MENINGKATKAN TAHAP BACAAN IQRA MURID TAHUN 6 ARIF 2021
MELALUI KAEDAH IQHAT (IQRA HATTAWIYAH)
ROKIAH BINTI ABDULLAH, NURULFAZILAH BINTI ISMAIL, SARIPAH BINTI CHAT, ROSMINA
BINTI ABU BAKAR
Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2), Jalan P9A Presint 9 62250 Putrajaya
[email protected]
ABSTRAK
Kaedah Hattawiyah merupakan kaedah membaca al-Quran dengan berpandukan tulisan rumi yang sering
diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran di sekolah-sekolah Malaysia. Namun begitu masih
terdapat murid dalam Tahun 6 yang masih membaca Iqra kerana kesukaran mengenal huruf dan baris. Masalah ini
menyebabkan mereka tidak dapat meningkatkan tahap bacaan Iqra mereka. Hal ini membuatkan pengkaji merasa
terpanggil untuk membaiki amalan pengajaran dengan menghasilkan kaedah IQHAT iaitu Iqra Hattawiyah. Iqra
Hattawiyah adalah Iqra 1 hingga Iqra 6 yang dirumikan pada kalimah-kalimah di dalam baris-baris yang tertentu.
Tinjauan awal yang telah dibuat terhadap seorang peserta kajian dari kelas 6 Arif yang masih membaca Iqra 2
menunjukkan dirinya cepat lupa dan sangat lemah untuk menyebut huruf Hijaiyyah serta kalimah-kalimah yang
berbaris. Pengumpulan data dibuat melalui kaedah pemerhatian dan analisis dokumen. Pelaksanaan kaedah IQHAT
ini dijalankan dalam sesi kelas bimbingan bersama murid dalam tempoh 27 hari. Aktiviti ini dijalankan selama 1 jam
pada setiap sesi mengikut kemampuan murid. Hasil kajian menunjukkan murid berjaya membaca Iqra dengan baik
walaupun pada bahagian kalimah yang tidak mengandungi Hattawiyah. Melalui kaedah IQHAT ini, murid bertambah
yakin ketika membaca Iqra. Secara umumnya, kaedah ini telah meningkatkan tahap bacaan Iqra murid serta memberi
implikasi yang sangat baik terhadap amalan pengajaran guru. Semua guru Tasmik amat wajar menggunakan kaedah
IQHAT ini dalam membantu murid-murid meningkatkan tahap bacaan Iqra mereka.
Kata kunci: Iqra Hattawiyah, IQHAT, Kelas Tasmik, tahap bacaan, huruf Hijaiyyah.
1.0 PENGENALAN
Pengajaran al-Quran berasaskan kaedah Iqra mula diperkenalkan pada tahun 1988 di
Yogjakarta Indonesia bagi mengatasi masalah buta al-Quran. Pengasasnya Haji As’ad Humam
telah menyusun 6 Jilid Iqra dan setelah diuji ianya terbukti berkesan. Oleh kerana itulah, kaedah
Iqra ini telah diterima oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan digunakan sebagai
modul pengajaran dan pembelajaran bagi murid sekolah rendah pada tahun 1995. Kaedah ini terus
digunakan sehingga sekarang sebagai modul asas program j-QAF di seluruh Malaysia (KPM
2004). Melalui kaedah Iqra, jangkaan bagi seseorang murid untuk dapat mengenal dan membaca
huruf-huruf Hijaiyyah al-Quran adalah diantara 3-6 bulan bagi kanak-kanak berumur 4-5 tahun.
Malah ia bersifat lentur dan mudah justeru boleh dipelajari oleh sesiapa, bermula dari kanak-
kanak, remaja, golongan belia bahkan orang dewasa yang belum mahir membaca al-Quran akan
dapat dan mampu membacanya (Norsyida, 2014).
Disamping itu, kelas Tasmik yang dijalankan berpandukan Model Tasmik yang telah
diperkenalkan pada tahun 2005 melalui program j-QAF ini bertujuan membimbing dan merekod
perkembangan Iqra dan bacaan al-Quran murid secara individu berdasarkan program yang diatur
1
bagi membolehkan murid khatam al-Quran semasa berada di Sekolah Kebangsaan. Model ini
secara tuntasnya akan membantu meningkatkan tahap bacaan Iqra dan al-Quran murid. Para guru
telah sedaya upaya menjalankan tanggungjawab membantu murid sewaktu kelas Tasmik dengan
membimbing murid untuk mencapai tahap bacaan yang baik. Apatah lagi, kelas Tasmik yang
dahulunya dijalankan diluar waktu Pengajaran dan Pembelajaran telahpun wajib dimasukkan ke
dalam jadual waktu mulai tahun 2015 bagi memastikan objektif kelas Tasmik ini tercapai.
