf UNITEN boleh dan siap sedia untuk dikomersialkan. Justeru, saya telah mempertanggungjawabkan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) untuk meneliti usaha mengkomersialkan hasil penyelidikan kita yang kemudiannya akan dipasarkan oleh syarikat terbitan universiti. Kita mahukan penerbitan UNITEN boleh dikomersialisasi menjadi produk yang boleh dipasarkan bagi membantu negara dan pada masa yang sama, menjadi rujukan penyelidik dunia dan industri yang relevan. Saya telah meminta pihak UNITEN R&D Sdn Bhd (URND) untuk melihat perkara ini dengan lebih serius supaya memudahkan proses-proses dalam penyelidikan dan pengkomersialan produk. Kita percaya dengan perubahan positif sama ada dari aspek infrastruktur, infostruktur dan perihal akademik. Kita sama-sama berdoa agar kita dapat mencapai sasaran tersebut. Tahun 2022 juga menyaksikan hasil usaha dan titik peluh para penyelidik UNITEN berjaya membawa geran luar berjumlah sebanyak RM38 juta dan ini mencerminkan status universiti kita meningkat dari semasa ke semasa. Biarpun ini satu prestasi yang boleh dibanggakan, saya percaya staf-staf UNITEN berkebolehan untuk mendapat lebih banyak geran penyelidikan dalam memacu lebih banyak penerbitan jurnal-jurnal antarabangsa sebagai rujukan dunia. Perutusan Naib Canselor 2023 21


22 Perutusan Naib Canselor 2023 Saya sedar bahawa saya sering mendapat aduan daripada kolej-kolej yang tidak mempunyai bajet yang mencukupi. Saya berhasrat untuk memberi bajet kepada kolej berdasarkan merit dan prestasi kolej-kolej itu sendiri. Kolej-kolej yang berprestasi tinggi akan diberi bajet yang lebih tinggi, manakala kolej-kolej yang berprestasi rendah, akan diberikan bajet yang rendah. Ini membolehkan kolej-kolej kita bersaing dengan sihat untuk mendapatkan bajet yang lebih tinggi. Bajet-bajet ini akan diserahkan kepada dekan untuk membuat perancangan akademik di kolej masing-masing. Saya ingin kongsikan, perbualan saya dengan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Dato' Indera Ir. Baharin Din. Beliau mengatakan kepada saya bahawa lebihan yang diperolehi selepas perbelanjaan universiti boleh diberikan kepada staf UNITEN. Untuk itu, sekali lagi saya tekankan, kita perlu mendapatkan ramai pelajar yang berkualiti tinggi. Kita sedar bahawa kepentingan pelajar sepertimana yang saya jelaskan sebelum ini. Untuk itu, kita telah membuat analisis keadaaan ekonomi sekarang dengan mengambil kira yuran pengajian sedia ada. Break even untuk pengoperasian UNITEN, perlukan seramai 10,230 orang pelajar. Jadi, adalah menjadi tugas kita untuk memasarkan UNITEN menjadi pilihan utama bagi mendapatkan jumlah pelajar yang lebih daripada break even.


Perutusan Naib Canselor 2023 23 Sahabat-sahabat UNITENians sekalian, Dalam merealisasikan aspirasi UNITEN untuk menjadi salah sebuah universiti yang lebih berdaya tahan dengan apa jua cabaran yang mendatang, perubahan terhadap carta organisasi pengurusan telah dilaksanakan dan diluluskan oleh Lembaga Universiti. Ini bagi menjadikan pihak pengurusan lebih peka, fokus dan komited dalam menyelesaikan segala permasalahan yang timbul di universiti ini dengan lebih cekap, pantas dan teratur. Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Penyelidikan) telah diperkemaskan kepada dua; iaitu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) bermula tahun ini. Justeru, jawatan pengurusan tertinggi UNITEN adalah terdiri daripada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Kewangan. Mereka inilah yang membantu saya secara strategik dalam operasi universiti selain daripada dekandekan dan pengarah-pengarah. Insya-Allah kita akan mempunyai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang akan melaporkan diri dalam masa terdekat ini. Bagi memastikan kelestarian Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, pengurusan universiti juga telah melantik seorang Pengarah Kampus yang akan mengetuai tugasan pentadbiran bermula 1 Mac 2023.


