KEARIFAN LOKAL DALAM PERIBAHASA DUSUN
Sinit John Gitom
Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah
Dr. Saimin Ginsari
Victor Baga
James GW Molijoh
Amidy Malagob
IPG Kampus Kent Tuaran
[email protected]
[email protected]
[email protected]
[email protected]
[email protected]
[email protected]
ABSTRAK
Kajian ini menganalisis jenis-jenis kearifan lokal yang terdapat dalam peribahasa Dusun. Pengkajian
dilakukan untuk melihat nilai, pemikiran dan falsafah masyarakat Dusun yang terdapat dalam
peribahasa Dusun agar nilai-nilai luhur yang terdapat dalam peribahasa Dusun tidak dilupakan dan tetap
diterapkan dalam kehidupan sehari-hari. Sumber data peribahasa yang dikumpulkan dalam pengkajian
ini berasal dari buku Puralan Boros Kadazandusun (2008). Metod yang digunakan dalam kajian ini
adalah kaedah kualitatif dengan menggunakan Hipotesis Sapir Whorf(1921) sebagai landasan teori.
Manakala aspek pemikiran masyarakat Kadazandusun dalam peribahasa akan dikaji berpandukan
kepada kajian yang dibuat oleh Zaitul Azma dan Ahmad Fuad Hassan (2011) yang mengkaji pemikiran
orang Melayu melalui peribahasa. Tujuan penelitian ini adalah untuk mengetahui jenis-jenisi kearifan
lokal, serta mengkaji falsafah pemikiran yang terdapat dalam peribahasa Dusun. Penganalisisan
dilakukan dengan cara pembahagian jenis peribahasa berdasarkan nilai kearifan universal menggunakan
model kerangka penjenisan kearifan lokal oleh Sibaranai (2012) untuk melihat elemen-elemen kearifan
lokal yang terdapat dalam peribahasa Dusun. Hasil analisis menunjukkan bahwa peribahasa Dusun
terdiri daripada beberapa jenis kearifan lokal universal. Jenis-jenis kearifan lokal tersebut meliputi
kearifan lokal kesejahteraan yang terdiri atas kerja keras, disiplin, pendidikan, gotong royong, Kearifan
lokal kedamaian yang terdiri daripada kesopansantunan, kejujuran, kesetiakawanan sosial, kerukunan
dan penyelesaian konflik, komitmen, pikiran positif, dan rasa syukur. Kearifan lokal lain yang termasuklah
kasih sayang dan keberanian. Sementara itu, terdapat juga falsafah seperti epistimologi,metafizik, etika,
logik, dan estetika yang melambangkan pemikiran masyarakat Dusun.
Kata kunci: Kearifan lokal, peribahasa Dusun, Hipotesis Sapir Whorf.
PENGENALAN
Manusia menggunakan bahasa sebagai alat perhubungan yang penting dalam kehidupan
seharian. Penggunaan bahasa dalam pelbagai urusan seharian memperlihatkan pelbagai nilai
sosial dan kebudayaan yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat bahasa. Kebenaran ini turut
disokong oleh ungkapan-ungkapan seperti Bahasa menunjukkan bangsa dan bahasa jiwa
bangsa. Menurut Awang Sariyan (2007), bahasa telah mendokumentasikan latar sosial,
sejarah, budaya dan ketamadunan sesuatu bangsa. Justeru itu, untuk menonjolkan sifat, jiwa
1
dan raga sesuatu bangsa, maka elemen bahasa perlu ditelaah untuk melihat dokumentasi latar
sosial, sejarah, peradaban dan ketamadunan bangsa tersebut. Salah satu daripada elemen
bahasa yang dimaksudkan ialah ungkapan peribahasa dalam pertuturan harian. Menerusi
penelitian ungkapan-ungkapan peribahasa dalam sesuatu bahasa misalnya, akan dapat
memberikan banyak sumber berkaitan sesuatu bangsa. Pernyataan ini disokong oleh Saidatul
dan Mohd Rasdi (2013) yang berpendapat bahawa penggunaan bahasa dengan pelbagai
strategi telah memperlihatkan pelbagai nilai sosial dan kebudayaan yang diamalkan dalam
suatu masyarakat bahasa.
Peribahasa merupakan salah satu daripada genre lisan yang telah wujud sejak
berzaman-zaman lamanya. Menurut Kamus Dewan (2005), peribahasa merupakan ayat atau
kelompok ayat yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang
tertentu. Setiap peribahasa yang dihasilkan pula bertujuan untuk mendidik masyarakat dengan
norma-norma sosial dan nilai-nilai moral yang terkandung di dalamnya agar menjadi pedoman
dan panduan masyarakat yang memilikinya. Menurut Asmah Haji Omar (2015), dalam
peribahasa tergambar fizikal, alam dan budaya Melayu serta minda mereka semuanya
tersimpul dalam bahasa yang ringkas, padat dan indah. Masyarakat Dusun di Sabah juga tidak
terkecuali daripada memiliki peribahasa. Ia merupakan satu warisan sejak sekian lama dahulu.
