CIRI CIRI KEISTIMEWAAN ISLAM
Islam mempunyai beberapa ciri dan keistimewaan unggul yang membezakannya daripada
ajaran-ajaran lain. Ciri-ciri dan keistimewaan Islam ini dapat dapat dirumuskan seperti berikut:
Rabbani ( Ketuhanan )
- Bermaksud segala hukum, konsep, nilai dan peraturan yang terdapat di dalam Islam
adalah ditetapkan dan diwahyukan oleh Allah s.w.t.
- Peranan manusia hanyalah sekadar memahami, memperkembangkan dan
melaksanakannya dalam kehidupan mereka.
- Manusia tiada hak untuk campur tangan dalam urusan ketuhanan seperti penentuan
hukum haram, halal, dosa, pahala, nilai baik, buruk, jahat dan sebagainya.
- Ciri-ciri rabbani ini dinyatakan oleh Allah s.w.t. pada banyak tempat di dalam al-
Qur’an. Antaranya, firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah turunkan kepada kamu kitab
(al-Qur’an) dengan kebenaran, maka taatlah kepada
Allah dengan penuh keikhlasan kepada-Nya, ingatlah
bahawa agama yang bersih (benar) itu adalah milik
Allah.
(Surah al-Zumar: 2 – 3)
Al-Thabat wa al-Murunah ( Tetap dan anjal )
- Al-Thabat bermaksud tetap atau tidak berubah.
- Antara perkara yang termasuk dalam konsep thabat adalah aspek akidah dan hukum-
hakam amaliyyah yang dinyatakan secara qat’i (pasti) dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.
- Perkara-perkara berkaitan akidah adalah tetap dan tidak boleh dipinda atau diubah-
ubah.
- Al-Murunah (anjal) pula bermaksud bahawa selain daripada perkara-perkara pokok
dan dasar yang tidak boleh berubah, terdapat juga perkara-perkara ranting dan
cabang yang boleh berubah mengikut kesesuaian dengan
perubahan maslahah manusia sepanjang peredaran zaman.
- Sebagai contoh, solat adalah wajib dan perlu dilaksanakan mengikut ketetapan rukun.
Walaubagaimanapun, jamak dan qasar dibenarkan dalam solat sekiranya seseorang
itu bermusafir.
- Ciri menjaga kepentingan manusia ini dapat dilihat dengan jelas dalam firman Allah
s.w.t. yang bermaksud:
Allah tidak sesekali memberatkan seseorang itu kecuali dengan kadar
upayanya. Baginya (pahala) bagi kebaikan yang dikerjakannya, dan
keatasnya (dosa) bagi kejahatan yang dikerjakannya. Ya Tuhan kami,
janganlah Engkau seksa kami atas apa yang kami terlalai atau silap
padanya. Ya Tuhan kami, Janganlah Engkau pikulkan pekerjaan yang
berat ke atas kami sebagaimana yang Engkau bebani ke atas mereka
yang sebelum daripada kami.
(Surah al-Baqarah: 286)
Waq’iyyah (Realistik)
- Bermaksud ajaran Islam bersifat praktikal dan realistik iaitu bersesuaian dengan realiti
kehidupan manusia.
- Dalam menetapkan sesuatu hukum atau peraturan, Islam sentiasa mengambil kira
realiti semasa, setempat dan adat yang diamalkan.
- Islam tidak membebankan manusia dengan hukuman yang tidak realistik sehingga
manusia tidak mampu menunaikannya.
- Misalnya, Islam tidak memerintahkan manusia untuk beribadat sepanjang masa
sehingga mengabaikan kerja-kerja harian untuk mencari rezeki bagi menampung
keperluan diri, keluarga, masyarakat dan negara.
- Islam mengiktiraf bahawa dalam realiti kehidupan manusia di alam ini terdapat
perbezaan, baik dari segi jantina, keupayaan fizikal dan mental, taraf ekonomi dan
lain-lain.
- Dalam hal ini Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
Dan Allah melebihkan sesetengah daripada kamu ke atas
yang lain (dari segi anugerah) rezeki.
(Surah al-Nahl: 71)
Tawazun (Keseimbangan)
- Bermaksud ajaran Islam memberikan perhatian yang seimbang kepada semua aspek
kehidupan manusia; dari segi individu dan masyarakat, rohani dan jasmani,
kebendaan dan kerohanian serta dunia dan akhirat.
- Islam tidak membenarkan umatnya mementingkan diri sehingga mengabaikan
kepentingan masyarakat dan begitu juga sebaliknya. Islam juga tidak membenarkan
umatnya mementingkan aspek kerohanian semata-mata sehingga mengabaikan
aspek jasmani dan kebendaan dan begitu juga sebaliknya.