Para hadirin sekalian, Dalam ucapan bulanan saya pada Januari 2023, antara yang saya tekankan, adalah kesejahteraan warga UNITEN. Saya tidak akan berkompromi dalam kualiti kerja, tetapi saya juga tidak akan berkompromi bagi memastikan kesejahteraan warga UNITEN sentiasa berada dalam keadaaan terbaik. Saya akan meneliti perkara ini sebagai keutamaan saya tahun ini. Saya mendapati staf sokongan UNITEN mempunyai tahap pendapatan bulanan yang agak rendah berbanding dengan mereka yang lain di luar sana yang berada di dalam sektor yang sama, iaitu sektor akademik. Hasil kajian tersebut telah dibentangkan kepada saya dan Pengurusan dengan mengambil kira penanda arasan dalam sektor yang sama. Kita mendapati bahawa kita antara yang mempunyai skala gaji terendah dalam kelompok kategori yang sama. Justeru, melalui pendekatan literature antarabangsa dan mengambil kira semua analisis, task force telah membuat kesimpulan dan mengemukakan cadangan kepada Pengurusan. Cadangan dan kesimpulan tersebut telah dibawa kepada perhatian Lembaga, dan analisis komprehensif tersebut telah diterima sebulat suara. Saya sangat berbangga dengan prestasi task force ini, bukan hanya kerana mendapat data yang baik, akan tetapi merupakan staf kita sendiri yang setaraf dengan konsultan di luar sana yang perlu dibayar berjuta ringgit. Alhamdulilah dan tahniah untuk mereka. Mereka ini adalah staf akademik daripada College of Business Management & Accounting (COBA) dan dibantu oleh Jabatan Sumber Manusia. Yang paling merisaukan saya ialah staf bukan eksekutif. Justeru, Pengurusan telah membentuk satu task force dalaman yang dianggotai oleh para profesional UNITEN yang mempunyai kepakaran untuk membuat analisis komprehensif bagi melihat aspek kesejahteraan pendapatan bulanan staf UNITEN. 24 Perutusan Naib Canselor 2023


Perutusan Naib Canselor 2023 25 Untuk hari ini, saya ingin kongsikan sedikit berita gembira bahawa Lembaga telah memutuskan untuk memberi kenaikan tahunan sebanyak 3% kepada staf akademik dan 3% kepada staf sokongan. Bukan hanya 3% kenaikan sahaja, tetapi Lembaga juga bersetuju untuk membuat pelarasan gaji untuk staf akademik sebanyak 5% dan staf bukan akademik sebanyak 10%. Ini bermaksud, selain daripada kenaikan gaji yang dikira yang agak tinggi, skala gaji maksimum kakitangan kita telah ditingkatkan juga. Dengan mengambil kira KPI dan tugasan yang diberikan kepada semua warga UNITEN pada tahun 2023, pengurusan UNITEN bersetuju untuk kenaikan tahunan dan pelarasan gaji bermula daripada 1 Januari 2023. Pekeliling akan diedarkan dalam masa terdekat ini oleh Jabatan Sumber Manusia. Kita sepatutnya bersyukur ke hadrat Allah dengan apa yang telah kita perolehi ini dan saya sangat berharap agar kita semua terus bekerja lebih gigih dalam memastikan UNITEN menjadi sebuah universiti yang bukan sahaja ulung di mata masyarakat Malaysia dan dunia, akan tetapi mempunyai warga kerja yang sentiasa mempunyai keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan selaras dengan gagasan Madani. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini dan merekodkan penghargaan jutaan terima kasih kepada semua pihak, terutamanya kepada mantan Pengerusi Lembaga Pengarah TNB, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Ketua Pegawai Insan TNB serta Ketua Pegawai Kewangan TNB, Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Pengelola UNITEN atas sokongan yang tanpa berbelah bagi kepada UNITEN selama ini.