Oleh kerana kehidupan tradisi kaum Dusun ini amat rapat dengan alam semulajadi, maka
banyak peribahasa yang diciptakan berkait rapat dengan unsur-unsur alam semula jadi yang
berada di sekeliling mereka. Penciptaan peribahasa kaum Dusun ini pula tercetus hasil
daripada pengamatan dan pentafsiran masyarakat tradisi terhadap alam persekitaran mereka
dan dikaitkan pula dengan ciri-ciri ataupun perlakuan sifat manusia itu sendiri. Oleh sebab itu,
sesuatu ungkapan peribahasa itu memerlukan pemahaman dan pentafsiran yang mendalam
dari pelbagai sudut makna agar sesuatu peribahasa itu dapat fahami dengan baik. Justeru,
kajian ini dijalankan untuk melihat nilai kearifan lokal, falsafah masyarakat serta keindahan dan
keunikan bahasa Dusun itu sendiri.
Penyataan Masalah
Peribahasa merupakan satu unsur bahasa yang terkandung di dalamnya elemen-elemen
kearifan lokal sesuatu masyarakat. Dalam konteks masyarakat Dusun di Sabah terdapat
keunikan yang tersendiri dalam peribahasa yang diciptakan oleh masyarakat ini, kerana melalui
peribahasa yang dihasilkan elemen-elemen kemasyarakatan dan kebudayaan akan dapat
diketahui. Walau bagaimanapun keunikan peribahasa kaum Dusun ini tidak diserlahkan kerana
kekurangan sumber dan kajian. Ini pasti akan dapat meminggirkan masyarakat ini daripada
pengetahuan umum dalam konteks sosio budaya yang boleh diketengahkan dari pengkajian
tentang peribahasa. Malah, Wilkinson (dalam Zaitul Azma Zainon Hamzah dan Ahmad Fuad
Hassan, 2011) telah membuat kajian tentang peribahasa Melayu untuk mengenal pasti
perwatakan serta sifat-sifat orang-orang Melayu pada masa penjajahan British di Tanah
Melayu. Pernyataan ini turut di sokong oleh Awang Sariyan (1991) (dalam Zaitul Azma Zainon
Hamzah dan Ahmad Fuad Hassan, 2011) yang menyatakan bahawa peribahasa dalam sesuatu
bahasa akan memancarkan pandangan hidup, nilai, sikap, cara berfikir, dan kepekaan akal budi
masyarakat pengguna bahasa itu. Menurut Low Kok On (2015), bahan kesusasteraan yang
unik daripada pelbagai etnik di Sabah semakin berkurangan untuk diwariskan kepada golongan
muda pada masa kini kerana ia semakin kurang dilindungi dan hanya dituturkan secara lisan
sahaja. Keadaan ini sudah tentu akan mengakibatkan warisan ini semakin terhakis sebagai
rujukan kepada anak-anak muda mengenai usaha kreatif etnik ini sendiri dan sebagai rujukan
untuk mengenali masyarakat Dusun.
2
Objektif Kajian
Kajian ini dilakukan untuk mencapai objektif seperti berikut:
i. Mengetahui jenis-jenis kearifan lokal yang terdapat dalam peribahasa Dusun.
ii. Merumuskan pemikiran masyarakat Dusun yang terkandung dalam peribahasa
berdasarkan lima kategori falsafah iaitu epistimologi,metafizik, etika, logik, dan estetika.
Persoalan Kajian
i. Apakah jenis-jenis kearifan lokal yang terdapat dalam peribahasa Dusun?
ii. Bagaimanakah pemikiran masyarakat Dusun yang terkandung dalam peribahasa dari
sudut epistimologi, metafizik, etika, logik, dan estetika?
TINJAUAN LITERATUR
Bahagian ini akan menghuraikan beberapa konsep dan teori yang telah digunakan dalam kajian
ini.
Definisi Peribahasa
Banyak definisi telah diberikan oleh tokoh-tokoh bahasa terhadap peribahasa. Za’ba (2002:152)
memberikan takrif peribahasa sebagai “segala cakap yang pendek yang telah melekat di mulut
orang ramai semenjak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya, luas dan
benar tujuannya, dipakai akan dia jadi sebutan oleh orang sebagai bandingan, teladan, dan
pengajaran”. Harun Mat Piah (1989) pula mendefinisikan peribahasa sebagai ungkapan yang
terdiri daripada sekurang-kurangnya dua keratan yang sejajar baik dalam sebaris mahupun
dalam dua baris ataupun lebih daripada dua baris. Abdullah Hassan dan Ainon Mohd (2003)
pula menyatakan, peribahasa merupakan salah satu daripada cabang bahasa kiasan.