Bilangan nisbah murid bagi seorang guru dalam kelas Tasmik ini juga sangat sebenarnya boleh
membantu murid meningkatkan tahap bacaan Iqra mereka. Dengan kadar nisbah 1:10 iaitu 1 orang
guru untuk 10 orang murid bagi merupakan salah satu kesukaran dan cabaran kepada guru untuk
membantu murid meningkatkan tahap bacaan mereka. setiap kelas, fokus membimbing murid
pasti dapat dicapai. Namun, atas faktor kekurangan guru, nilai nisbah guru dan murid ini tidak
mampu untuk dilaksanakan sepenuhnya di sekolah dan ini. Oleh kerana itu, saya berasa terpanggil
untuk memperbaiki amalan pengajaran saya demi membantu menyelesaikan masalah murid Tahun
6 yang masih membaca Iqra ini.
2.0 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Kelas 6 Arif merupakan sebuah sekolah yang terletak di kawasan bandar. Kelas ini terdiri
daripada 30 orang murid dan seramai 19 orang murid dari kelas ini masih lagi membaca Iqra.
Rata-rata murid di dalam kelas ini juga terdiri daripada golongan keluarga B40 dan agak
ketinggalan dalam soal pembelajaran. Majoriti ibu dan ayah mereka bekerja sendiri demi menyara
keluarga dan tidak dapat memberi tumpuan penuh kepada mereka terutamanya dalam aspek
pendidikan. Saya merupakan salah seorang guru Pendidikan Islam dan telah berkhidmat di sekolah
ini pada bulan Jun, 2017. Selama 3 tahun berkhidmat di sini, antara masalah utama yang menjadi
kegusaran di hati saya adalah masih terdapat murid-murid Tahun 6 yang masih membaca Iqra
pada setiap tahun. Sewaktu mula mengajar Iqra pada awal tahun 2021 dalam Kelas 6 Arif ini,
ternyata masih terdapat 2 orang murid yang membaca Iqra 2. Keadaan ini menjadi lebih mencabar
ketika negara kita dilanda pandemik COVID 19. Kehadiran murid ke sekolah semakin menurun
dan sewaktu kelas dijalankan secara atas talian, terdapat banyak pula halangan lain yang
menjejaskan usaha untuk membantu murid dalam meningkatkan bacaan Iqra mereka.
Penggunanaan kaedah yang tepat dan sesuai merupakan salah satu faktor yang
menentukan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (Fatimah, 2002). Justeru, pendekatan
secara Hattawiyah wajar digunakan dalam kaedah Iqra kerana teknik Hattawiyah yang asal
mulanya berkembang di Wilayah Riau, Indonesia ini didapati sangat sesuai, ringkas dan praktikal
dalam membantu mengurangkan masalah ketidakmampuan murid membaca al-Quran dengan
syarat murid telah lancar membaca rumi. Teknik yang telah diasaskan oleh Dr. Mohd Hatta Osman
ini telah berkembang luas di Malaysia melalui guru-guru Indonesia yang terlibat dalam bidang
pengajaran al-Quran. Ia juga dikembangkan oleh pelajar Malaysia yang belajar di Indonesia (Adel
M. AbdulAziz, 2006). Kaedah bacaan Iqra secara rumi ini juga sangat memerlukan bimbingan
yang terus dari guru agar pelajar tidak terpesong apabila membaca ayat-ayat yang mengandungi
tanwin, sabdu, panjang dan pendek. Pengalaman menggunakan teknik Hattawiyah dalam bidang
Hafazan al-Quran di dalam kelas sebelum ini, menjadikan saya semakin bersemangat untuk
melaksanakan kaedah IQHAT ini.
2
3.0 PENGUMPULAN DATA AWAL
Rajah 1
Analisis rekod Tasmik bulan Jun.
Berdasarkan Rajah 1, analisis rekod Tasmik murid pada bulan Jun menunjukkan terdapat
seorang murid membaca Iqra 3 manakala 2 orang murid masih membaca Iqra 2. Pemerhatian awal
ke atas murid dilaksanakan sewaktu kelas Tasmik dijalankan sejak awal persekolahan 2021
sehingga akhir bulan Jun 2021. Kemudian, perkembangan murid ini dicatat dan direkod untuk
mengenal pasti tahap perkembangan murid. Dengan menggunakan Model Kennis dan MacTaggart
(1988), maklumat perkembangan murid mula direkodkan dan telah menarik minat guru untuk
membantu murid meningkatkan bacaan Iqra. Guru cuba membimbing murid dengan berfokuskan
kaedah Iqra sepenuhnya pada peringkat permulaan.