- Islam memerintahkan agar kesemua aspek hidup manusia mestilah digabungkan
dalam satu gabungan yang seimbang, harmonis dan sepadu supaya kehidupan
manusia menjadi sempurna dan sejahtera.
- Kepentingan ciri tawazun ini dapat dilihat dengan jelas dalam firman Allah yang
bermaksud:
… apabila kamu diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat,
maka bersegeralah kamu mengingati Allah dan tinggalkan jual-beli.
Itu lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui. Apabila solat
telah dilakukan maka bertaburanlah kamu di muka bumi, carilah
kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu
beruntung.
(Surah al-Jumu’ah: 9 – 10)
Syumul (Menyeluruh)
- Bermaksud Islam merupakan agama yang sempurna dan menyeluruh serta
mencakupi segala aspek kehidupan setiap manusia.
- Allah s.w.t. memiliki segala sifat kesempurnaan dan pengetahuan. Semua aspek
kehidupan manusia dijelaskan dan diberikan panduan oleh Allah s.w.t. dalam wahyu-
Nya.
- Tidak semua aspek kehidupan manusia ini dijelaskan dengan terperinci dalam al-
Qur’an dan al-Hadith. Hal ini kerana perjalanan hidup manusia akan berterusan
manakala wahyu al-Qur’an dan al-Hadith pula terhenti dengan kewafatan Rasulullah
s.a.w.
- Oleh itu, sebahagian besar panduan yang berkaitan aspek kehidupan manusia
dinyatakan dalam wahyu secara umum dan prinsipnya sahaja.
- Kesempurnaan ajaran Islam seperti yang terkandung dalam al-Qur’an dan al-Hadith
itu dapat dilihat dengan jelas dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan kami turunkan ke atas engkau kitab (al-Qur’an)
sebagai penjelasan bagi semua perkara.
(Surah al-Nahl: 89)
‘Alamiyyah (Sejagat)
- bermaksud Islam merupakan agama yang universal, tidak terikat dengan masa,
tempat dan ruang.
- Aspek ‘alamiyyah merangkumi tiga bidang utama iaitu syariah, akhlak dan akidah.
- Semua manusia tanpa mengira bahasa, warna kulit dan bangsa mempunyai
kedudukan yang sama di sisi Allah s.w.t. Tidak ada bangsa yang lebih mulia daripada
bangsa lain kerana faktor bangsa atau warna kulit atau bahasa semata-mata.
- Faktor tunggal yang membezakan seseorang dengan yang lain ialah tahap ketakwaan
kepada Allah s.w.t.
- Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Sesungguhnya yang terlebih mulia daripada kalangan kamu
ialah yang paling bertakwa.
(Surah al-Hujurat: 13)
- Kesejagatan Islam bukan sahaja meliputi sesama manusia, malah merangkumi
makhluk yang lain. Allah s.w.t. bukanlah Tuhan bagi manusia sahaja, malah Allah
s.w.t. juga merupakan Tuhan bagi makhluk yang lain.
- Dalam hal ini, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan
sebagai (membawa) rahmat ke seluruh alam”.
(Surah al-Anbiya’:107)
Wasatiyyah (Kesederhanaan)
- Wasatiyyah ialah elemen yang sangat penting dalam Islam.
- Islam menolak semua unsur ekstremisme dalam kehidupan manusia. Sikap
melampau bukan sahaja ditegah dalam aspek kehidupan di dunia seperti pemakanan,
mengumpul harta dan sebagainya.
- dalam aspek keakhiratan seperti beribadat dan berzikir, sekiranya dilakukan secara
melampau, juga tidak dibenarkan.
- Dalam aspek pemakanan umpamanya, Allah s.w.t. menyuruh manusia makan dan
minum dari makanan dan minuman yang baik. Namun pada masa yang sama juga
Allah s.w.t. mengingatkan manusia agar tidak melampaui batas.
- Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
… dan makanlah dan minumlah dan (tetapi) jangan kamu
melampaui batas kerana Ia (Allah) tidak suka orang yang
melampaui batas.
(Surah al-A’raf: 31)
- Sikap melampaui batas dalam beribadat akhirnya akan menyebabkan seseorang
berasa susah, tertekan dan akhirnya menjadi jemu.
- Rasulullah s.a.w. mengingatkan umat Islam dalam sabdanya yang bermaksud:
Lakukan amalan ibadat (sunat) sekadar yang kamu mampu,
kerana Allah s.w.t. tidak jemu sehingga kamu sendiri nanti
yang akan jemu.
(HR. al-Bukhari)