Seterusnya Zaitul Azma Zainon Hamzah dan Ahmad Fuad Hassan (2011) menyimpulkan
bahawa peribahasa merupakan satu bentuk bahasa yang merakamkan perihal, keadaan, sifat,
cara, kejadian, peristiwa dan sebagainya menggunakan bahasa yang puitis, ringkas, berirama
dan sebagainya. Asmah Hj. Omar (2015) pula menyatakan bahawa peribahasa ialah satu istilah
yang merangkumi pepatah, bidalan, perbilangan, dan perumpamaan. Daripada definisi-definisi
yang dikemukakan di atas dapatlah disimpulkan bahawa peribahasa adalah suatu ragam
bahasa yang wujud dalam sesuatu komuniti bahasa yang diciptakan hasil daripada
pengamatan mereka daripada persekitaran dan diungkapkan dalam bentuk yang ringkas,
padat, serta mempunyai makna yang tersendiri.
Peribahasa Dusun
Hampir semua bangsa mempunyai bentuk peribahasanya yang tersendiri. Menurut Abdullah
Hussain (2004) kewujudan sesuatu peribahasa adalah selaras dengan wujudnya bahasa pada
sesuatu bangsa dan mula digunakan apabila manusia mula mengenal peradaban. Masyarakat
Dusun juga mempunyai peribahasa mereka sendiri. Dalam masyarakat Dusun, peribahasa
dikenali sebagai poinukadan yang diterbitkan daripada kata dasar tukadan yang bermaksud
perumpamaan ataupun peribahasa dalam bahasa Melayu (Minah Sintian, 2012). Poinukadan
juga dikenali sebagai siriban, haraban dan poiradan. Penggunaan istilah bergantung pada
daerah masing-masing berdasarkan dialek dan idiolek masing-masing. Walau bagaimanapun,
3
perbezaan istilah itu tidaklah sebegitu besar dan sifat keseragaman antara kumpulan individu
masih wujud serta keadaan saling memahami masih kekal. Sama ada poinukadan, siriban,
haraban ataupun poiradan, ianya terdiri daripada satu perkataan atau sekelompok perkataan
yang membawa makna berbeza daripada perkataan asal. Poinukadan yang digunakan dalam
pertuturan dan penulisan dapat meningkatkan makna dan perasaan berkomunikasi secara
ringkas dan bijak namun penggunaannya haruslah mengikut situasi dan konteks yang betul dan
sesuai (Benedict Topin, 2002).
Sebagai mana peribahasa Melayu, peribahasa Dusun ini jarang mengungkapkan makna
secara langsung. Maknanya adalah tersirat atau berkias, terbentuk dalam rangkai kata yang
kurang logik dan kurang gramatis. Menurut Saidatul Nornis Hj. Mahali (2007), bahasa berkias
digunakan oleh ahli masyarakat dalam kebanyakan budaya untuk meluahkan dan
menyampaikan pesanan, teguran, pendidikan dan sindiran halus kepada individu atau sasaran
yang hendak ditegur atau disindir.
Peribahasa dalam masyarakat Dusun lahir dalam masyarakat kolektif dan fungsional
iaitu dicipta oleh pengarang yang tidak bernama dan digunakan secara menyeluruh dalam
setiap strata masyarakat. Peribahasa Dusun diungkapkan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira
kategori dan statusnya tidak kira tua atau muda, miskin ataupun kaya. Masyarakat Dusun
tradisional menggunakan peribahasa dalam kehidupan sehari-hari seperti di rumah iaitu antara
ibu bapa dengan anak-anaknya, bersapa dengan jiran di tengah jalan semasa pergi berburu,
berkebun dan sebagainya, kata yang terungkap semasa di tamu (pasar minggu), digunakan
dalam majlis ritual, kenduri-kendara, upacara kematian, dan lain-lain lagi. Peribahasa yang
digunakan semasa berjumpa di tengah jalan adala berkaitan dengan dengan cuaca seperti
gumompus oh tawan, araat oh tadau dan sebagainya. Peribahasa juga dapat dijadikan medium
untuk menjelaskan sifat individu tertentu seperti malas, rajin, laju, lembab, bodoh, gelojoh,
tamak dan sebagainya.
Dari segi penciptaannya, peribahasa lahir hasil daripada pengamatan dan penelitian
jiwa, hati dan otak manusia yang genius. Bahasa dalam peribahasa Dusun adalah berdasarkan
penggunaan alam sekitar seperti hutan, tumbuh-tumbuhan, binatang, tunggul, angin, tanah dan
sebagainya. Contohnya penggunaan pokok langsat atau lansat. Peribahasa yang
menggunakan lansat sahaja terdapat beberapa bilangan seperti kolipas nogi lansat om korikot
o mangkawot, pili-pili ku lansat kopili o totomou, lansat-lansat ii nangku tu opisak, mongulit
lansat dan sebagainya. Begitu juga dengan penggunaan nama binatang di hutan seperti kera
(kara) atau monyet (gobuk). Contohnya seperti poingkibit o kara om poinsuun o gobuk, koilo id
kara om ah ii koilo gobuk, boboo’ ilo gobuk om ilihai ilo kara dan seumpamanya. Kepekaan
manusia genius terhadap perubahan alam juga memampukan peribahasa agak unik dengan
memasukkan unsur-unsur seperti subuh, siang , petang dan malam bahkan sifat-sifatnya sekali
seperti sejuk, pekat, panas, dan seumpamanya. Contoh peribahasa Dusun yang merujuk
kepada perubahan alam ialah seperti rikoton ngapui, tapui-tapui i nangku tu kolonuk, misopi
salad rasam , pomolosuan do tosogit dan sebagainya. Unsur-unsur alam dalam peribahasa
begitu jelas menggambarkan ketajaman daya pemerhatian dan keupayaan masyarakat Dusun
dalam meletakkan kepentingan alam sebagai salah satu cara untuk mendidik dan
menyampaikan sesuatu teguran mahupun pengajaran kepada masyarakatnya. Dalam konteks
kajian ini, peribahasa Dusun akan dijadikan sebagai data bahasa untuk melihat aspek-aspek
sosio budaya masyarakat Dusun itu sendiri.