Sebagai pengakhiran ucapan saya, izinkan saya menyimpulkan lima isi penting sebagai take-away atau tapau untuk sahabat-sahabat bawa daripada majlis ini untuk difikirkan secara serius. Pertama - Anjakan paradigma adalah perlu dalam membudayakan cara kerja yang lebih efisien, berintegriti dan berkualiti di UNITEN. Cara kerja yang tidak lagi relevan dan tiada integriti haruslah digantikan dengan cara kerja yang baharu, yang error-proof, tidak ada rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan, tiada rungutan dan aduan atau ketidakpuasan hati pelanggan ke atas perkhidmatan yang diberi. Maka wujudlah perkhidmatan yang telus, accountable, adil dan saksama. Ketiga - Para pelajar merupakan aset terpenting universiti ini kerana melalui merekalah, generasi pada masa akan datang dapat dicorakkan sebaiknya. Kita semua mempunyai tanggungjawab dalam melahirkan graduan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi, serta mempunyai ‘smart and sharp skills’ dalam mengharungi alam pekerjaan dan kehidupan secara amnya. Kedua - Seiring dengan peredaran masa, ekosistem fasiliti UNITEN perlu diterapkan dengan konsep dan teknologi terkini bagi memastikan pengalaman pembelajaran pelajar di kampus berada pada tahap yang terbaik. Inisiatif untuk menghijaukan kampus juga menjadi agenda yang penting untuk membolehkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang tenang dan lestari. 1 3 2 26 Perutusan Naib Canselor 2023


Keempat - Staf akademik dan staf sokongan yang menjadi nadi penggerak UNITEN haruslah berkerja dengan penuh integriti, bersinergi, tidak silo, komited dan sentiasa bersungguh-sungguh dalam memberikan yang terbaik. Saya percaya, staf UNITEN sangat berkebolehan dan mempunyai banyak potensi yang masih belum diterokai. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan saya sebagai Naib Canselor untuk unlock the untapped potential dalam diri sahabat-sahabat. 4 Kelima - Kelestarian kewangan adalah satu aspek yang sangat penting untuk memastikan pengoperasian universiti yang kita cintai ini dapat diteruskan sampai bila-bila. Saya amat yakin, pengambilan jumlah pelajar yang konsisten, didokongi dengan ekosistem kewangan yang utuh melibatkan Tabung Amanah Zakat UNITEN (TAZU), Dana Wakaf Ilmu (DWI), YCU dan URND dapat merealisasikan aspirasi ini. 5 Perutusan Naib Canselor 2023 27


Akhir kata, saya ingin mengajak semua UNITENians untuk bersama-sama mencurahkan segala keringat kita dalam menjadikan UNITEN sebagai sebuah institusi terpenting, terbaik dalam aspek tenaga di Malaysia. Semoga usaha kita diberkati dan dipermudahkan-Nya. Ranting kayu tidaklah sekah; Tumbuh hijau dikala pagi; Berganding bahu mengorak langkah; Majukan UNITEN seiring teknologi. Tumbuh hijau dikala pagi; Tunas bunga merah memikat; Majukan UNITEN seiring teknologi; Keluarga UNITEN kekal muafakat. Saya tidak pernah lakukan ini, tetapi izinkan saya noktahkan ucapan saya dengan dua rangkap pantun: Sekian, terima kasih. 28 Perutusan Naib Canselor 2023


www.uniten.edu.my UNIVERSITI TENAGA NASIONAL Kampus Putrajaya Jalan IKRAM-UNITEN, 43000 Kajang, Selangor T : +603-8921 2020 UNIVERSITI TENAGA NASIONAL Kampus Sultan Haji Ahmad Shah 26700 Bandar Muadzam Shah, Pahang T : +609-455 2020 /uniten /uniten.official /uniten /uniten.official


Click to View FlipBook Version