Melalui pemerhatian saya juga, murid-murid ini didapati sering tidak hadir ke sekolah
disebabkan kebimbangan COVID 19 lalu tidak dapat mengikuti kelas Tasmik. Tambahan lagi,
ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kebanyakkan murid juga dikenalpasti
sering tidak hadir kelas PdPR Tasmik secara atas talian yang dijalankan oleh sebab tiada
kemudahan peranti dan ibu bapa mereka bekerja. Oleh itu, guru tidak dapat untuk meneruskan
proses bimbingan kepada murid termasuk mengetahui dan merekod perkembangan tahap bacaan
terkini murid. Situasi ini amatlah membimbangkan kerana sepatutnya apabila murid telahpun
berada di Tahun 6, mereka telah membaca al-Quran ataupun telah Khatam al-Quran. Keadaan ini
membuatkan saya semakin tidak tenang dan risau kerana melalui dapatan dari kelas Tasmik, saya
dapati murid-murid yang masih di tahap Iqra 2 ini juga masih belum dapat meningkatkan tahap
bacaan mereka serta masih belum mengenal huruf-huruf Hijaiyyah.
3
Rajah 2
Maklum balas murid tentang kesukaran untuk membaca Iqra.
Berdasarkan Rajah 2, murid telah memberikan maklum balas tentang kesukaran untuk
membaca Iqra sebelum ini iaitu “tak reti baca”. Melalui pemerhatian guru dari sudut yang lain
juga, murid dilihat tidak mampu untuk mengingat isi pembelajaran. Mereka dilihat cepat lupa
dengan apa yang telah dipelajari. Hasil maklumat yang saya dapati dari guru-guru yang pernah
mengajar kelas Tasmik murid-murid yang masih membaca Iqra ini juga, memang terdapat murid
yang masih tidak dapat menyebut huruf Hijaiyyah berserta baris dengan betul dan kerana itulah
guru-guru tidak dapat menaikkan tahap bacaan Iqra mereka. Hal ini sudah tentunya berkait rapat
dengan pengakuan jujur murid ini.
Disamping itu, saya juga turut mendapati murid-murid ini tidak dapat memberikan respon
yang baik sewaktu kelas berjalan. Tidak memberikan respon yang baik di sini bermaksud, murid
tidak yakin untuk membaca, menunjukkan wajah yang gusar, takut dan tidak bersemangat untuk
membaca Iqra dihadapan guru. Apatah lagi sewaktu Kelas Tasmik dijalankan secara atas talian,
murid dilihat terus tidak hadir ke kelas Tasmik. Saya merasakan, mereka sebenarnya merasa malu
kerana menyedari ketidakmampuan mereka membaca Iqra tidak seperti rakan-rakan mereka yang
lain. Perasaan rendah diri ini semakin menjadi-jadi apabila mereka masih kekal berada di tahap
bacaan Iqra yang sama. Oleh kerana itu, saya ingin memberi perhatian kepada semua masalah ini
dan cuba mencari satu solusi agar masalah ini dapat diatasi. Sejujurnya saya merasa amat kasihan
dan sedih dengan keadaan murid-murid ini dan atas sebab inilah saya bersama rakan-rakan guru
sedaya upaya menghasilkan Iqra Hattawiyah ataupun IQHAT demi untuk membantu murid-murid
ini. (Lampiran 1)
4.0 FOKUS KAJIAN
Setelah mengajar Tahun 6 Arif, selain bertanggungjawab dengan murid yang masih
membaca Iqra 2, mereka juga sebenarnya tidak mengenal dan tidak dapat menyebut huruf
Hijaiyyah dengan betul. Menurut Mascle (2006) salah satu cara untuk berjaya dalam membaca
perlu mengecam huruf. Oleh sebab itu, saya memberi fokus kepada murid yang berada di tahap
Iqra 2 yang masih belum mengenal huruf Hijaiyyah. Masalah ini berjaya dikenal pasti selepas saya
mengadakan Ujian Lisan membaca huruf Hijaiyyah berbaris atas dari Iqra 1. Antara huruf-huruf
yang masih tidak dapat dikenali dan disebut dengan betul adalah huruf ب ص ض ط ظ ف ق ک ل م ن
و ه ء. Jadi, fokus dalam kajian ini juga adalah untuk membantu peserta kajian meningkatkan tahap
bacaannya dan dalam masa yang sama, peserta kajian dapat menyebut huruf-huruf Hijaiyyah
dengan betul. Selain itu, fokus juga turut diberi kepada bacaan tajwid yang betul kerana setiap
4
tahap Iqra mengandungi bacaan tajwid yang berbeza seperti Iqra 2 yang mengandungi bacaan Mad
Asli. Peserta kajian perlu dibimbing untuk menyebut Mad Asli dengan betul disamping berjaya
menyebut huruf Hijaiyyah dengan tepat. Ketika peserta kajian membaca Iqra 4 misalnya, cara
bacaan akan tertumpu kepada bacaan Tanwin pula. Ketika peserta kajian membaca bacaan ini,
peserta kajian turut dipastikan kekal dapat menyebut huruf Hijaiyyah dan membaca Mad Asli
dengan betul. Proses bimbingan bacaan tajwid yang betul dengan berpandukan kaedah IQHAT
bersama bimbingan dari guru ini memberi sepenuh keyakinan kepada saya bahawa masalah murid
Tahun 6 yang masih membaca Iqra 2 ini akan dapat diatasi.