4
Kearifan Lokal
Secara leksikalnya, kearifan lokal berasal dari dua perkataan iaitu “arif” dan “lokal”. Menurut
Kamus Dewan (2005) kata “arif” adalah merujuk kepada yang “bijaksana”, “cerdik dan pandai”,
berilmu”, “paham”, “memahami”, “mengerti”. Manakala kata “lokal” bermaksud setempat.
Konsep kearifan lokal pula adalah satu konsep yang sering digunakan dalam bidang
antropologi. Ramai ahli antropologi yang memberikan takrifan yang berbeza tentang konsep
kearifan lokal dalam disiplin ilmu antropologi. Menurut Flavier (1995), kearifan tempatan ialah
adalah pengetahuan unik yang merujuk kepada sesuatu budaya dalam sesebuah komuniti.
Menurut Rahimin Affandi (2013), kearifan tempatan ini secara mudahnya difahami sebagai
formula, paradigma dan kepandaian masyarakat setempat dalam menghadapi dua dimensi
kehidupan sama ada secara hubungan sesama makhluk ataupun Pencipta. Ahli-ahli antropologi
seperti Koentjaraningrat (2000) dan Geertz (2008) mengatakan bahawa kearifan lokal itu
mempunyai hubungan yang erat dengan kebudayaan tradisional sesuatu masyarakat.
Zulkarnain dan Febriamansyah (Raden, Isman & Jajang 2001) mentafsirkan kearifan lokal
sebagai prinsip dan cara tertentu yang dipegang, difahami dan digunakan oleh masyarakat lokal
dalam berinteraksi dengan lingkungannya serta ditransformasikan dalam bentuk sistem nilai
dan norma adat. Aspek kearifan tempatan pula boleh didapati dalam pelbagai bentuk yang
merangkumi cerita rakyat, lagu, petua orang orang tua, peribahasa, nilai budaya, kepercayaan,
ritual, undang-undang adat, bahasa dan amalan pertanian (Hiwasaki L., Luna E., Syamsidik, &
Shaw, R.,2014).
Dalam konteks kajian ini aspek kearifan lokal yang terdapat dalam peribahasa Dusun
akan dikaji berdasarkan kepada model kerangka penjenisan kearifan lokal oleh Sibaranai
(2012). Menurut Sibarani (2012), kearifan lokal atau kearifan setempat dapat difahami sebagai
gagasan-gagasan dan pengetahuan setempat yang bersifat bijaksana, penuh kearifan, bernilai
baik, dan berbudi luhur yang dimiliki, dipedomani dan dilaksanakan oleh anggota
masyarakatnya. Kearifan lokal dan pengetahuan masyarakat setempat yang dapat
dimanfaatkan untuk meningkatkan kesejahteraan dan menciptakan kedamaian dalam
masyarakat pada hakikatnya merupakan kebenaran yang diidam-idamkan (Sibarani, 2012).
Kearifan lokal merupakan milik masyarakat setempat yang sikap dan kepribadiannya matang
untuk mampu mengembangkan potensi dan sumber lokal dalam melakukan perubahan ke arah
yang lebih baik.Kearifan lokal adalah nilai budaya yang positif. Kearifan lokal merupakan milik
manusia yang bersumber dari nilai budayanya sendiri dengan menggunakan segenap akal,
budi, fikiran, hati dan pengetahuannya untuk bertindak dan bersikap terhadap lingkungan alam
dan ingkungan sosialnya (Sibarani, 2012). Kehidupan bermasyarakat akan baik jika mereka
menerapkan kearifan lokal pada kehidupan sehari-hari. Kearifan lokal banyak mengandung nilai
kebaikan di dalamnya yang jika diterapkan boleh memperbaiki karakter anak menjadi lebih baik.
Menurut model kerangka pejenisan kearifan lokal oleh Sibarani (2012) terdapat dua tema utama
kearifan lokal iaitu kesejahteraan dan kedamaian. Di bawah tema kesejahteraan terdapat lapan
sub tema iaitu kerja keras, disiplin, pendidikan, kesihatan, gotong royong, pengelolaan gender,
pelestarian dan kreativiti budaya dan keprihatinan persekitaran. Manakala Tema kedamaian
pula mempunyai tujuh sub tema yang terdiri dari kesopansantunan, kejujuran, kesetiakawanan
sosial, kerukunan dan penyelesaian konflik, komitmen, fikiran positif, dan rasa syukur.
