ANGSA YANG BERTELUR EMAS
Seorang petani dan isterinya hidup gembira di sebuah ladang kecil. Mereka menternak sekawan angsa dan menjual telurnya di pasar.
Pada suatu pagi, petani dan isterinya pergi ke pasar seperti biasa untuk menjual telur mereka di pasar.
Semasa ketiadaan mereka di rumah, seekor angsa terbang masuk menyertai kawanan angsa di ladang mereka.
Sewaktu pasangan itu pulang dari pasar, mereka sangat terperanjat apabila mendapati sebiji telur emas berkilauan di belakang seekor angsa mereka. “Eh, dari mana datangnya telur emas di ladang kita ini !” , kata penternak itu dengan perasaan hairan.
Selepas dari hari itu, angsa itu akan mengeluarkan telur emasnya setiap hari !
Pasangan itu berasa sangat gembira dan mula merancang untuk menjual kesemua telur itu. “Wah, jika kita menjual kesemua telur ini kaya-raya lah kita!” , kata isteri penternak itu dengan perasaan yang sangat teruja.
Tidak lama selepas itu, pasangan itu menjadi semakin kaya seperti yang tidak pernah mereka impikan sebelum ini.
Orang kampung sudah tahu mengenai kewujudan angsa bertelur emas ini membuatkan pasangan itu berasa sangat risau bahawa orang kampung akan mencuri angsa mereka.
“Tidak boleh jadi ni, kita mesti sembunyikan angsa kita. Jika tidak, pasti ada yang ’panjang tangan’ ingin mencuri angsa kita” , kata penternak kepada isterinya.
Disebabkan perasaan buruk sangka pasangan itu, mereka membuat keputusan untuk mengurung angsa itu dalam sebuah sangkar supaya tiada sesiapa boleh mengambil angsa mereka.
Angsa berasa sangat sedih kerana terperangkap dalam sangkar kecil itu. Angsa berkata dalam hati, “Sampai hati tuanku mengurung aku di dalam sangkar kecil ini setelah aku memberikan telur emas ku yang berharga kepada mereka setiap hari, benarlah pepatah ‘Air susu dibalas dengan air tuba! ” , kata angsa lagi.
Pada suatu malam, ular datang merayau untuk mencari mangsa dan ternampak angsa yang terperangkap di dalam sangkar. Ular mendekati angsa dengan penuh rasa lapar. “Sssss... Sssss... ” . Angsa menjerit sekuat hati meminta pertolongan . “Kuek ! Kuek ! Kuek! “ Kuek!!! Kuek!!!
Ular perlahan-lahan menyusur ke arah angsa dan membelitnya. Angsa tidak dapat melarikan diri kerana terperangkap dalam sangkar itu. Akhirnya, angsa tewas dimakan oleh ular disebabkan sifat tamak dan tidak berperikemanusiaan tuannya. Kuek!!! Kuek!!!
Pada keesokan hari, penternak dan isterinya menjerit kerana angsa mereka telah hilang dan sangkar itu hanya dipenuhi sisa darahnya sahaja.
Mereka sangat sedih dan menyesal dengan ketamakan mereka sehingga telah mengorbankan satu-satunya punca rezeki mereka ketika itu.
“Mungkin ini balasan kepada kita kerana tamak akan telur emas itu” , kata isteri penternak. “Maafkan kami, angsa bertelur emas, kami sangat menyesal” , sambung penternak itu pula.
TAMAT