5.0 OBJEKTIF DAN SOALAN KAJIAN
Kajian ini dijalankan berdasarkan objektif berikut:
5.1 Objektif umum:
Kajian ini dijalankan untuk membantu meningkatkan tahap bacaan Iqra murid 6 Arif melalui
kaedah IQHAT.
5.2 Objektif khusus:
1. Membantu murid menyebut huruf-huruf Hijaiyyah dengan tepat.
2. Membantu murid membaca kalimah berbaris dengan bacaan dan tajwid yang baik.
3. Membantu meningkatkan minat murid untuk membaca Iqra dan al-Quran.
5.3 Persoalan Kajian
Kajian yang dijalankan ini akan menjawab persoalan kajian yang berikut:
1. Adakah kaedah IQHAT membantu meningkatkan tahap bacaan Iqra murid.
2. Bagaimana kaedah IQHAT membantu murid membaca Iqra dengan bacaan dan tajwid yang
baik.
3. Sejauh mana kaedah IQHAT meningkatkan minat dan tahap bacaan Iqra murid.
6.0 PESERTA KAJIAN
Peserta kajian yang dipilih ialah seorang murid daripada 2 orang murid kelas 6 Arif yang
masih membaca Iqra 2. Peserta kajian ini dipilih kerana tahap bacaannya adalah yang paling
rendah berbanding murid yang lain disamping masih tidak mengenal beberapa huruf Hijaiyyah
serta tidak dapat membaca dengan bacaan tajwid yang baik. Selain itu, peserta kajian sendiri
sangat berminat dan bersetuju untuk mengikuti kelas IQHAT yang mahu dilaksanakan. Paling
penting, ibu bapa peserta kajian turut bersetuju dan memberi sokongan penuh kepada usaha ini.
Ini kerana, kelas ini hanya akan dijalankan secara atas talian dan memerlukan kerjasama yang jitu
kerana sepanjang kelas PdPR dijalankan mulai akhir bulan Jun 2021, peserta kajian memang tidak
pernah mengikuti kelas Tasmik secara atas talian yang telah dijalankan berbanding murid lain.
Persetujuan bersama berjaya dicapai apabila kelas ini akan dijalankan pada waktu malam
berikutan ibu bapa peserta kajian ini bekerja pada waktu siang. Sebenarnya, seorang lagi peserta
kajian turut dipilih dan telah mendapat persetujuan dari ibu bapanya. Namun, setelah cuba
diadakan kelas beberapa kali bersama murid ini, murid ini didapati tidak dapat memberi kerjasama
serta tidak bersungguh-sungguh. Murid ini banyak bermain-main dan tidak menyertai beberapa
siri kelas yang telah dijalankan dan lebih menyukarkan lagi, guru tidak dimaklumkan langsung
5
dengan sebarang sebab tentang ketidakhadiran murid ke dalam kelas. Memandangkan masa yang
amat terhad, keputusan telah diambil untuk memberi fokus kepada seorang murid sahaja bagi
melihat sejauh mana keberkesanan kaedah IQHAT kepada peserta kajian dan implikasinya
terhadap amalan pengajaran guru.
7.0 TINDAKAN YANG DIJALANKAN
Rajah 3
Gelungan Kajian Tindakan Kemmis & MacTaggart, 1988.
Rajah 3 menunjukkan model kajian tindakan yang saya gunakan dalam kajian tindakan ini
adalah mengikut Model Kemmis & MacTaggart (1988) yang telah diubah suai daripada idea
Lewin. Dalam Model Kemmis & MacTaggart (1988), kajian tindakan akan melalui empat langkah
iaitu refleksi, merancang, bertindak dan memerhati. Oleh kerana dalam Model Kemmis & Mac
Taggart (1988) ini terdapat gelung kajian tindakan, maka saya akan melakukan gelungan kedua
untuk penambahbaikan dan pemantapan agar sesi pengajaran dan pembelajaran saya akan menjadi
lebih baik dan cemerlang.
Dalam kajian tindakan ini, saya berusaha untuk mengenal pasti kesukaran peserta kajian
untuk membaca Iqra dan sejauh manakah kemampuan peserta kajian dalam membaca Iqra pada
peringkat permulaan. Saya menguji bacaan peserta kajian dalam menyebut huruf-huruf Hijaiyyah
terlebih dahulu. Kemudian saya cuba memperkenalkan teknik Hattawiyah kepada peserta kajian
sebelum saya menggunakan kaedah IQHAT secara sepenuhnya di dalam kelas Tasmik. Saya juga
cuba membiasakan peserta kajian dengan teknik Hattawiyah dan seterusnya saya membiasakan
pula peserta kajian tentang cara untuk membaca IQHAT dengan mendahulukan kalimah Arab
sebelum merujuk kepada kalimah yang berhattawiyah.