.
5
Hipotesis Sapir-Whorf
Teori Relativiti Linguistik yang menjadi dasar Hipotesis Sapir-Whorf (1921), menyatakan
bahawa terdapat hubungan antara bahasa, budaya dan pemikiran manusia. Dengan erti kata
yang lain, bahasa mengungkapkan kenyataan budaya; bahasa mewujudkan kenyataan budaya;
dan bahasa melambangkan kenyataan budaya. Kunci bahawa bahasa dan budaya terjadi
secara alamiah terlihat pada bentuk sosialisasi atau penyesuaian diri manusia yang
beragam.Setiap orang berbicara dengan cara yang berbeza kerana mereka berfikir dengan
cara yang berbeza. Mereka berfikir dengan cara yang berbeza kerana bahasa mereka
menawarkan cara mengungkapkan (makna) dunia luar di sekitar mereka dengan cara yang
berbeza juga. Inilah gagasan dasar teori relativitas linguistik, yang dipegang oleh Boas, Sapir,
dan Whorf dalam kajian mereka tentang bahasa-bahasa Indian-Amerika. Pandangan Whorf
mengenai adanya saling ketergantungan antara bahasa dengan fikiran dikenal dengan
hipotesis Sapir-Whorf. Hipotesis Sapir-Whorf lebih tegas menyatakan bahwa struktur bahasa,
suatu yang digunakan secara terus menerus, mempengaruhi cara seseorang berpikir dan
berprilaku. Bahasa dapat dikatakan sebagai bagian integral dari manusia – bahasa menyerap
setiap fikiran dan cara penuturnya memandang dunianya. Pola-pola pemikiran manusia
dipengaruhi oleh bahasa pertama dan budaya setempat. Hipotesis sapir-Whorf ini jelas
menunjukkan kepada kita bahawa terdapat konsep dalam pemikiran manusia yang merujuk
kepada sesuatu objek yang wujud dalam alam sekeliling mereka. Dengan asas yang demikian,
seolah-olah terdapat sesuatu sifat yang universal pada bahasa, dan dalam konteks sifat ini ia
merujuk kepada peribahasa yang terhasil daripada pengamatan manusia terhadap
persekitaran. Dalam kajian ini, pemikiran masyarakat Dusun yang terungkap dalam peribahasa
akan dikaji berdasarkan kepada lima aspek falsafah yang pernah digunakan oleh oleh Zaitul
Azma dan Ahmad Fuad Hassan (2011) yang mengkaji pemikiran orang Melayu melalui
peribahasa iaitu aspek epistimologi, metafizik, etika, logik, dan estetika.
METODOLOGI
Pengkajian ini meggunakan pendekatan kualitatif yang disandarkan pada permasalahan kajian
yang telah dinyatakan. Penelitian kualitatif adalah penelitian yang digunakan untuk
mendeskrifsikan dan menganalisis fenomena, peristiwa, sikap kepercayaan, persepsi,
pemikiran manusia secara individu ataupun kelompok (Moleong, 2007). Analisis kualitatif
deskriftif dalam kajian ini akan disesuaikan dengan teori Hipotesis Sapir Whorf(1921) untuk
melihat bagimana pemikiran masyarakat Dusun yang terkandung dalam peribahasa. Manakala
model kerangka penjenisan kearifan lokal oleh Sibaranai (2012) akan digunakan untuk melihat
jenis-jenis kearifan lokal yang terdapat dalam peribahasa Dusun. Sementara itu aspek
pemikiran masyarakat Kadazandusun dalam peribahasa akan dikaji berpandukan kepada kajian
yang dibuat oleh Zaitul Azma dan Ahmad Fuad Hassan (2011) yang mengkaji pemikiran orang
Melayu melalui peribahasa. Data kajian ini dikumpul menggunakan kaedah perpustakaan
memandangkan kekangan masa dan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang
membatasi aktiviti ke lapangan dijalankan. Himpunan sebanyak 123 sampel peribahasa Dusun
dari buku Puralan Boros Kadazandusun telah diambil untuk menjawab persoalan kajian.
Pengkaji telah membuat klasifikasi peribahasa yang telah dikumpul dan akhirnya telah
membuat interpretasi sesuai dengan objektif kajian yang telah ditentukan. Secara ringkasnya
penelitian ini dilaksanakan mengikut beberapa peringkat. Peringkat pertama ialah, peringkat
pengumpulan data. Pada peringkat ini pengkaji telah mengumpul peribahasa yang terdapat
dalam buku yang berkenaan untuk dijadikan sumber data. Peringkat yang kedua ialah
pengklasifikasian data, iaitu mengkategorikan peribahasa mengikut jenis kearifan lokal yang
telah ditentukan. Peringkat yang ketiga ialah menginterpretasi data secara deskriftif. Peringkat
6
yang keempat ialah membuat rumusan dan pelaporan, di mana data yang telah
diinterpretasikan telah dibuat rumusan mengikut objektif kajian.
Batasan Kajian
Walaupun kajian ini adalah berfokus kepada peribahasa masyarakat Dusun, namun kajian ini
hanya terbatas kepada 123 data peribahasa yang terdapat dalam buku Puralan Boros
Kadazandusun dan tidak meliputi semua data peribahasa dalam masyarakat Dusun.
DAPATAN KAJIAN
Dapatan kajian ini adalah berkaitan dengan jawapan kepada persoalan kajian yang telah
ditetapkan iaitu, apakah jenis-jenis kearifan lokal yang terdapat dalam peribahasa Dusun?
Dapatan kajian adalah seperti Jadual 1 di bawah:
Jadual 1: jenis-jenis kearifan lokal yang terdapat dalam peribahasa Dusun
Aspek
Jenis kearifan lokal Contoh
Kesejahteraan Akatol tunturu(gatal jari),Monggom ninipot (menggenggam
1. Kerja keras kelip-kelip)
Kodou tulu (keras kepala)
2. Disiplin Modu sodu panahon, momok somok pamalabangan (semakin
jauh perjalanan, kuburan semakin dekat)
3. Pendidikan
-Tiada
4. Kesihatan
-Kila-kilahon (seperti semut)
5. Gotong royong -Tiada
6. Pengelolaan gender -Tiada
7. Pelestarian dan Kreativiti -Tiada
budaya
8. Keprihatinan persekitaran
.
Kedamaian .
1. Kesopansantunan Kolopu tuntu manggis (mematahkan pokok manggis)
2. Kejujuran Saalom ngompu (dalam hati ada musang)
3. Kesetiakawanan sosial Miulu om pais(bagai kepala dengan pisau)
4. Kerukunan dan penyelesaian -Tiada
konflik Kirugi pakou (punggung berduri)
5. Komitmen
Mongulit langsat (seperti kulit langsat)
6. Fikiran positif -Tiada
7. Rasa syukur
7
Pemikiran masyarakat Dusun dalam peribahasa
Daripada sampel peribahasa yang dikaji dalam kajian ini, didapati terdapat unsur
pemikiran yang melatari setiap peribahasa yang diungkapkan. Hal ini sejajar dengan teori
Sapir-Whorf (1921) yang menjelaskan bahawa bahasa menentukan pemikiran
penuturnya. Dengan perkataan lain bahasa ditentukan oleh cara penutur itu berfikir. Cara
seseorang penutur berfikir tergambar menerusi penggunaan perkataan-perkataan itu
dengan lebih meluas. Bahasa dalam peribahasa Dusun ternyata mempunyai hubungan
rapat dengan pemikiran masyarakat Dusun dalam lingkungan sejarah kebudayaan, dan
alam sekelilingnya.
a. Pemikiran tentang kewujudan (metafizik)
Dalam peribahasa Dusun aspek pemikiran masyarakat Dusun tentang kewujudan
melibatkan pemikiran tentang hubungan manusia dengan alam sekelilingnya. Seperti mana
yang dimaklumi masyarakat tradisi Dusun pada masa dahulu mempunyai kepercayaan
animisme (Arena Wati, 1978). Persoalan pemikiran ini terpancar dalam peribahasa yang
memaparkan isu-isu kehidupan yang amat rapat hubungannya dengan alam sekeliling.
Mereka percaya bahawa wujud makhluk lain di dunia ini seperti rogon (jin).Maka dengan itu,
terungkaplah peribahasa yang terkandung unsur rogon (jin) Pemikiran ini terpancar dalam
contoh peribahasa berikut:
P1. Mogihum kabang do rogon - peribahasa ini bermaksud, sengaja mencari masalah.
(Mencari mulut jin)
b. Pemikiran tentang ilmu pengetahuan (epistemologi)
Dalam peribahasa Dusun, pemikiran tentang pengetahuan terungkap melalui peribahasa yang
berupa pengajaran dan motivasi. Contoh:
P2. Oyopos-yopos nopo dulud nga oyopos-yopos no sinapa’ (siapa yang kaki basah, basahlah
juga sepahnya). Peribahasa ini bermaksud orang yang rajin akan mendapat hasil yang lebih
baik. Ini bermaksud, dorongan dan motivasi kepada seseorang untuk lebih berusaha
diungkapkan dalam bentuk peribahasa.
c. Pemikiran tentang tingkahlaku dan moral manusia (etika)
Pemikiran tentang tingkah laku dan etika tentang masyarakat Dusun banyak digambarkan
dalam peribahasa yang dikaji. Ia diungkapkan secara sindiran dan dalam bentuk
perumpamaan. Peribahasa yang diungkapkan menggambarkan tingkah laku negatif seseorang.