6
7.1 PERANCANGAN TINDAKAN
Jadual 1
Jadual Pelaksanaan Kajian Tindakan
BIL AKTIVITI TARIKH
1 Mengenal pasti masalah Minggu akhir Jun 2021
2 Merancang tindakan Minggu pertama Julai 2021
3 Ujian Lisan 1
4 Melaksanakan proses IQHAT 15 Julai 2021
5 Strategi menggunakan Kaedah IQHAT 18 - 20 Julai 2021
6 Refleksi kajian 21 Julai – 21 Ogos 2021
7 Penulisan Laporan Kajian Tindakan 21 -22 Ogos 2021
23-26 Ogos 2021
Bagi memastikan kajian ini dapat berjalan dengan lancar, saya telah merangka sebuah
Jadual Pelaksanaan Kajian Tindakan seperti Jadual 1. Pada akhir bulan Jun, masalah dikenal pasti
dan seterusnya merancang tindakan yang wajar dilakukan untuk membantu murid yang masih
membaca Iqra 2 ini. Ujian Lisan dijalankan pada 15 Julai bagi mengenal pasti huruf-huruf
hijaiyyah yang tidak mampu disebut dengan betul oleh murid serta mengenal pasti tahap bacaan
murid. Manakala untuk pelaksanaan dan strategi penggunaan kaedah IQHAT untuk murid pula,
saya telah merancang dan bersepakat bersama guru-guru yang lain untuk bersama-sama
menyiapkan IQHAT yang akan digunakan dalam kelas Tasmik bersama peserta kajian.
Kesemua Iqra dirumikan secara berperingkat mulai 19 Julai 2021 dan bahagian yang akan
dibaca oleh murid mestilah telah siap dirumikan sebelum kelas bermula. Kelas ini dianggarkan
berjalan dalam tempoh tidak lebih sebulan dan bacaan peserta kajian pula tidak melebihi 5 muka
surat pada setiap sesi. Kelas yang dijalankan pada waktu malam ini juga mestilah mendapat
persetujuan oleh peserta kajian dan ibu bapanya. Kelas ini akan dijalankan dengan menggunakan
aplikasi Google Meet untuk memudahkan guru berkongsi paparan IQHAT yang telah disediakan.
Guru juga akan merakam kesemua sesi yang dijalankan bagi tujuan pengumpulan data secara
pemerhatian, analisis dokumen dan audio. Kesemua dapatan akan direkod di dalam borang khas
yang telah disediakan. Saya dan peserta kajian juga telah bersetuju untuk memulakan penggunaan
kaedah IQHAT bermula dari tempat bacaan semasa murid iaitu Iqra 2 muka surat 18 mulai tarikh
21 Julai 2021.
7.2 PELAKSANAAN TINDAKAN
Kajian tindakan ini telah dilaksanakan dalam tempoh 2 bulan lebih iaitu bermula dari 21
Jun 2021 sehingga 26 Ogos 2021. Kelas yang diadakan pada setiap hari termasuk hari Sabtu dan
Ahad ini, telah mendapat keizinan dan persetujuan ibu bapa peserta kajian. Kelas yang dijalankan
pada waktu malam ini turut memperuntukkan masa hampir satu jam bagi setiap sesi tasmik dan
pembelajaran. Bagi menjalankan intervensi ini, kami memperuntukkan masa selama 1 jam ini
dengan sebaiknya. Sebelum kelas dimulakan, saya akan memastikan terlebih dahulu, Iqra yang
akan dipelajari oleh peserta kajian telahpun siap dirumikan. Ini bagi memastikan kelas akan
berjalan dengan lancar.
7
Rajah 4
Contoh muka surat yang mengandungi kalimah yang dihattawiyahkan serta dibiarkan.
Berdasarkan Rajah 4, kita boleh lihat tidak semua bahagian dan kalimah di dalam muka
surat ini dirumikan. Kami hanya merumikan separuh baris sahaja atau hanya pada kalimah yang
kami rasakan agak sukar untuk dibaca oleh peserta kajian. Kami memang sengaja tidak
merumikan semua baris atau kalimah itu kerana kami mahu peserta kajian boleh membaca sendiri
demi untuk menimbulkan keyakinan dalam diri. Untuk bahagian Iqra 1, 2 dan 3, cara kami
merumikan kalimah adalah bermula dari kanan ke kiri dan diletakkan di atas kalimah yang
berbaris itu. Ini bertujuan untuk membantu murid cepat ingat dan tidak mudah lupa huruf tersebut.