Contoh:
P3 : Sonong tinimbabaon, raat tinolikudan (bagus di depan, buruk di belakang). Peribahasa ini
bermaksud seseorang yang berpura-pura baik ketika berhadapan sahaja, tetapi berbuat
sebaliknya apabila tidak berhadapan dengan orang tersebut.
P4 : Siilon o kabang (mulut dicungkil). Peribahasa ini bermaksud seseorang yang sangat susah
untuk dibawa bercakap.
P5 : Oniba ginawo (pendek hati). Peribahasa ini bermaksud seseorang yang pemarah dan
sentiasa marah.
8
d. Pemikiran tentang penaakulan manusia terhadap alam (logik)
Pemikiran masyarakat Dusun tentang alam sangat jelas terpancar dalam peribahasa yang
dikaji. Malah unsur-unsur flora dan fauna sering digunakan untuk menggambarkan situasi dan
juga tingkahlaku manusia dan disampaikan dalam bentuk peribahasa. Ini tidak menghairankan
kerana masyarakat tradisi ini mempunyai hubungan yang amat rapat dengan alam sekeliling
sesuai dengan aktiviti mereka yang utama seperti bertani dan berburu dan sudah tentu
pengalaman yang dilalui diungkapkan untuk menggambarkan sesuatu perkara. Contohnya:
P6 : kosunggu do tawan (sampai ke awan). Peribahasa ini menggambarkan sesuatu yang
sangat tinggi sehingga tidak terjangkau.
P7 : miagal kodumaat (seperti kilat). Peribahasa bermaksud seseorang yang berlari dengan
sangat pantas.
P8 : momobog bolobou (memukul embun). Peribahasa ini bermaksud sangat awal untuk
bergerak ke sesuatu tempat. Hasil daripada pengamatan masyarakat ini terhadap situasi pada
awal pagi di mana suasana masih berembun, maka peribahasa ini telah dicipta untuk
menggambarkan situasi atau keadaan yang terlalu awal.
e. Pemikiran tentang keindahan (estetika)
Selain darpada pemikiran yang telah dinyatakan di atas, peribahasa Dusun turut memaparkan
nilai esteikanya. Ini jelas terlihat melalui penggunaan ungkapan bahasa yang indah dan halus
dalam penciptaan. Contoh:
P9: Pili-pili ku lansat, kopili ku totomou (saya memilih buah langsat, terpilih pula buah berwarna
hijau)- peribahasa ini bermaksud seseorang yang cuba memilih yang terbaik, tetapi mendapat
pula yang tidak baik.
P10: Ponginaru tanawau, ponginiba totuong ( memanjangkan siang, memendekkan malam)-
peribahasa bermaksud perbualan.
Daripada analisis peribahasa P9 dan P10, unsur keindahan terletak pada ragam bahasa yang
indah, berentak dan sepadan.
PERBINCANGAN
Hasil daripada analisis terhadap 123 data peribahasa Dusun yang dikaji, didapati sembilan jenis
kearifan lokal seperti yang terdapat dalam model kerangka pejenisan kearifan lokal oleh
Sibarani (2012). Berdasarkan kepada dapatan kajian dalam Jadual 1, elemen kesejahteraan
masyarakat seperti kerja keras, berdisiplin, pendidikan dan bergotong royong amat ditekankan
dalam masyarakat Dusun. Di samping itu, masyarakat ini juga amat mementingkan kedamaian
dalam masyarakat. Ini terbukti dengan wujudnya elemen-elemen seperti kesopansantunan,
kejujuran, kestiakawanan, komitmen dan berfikiran positif dalam peribahasa yang dikaji. Ini
memberikan implikasi bahawa penerpan nilai-nilai murni perlu diterapkan melalui pengajaran
elemen peribahasa dalam pendidikan. Hal ini bertepatan dengan apa yang disarankan oleh
Sibarani (2012) bahawa kearifan lokal atau kearifan setempat (local wisdom) dapat difahami
9
sebagai gagasan-gagasan dan pengetahuan setempat yang besifat bijaksana, penuh kearifan,
bernilai baik, dan berbudi luhur yang dimiliki, dipedomani, dan dilaksanakan oleh anggota
masyarakatnya. Hal itu membuktikan bahawa gagasan-gagasan dan kebiasaan-kebiasaan
yang dilakukan oleh masyarakat Dusun dalam peribahasa benar-benar menunjukkan kearifan
lokal yang menjadi satu tradisi dalam masyarakat ini.Tegasnya bahasa menjadi alat atau wadah
untuk menyampaikan mesej atau pesan. Oleh sebab itu, dalam konteks pengajaran dan
pembelajaran bahasa Kadazandusun di sekolah, elemen peribahasa perlu ditekankan sebagai
satu elemen penerapan dalam mendidik masyarakat sejak di bangku sekolah lagi. Ini amat
bertepatan dengan pendapat Saidatul Nornis Hj. Mahali (2007) yang mengatakan bahawa,
bahasa berkias digunakan oleh ahli masyarakat dalam kebanyakan budaya untuk meluahkan
dan menyampaikan pesanan, teguran, pendidikan dan sindiran halus kepada individu atau
sasaran yang hendak ditegur atau disindir.