Manakala bagi Iqra 4, 5 dan 6, kaedah merumikan kalimah atau ayat yang dipilih adalah bermula
dari kiri ke kanan mengikut kaedah penulisan rumi seperti biasa.
Ketika kali pertama kelas diadakan, saya memperkenalkan kaedah IQHAT kepada peserta
kajian terlebih dahulu serta menjelaskan usaha guru-guru merumikan Iqra ini demi membantu
murid. Peserta kajian perlu maklum tentang adanya bahagian yang dirumikan dan ada juga
bahagian yang tidak dirumikan. Tujuannya adalah untuk memastikan peserta kajian telah bersedia
dan cuba membaca dengan sedaya upaya apabila dirinya perlu membaca kalimah yang tidak
dirumikan. Selain itu, saya juga turut menjelaskan bagaimana kaedah bacaan bagi setiap Iqra
contohnya seperti bacaan dalam Iqra 2 yang memfokuskan bacaan Mad Asli. Bacaan Taa, Tii,
Tuu misalnya, perletakan dua huruf vokal rumi disebelah huruf konsonan ini menunjukkan
kalimah tersebut perlu dibaca dengan dua harakat. Jika terdapat satu huruf vokal sahaja di tepi
huruf konsonen seperti Ta, Ti, Tu, maka ianya hanya perlu dibaca pendek. Inilah yang perlu
diperkenalkan dan diingatkan kepada peserta kajian ketika peserta kajian cuba membaca kalimah
dengan berpandukan kaedah Hattawiyah. Sasaran yang diletakkan bagi membuktikan peningkatan
tahap bacaan Iqra peserta kajian ialah peserta kajian boleh mencapai tahap bacaan Iqra 4 selepas
sebulan kelas dijalankan. Tempoh pelaksanaan kelas yang tidak melebihi tempoh sebulan ini
dirasakan amat singkat dan adalah tidak wajar untuk meletakkan sasaran yang terlalu tinggi bagi
peserta kajian.
8
Rajah 5
Pelan Intervensi pelaksanaan kelas Tasmik melalui kaedah IQHAT.
PROSES PELAKSANAAN REFLEKSI BERSAMA
HATTAWIYAH IQRA KELAS TASMIK
• Memberi motivasi dan
OLEH GURU • Murid baca Iqra dengan pujian kepada murid.
kaedah IQHAT.
• Iqra 1 • Memberitahu peserta
• Iqra 2 • Guru bantu dan bimbing. kajian tentang
• Iqra 3 perkembangan positif dan
• Iqra 4 • Guru catat perkembangan penambahbaikan yang
• Iqra 5 murid dan rakam melalui boleh dibuat dalam
Google Meet. bacaannya.
Kami turut menyediakan intervensi bagi memastikan kelas yang menggunakan kaedah
IQHAT ini berjaya dijalankan dengan sebaiknya seperti Rajah 5. Proses pembelajaran melalui
kaedah IQHAT akan bermula seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini iaitu guru merumikan
kalimah di dalam Iqra terlebih dahulu mengikut bacaan yang akan dibaca oleh peserta kajian.
Kemudian, setiap kali kelas dijalankan peserta kajian akan membaca Iqra Hattawiyah dengan
bantuan dan bimbingan guru serta memastikan kelas yang dijalankan bagi setiap sesi ini dirakam.
Tindakan paling penting yang mesti dilaksanakan oleh guru ialah membuat refleksi bersama
dengan peserta kajian sejurus kelas tamat. Guru mesti memberi komentar yang membina yang
penuh dengan motivasi dan pujian atas usaha peserta kajian serta memberitahu kepada peserta
kajian dimana tempat bacaan yang boleh diperbaiki dan dipertingkatkan bacaannya. Setiap perkara
ini wajib dijalankan bagi mencapai objektif kajian tindakan ini. Intervensi inilah yang menjadi
kayu ukur untuk menilai tahap bacaan peserta kajian dalam menilai keyakinan diri mereka dan
merekod sejauh mana mereka boleh meningkatkan tahap bacaan melalui kaedah IQHAT.
8.0 DAPATAN KAJIAN
Rajah 6.1
Tahap bacaan Iqra peserta kajian sebelum kajian tindakan dilaksanakan.
IQRA 2
9
Rajah 6.2
Tahap bacaan peserta kajian selepas kajian tindakan dilaksanakan.
IQRA 5
Rajah 6.1 menunjukkan pengakuan tentang tahap bacaan Iqra peserta kajian sebelum
kajian tindakan dilaksanakan. Manakala Rajah 6.2 pula menunjukkan bacaan terkini yang dibaca
oleh peserta kajian selepas kelas Tasmik yang menggunakan kaedah IQHAT dijalankan selama
27 hari. Pada tanggal 18 Ogos 2021, peserta kajian telah menunjukkan tahap bacaan Iqra yang
sangat baik dan mengejutkan iaitu berada di tahap Iqra 5 pada muka surat 20. Rekod bacaan
bersama peserta kajian boleh dilihat pada Lampiran 2. Sasaran guru kepada peserta kajian sebelum
ini hanyalah mencapai tahap Iqra 4 sahaja. Lebih menarik lagi sewaktu kali kedua kelas Tasmik
yang menggunakan kaedah IQHAT ini dijalankan, peserta kajian telah meminta sendiri kepada
guru untuk membaca sehingga Iqra 5 kerana seronok dapat membaca kalimah yang berpandukan
Iqra Hattawiyah. Guru bersetuju dengan permintaan peserta kajian dan bersedia untuk
membantunya sehingga dia boleh membaca sendiri namun tidak bercadang untuk mengubah
sasaran yang telah guru ditetapkan.
Jadual 2
Peningkatan peserta kajian dalam mengenali huruf Hijaiyyah
Tahap bacaan Huruf Hijaiyyah yang sukar dibaca Catatan
IQRA 2 oleh murid tanpa Hattawiyah.
IQRA 3 بصضطظفقکلمنوهء 14 huruf tidak dapat dibaca
IQRA 4 dengan tepat oleh murid.
IQRA 5 ضفق Tinggal 3 huruf yang masih
keliru untuk disebut.
فق Murid keliru hanya pada 2
huruf ini sahaja.
Murid keliru antara huruf مdan هpada Hanya pada Iqra 5, murid
muka surat 1-5 sahaja. keliru untuk membaca
kedua-dua huruf ini
disebabkan bentuknya yang
nampak sama.
10
Jadual 2 memaparkan dapatan kajian bagi objektif pertama iaitu membantu murid
menyebut huruf-huruf Hijaiyyah dengan tepat. Proses mengenalpasti kemampuan peserta kajian
membaca dengan tepat bagi huruf-huruf Hijaiyyah berbaris ini dilakukan ketika peserta kajian
membaca kalimah-kalimah tanpa Hattawiyah. Peserta kajian perlu membaca sendiri kalimah
tersebut dan guru mencatat segala dapatan dari bacaan. Walaupun pada tahap Iqra 5 peserta kajian
masih keliru dengan sebutan huruf Mim dan Ha, masalah ini dapat diatasi selepas guru
mengingatkan murid tentang perbezaan bentuk bagi kedua-dua huruf tersebut.
Jadual 3
Bacaan Tajwid yang dicapai peserta kajian
Tahap Fokus bacaan Catatan
bacaan
Iqra 2 Bacaan baris satu Peserta kajian dapat
Iqra 3 Bacaan Mad Asli (huruf Alif) membaca kesemua
Bacaan Mad Asli (huruf Ya) jenis bacaan ini
Iqra 4 Bacaan Mad Asli (huruf Wau) dengan bantuan
Bacaan Mad Asli (huruf Alif, ya dan IQHAT dan boleh
Iqra 5 wau) membaca sendiri
Bacaan Tanwin bacaan yang
Bacaan Mad Lin mengandungi hukum
Bacaan Mim sakinah Tajwid dengan baik
Bacaan Nun Sakinah walaupun tanpa
Bacaan Qalqalah Hattawiyah sehingga
Bacaan huruf-huruf sakinah muka surat 20, Iqra 5.
Bacaan huruf sakinah bagi huruf Bacaan hukum Mad
Hamzah, ‘Ain, Kaf dan Qof. Asli adalah hukum
Bacaan alif wasol bacaan yang sering
Bacaan ketika waqaf diperbetulkan oleh
Bacaan Mad (panjang) guru ketika murid
Bacaan nun dan mim bersabdu membaca Iqra 2
Bacaan sabdu sehingga Iqra 5.
Jadual 3 pula menunjukkan dapatan kajian bagi objektif yang kedua iaitu membantu murid
membaca kalimah berbaris dengan bacaan dan tajwid yang baik. Apabila peserta kajian dapat
membaca kalimah berbaris dengan bacaan dan tajwid yang betul, ini menunjukkan bacaan peserta
kajian sangat bagus dan boleh dinaikkan tahap Iqranya. Ini kerana tahap bacaan yang meningkat
bukan hanya memfokuskan tahap peningkatan Iqra semata-mata tetapi juga melihat kepada kualiti
bacaan peserta kajian. Sewaktu peserta kajian membaca setiap bahagian bacaan ini, guru perlu
membimbing peserta kajian dengan hukum bacaan itu terlebih dahulu dan bagaimana untuk
melafazkan mengikut IQHAT yang telah disediakan.