Peribahasa Dusun memperlihatkan secara tersurat dan tersirat akan pemikiran
masyarakat Dusun yang kreatif dalam menanggapi persekitaran untuk melahirkan perasaan,
idea, pandangan, nasihat, pengajaran, dan sebagainya. Dalam hal ini bahasa adalah entiti
mental yang wujud dalam pemikiran setiap individu. Melalui penggunaan bahasa yang ringkas
tetapi mempunyai nilai estetika yang tersendiri, sesuatu konsep yang dibina dalam pemikiran
diterjemahkan dalam peribahasa yang tampak relevan dengan pandangan dunia (world view)
masyarakat Dusun itu sendiri. Penggunaan perkataan yang menggambarkan latar budaya
masyarakat Dusun tradisonal yang terlibat dengan aktiviti pertanian sara diri, pemburuan,
pertukangan, kraftangan dan sebagainya secara kolektifnya menggambarkan ketajaman kognisi
masyarakat Dusun dalam membuat pemadanan yang relevan dalam menghasilkan peribahasa
dan maknanya. Penggunaan kata yang ringkas padat serta puitis menggambarkan
kebijaksanaan masyarakat ini memanipulasikan bahasa untuk menonjolkan unsur keindahan
dalam berbahasa. Hal ini menunjukkan suatu yang timbal balik, iaitu budaya juga
mempengaruhi bahasa dan pemikiran penuturnya sekali gus membuktikan struktur bahasa
yang dilahirkan dalam peribahasa adalah bukti yang mempengaruhi cara masyarakat Dusun
berfikir dan berperilaku. Dalam hal ini, pelestarian kepada elemen peribahasa dalam kalangan
masyarakat Dusun amat signifikan dengan masa kini yang mula melupakan warisan tradisi ini
terutama dalam aktiviti berkomunikasi. Oleh itu pendokumentasian secara sistematik perlu
dilakukan untuk memelihara warisan tradisi ini agar ia tidak lupus di telan zaman.
RUMUSAN
Berdasarkan hasil dapatan kajian ini, didapati peribahasa Dusun yang dikaji mempunyai unsur
kearifan lokal yang amat signifikan untuk dijadikan sebagai wadah untuk mendidik masyarakat
Dusun itu sendiri. Di samping itu, peribahasa Dusun dilihat mempunyai ungkapan bahasa yang
tersusun, menarik, indah, berlapik dan memiliki ciri kehalusan budi pekerti pencipta dan
penuturnya. Gambaran pemikiran dan falsafah masyarakat Dusun diungkapkan menggunakan
bahasa dengan bersumberkan alam flora, alam fauna, alam benda dan alam semesta bagi
menyampaikan teladan, perbandingan, pengajaran, sejarah, nilai dan peraturan hidup dan
sebagainya bagi membawa pengertian yang cukup mendalam. Dengan demikian wajarlah
peribahasa ini dilestarikan dan dipelajari oleh generasi muda agar warisan berharga ini tidak
tenggelam oleh peredaran zaman.
10
RUJUKAN
Abdullah Hussain. (2004). Kamus Istimewa Peribahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Abdullah Hassan & Ainon Mohd (2003). Koleksi Terindah Peribahasa Melayu. Bentong: PTS
Publications & Distributors Sdn. Bhd
Asmah Haji Omar.(2015). Ensiklopedia Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan.(2007). Santun Berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hiwasaki, L., Luna, E., Syamsidik, & Shaw, R. (2014). Local and indigenous knowledge for community
resilience: Hydro-meteorological disaster risk reduction and climate change adaptation in coastal
and small island communities. UNESCO, Jakarta.
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2008). Puralan Boros Kadazandusun Id Sikul. Kuala Lumpur.
Minah Sintian. (2012). Poinukadan Kadazandusun: Ditinjau dalam Aspek Fungsinya. Kertas Kerja
Seminar Menjejakai Warisan Pelbagai Etnik Di Sabah Januari 2012.
Rahimin Affandi Abd. Rahim, Ruzman Md. Nor, Nor Hayati Bt Md Dahlal & Norafifah Abd Hamid. (2013).
Islam dan kearifan tempatan di alam Melayu: Analisis kritikal. JATI, 18.
Saidatul Nornis Hj. Mahali dan Mohd Rasdi Saamah.(2013). Haiwan Sebagai Perlambangan Dalam
Peribahasa Orang Semai. GEMA Online Journal of Language Studies. Vol 13 (1), 83-93.
Sibarani, Robert. (2012). Kearifan Lokal: Hakikat, Peran, dan Metode Tradisi Lisan. Jakarta: Asosiasi
Tradis Lisan
Zaitul Azma Zainon Hamzah dan Ahmad Fuad Mat Hassan.(2011). Bahasa dan Pemikiran Dalam
Peribahasa Melayu.GEMA Online Journal of Language Studies. Vol11 (3),31-51.
Zainal Abidin Ahmad.(2002). Ilmu Mengarang Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
11