Rajah 6.3
Peserta kajian semakin yakin untuk membaca al-Quran
11
Rajah 6.3 pula menunjukkan dapatan kajian bagi objektif yang ketiga iaitu membantu
meningkatkan minat murid untuk membaca Iqra dan al-Quran. Maklum balas yang diberi oleh
peserta kajian dengan menyatakan bahawa dirinya semakin yakin untuk membaca al-Quran ini
boleh disokong dengan kesungguhan yang telah dinyatakan oleh peserta kajian kepada saya iaitu
peserta kajian ingin menghabiskan bacaan Iqra pada tahun ini juga dan mahu segera membaca al-
Quran. Hal ini pastinya dapat membuktikan yang peserta kajian sangat gembira mempelajari Iqra
dengan menggunakan kaedah IQHAT ini. Selain itu, peserta kajian juga bersungguh-sungguh
mengangguk tanda bersetuju apabila guru meminta dirinya menambah bilangan muka surat untuk
dibaca. Peserta kajian juga pasti selalu mengingatkan guru supaya merakam bacaannya pada setiap
sesi bacaan dalam kelas Tasmik. Pernah sekali berlaku, keadaan dimana guru terlupa untuk
merakam bacaan peserta kajian, peserta kajian didapati kurang bersemangat sewaktu membaca
IQHAT. Rupa-rupanya, dengan merakam setiap sesi bacaan membuat peserta kajian merasa lebih
seronok dan teruja. Situasi ini berlaku pada hari Rabu, 28 Julai 2021.
Kesemua dapatan kajian ini telah menjawab segala persoalan kajian yang dinyatakan.
Kaedah IQHAT dilihat telah membantu meningkatkan tahap bacaan Iqra murid termasuk memberi
keyakinan kepada murid. Kaedah IQHAT ini terbukti sangat membantu murid dalam membaca
Iqra dengan bacaan dan tajwid yang baik kerana kaedah Hattawiyah ini sangat mudah, jelas dan
mampu dibezakan oleh peserta kajian. Peserta kajian juga dilihat mampu membaca kalimah-
kalimah yang terdapat dalam Iqra dengan betul walaupun tanpa bantuan tulisan Rumi. Ini
membuktikan peserta kajian telah ingat kesemua huruf Hijaiyyah dan boleh membaca kalimah
berbaris dengan bacaan yang betul dan bertajwid. Kaedah IQHAT ini juga telah membuatkan
murid semakin yakin dengan kebolehan diri, tidak merasa malu lagi dengan diri sendiri. Peserta
kajian juga telah melontarkan bacaan dengan kuat dan sangat jelas ketika membaca Iqra 4 dan 5.
Peserta kajian kini bukan sahaja percaya yang dirinya telah berjaya membaca Iqra dengan betul
bahkan telah berjanji dengan guru untuk menghabiskan bacaan Iqra 5 dan 6 pada tahun ini juga
seterusnya bersemangat untuk mula membaca al-Quran.
9.0 REFLEKSI
9.1 Implikasi Terhadap Peserta Kajian
12
Kaedah IQHAT dapat meningkatkan tahap bacaan Iqra peserta kajian daripada Iqra 2
kepada Iqra 5 dalam tempoh 27 hari sahaja. Peserta kajian kelihatan sangat bermotivasi untuk
membaca Iqra kerana berjaya membaca kesemua huruf Hijaiyyah dengan betul. Murid juga sangat
gembira kerana dapat membaca kalimah pelbagai baris dan tanda dengan bacaan dan tajwid yang
baik. Paling penting murid sangat berminat untuk terus membaca Iqra dan mahu menghabiskan
bacaan Iqra sehingga boleh membaca Al Quran.
9.2 Implikasi Terhadap Amalan Kendiri
Kaedah IQHAT dapat menambah baik amalan pengajaran guru dalam kelas Tasmik
khususnya dalam membantu meningkatkan tahap bacaan murid. Terasa satu kepuasan apabila
seorang murid yang sebelum ini langsung tidak pandai dan yakin boleh membaca kalimah dalam
Iqra akhirnya berjaya membaca sendiri dengan penuh gembira dan yakin. Sekiranya guru
berhadapan lagi dengan masalah ini, sudah ada jalan penyelesaian yang boleh dilaksanakan
dengan menambah-baik lagi usaha ini. Sebagai seorang guru, saya mahu murid-murid saya
seronok ketika mahu mempelajari al-Quran dan saya akan meneruskan usaha untuk menambah
baik amalan pengajaran saya.
9.3 Implikasi Terhadap Kurikulum
Kaedah IQHAT menjadikan pembelajaran Iqra dalam Kelas Tasmik sesuatu yang
ditunggu-tunggu oleh murid kerana murid boleh membaca sendiri melalui kaedah IQHAT. Jika
sebelum ini, data Iqra Tahun 6 menunjukkan masih ada murid yang membaca Iqra, amatlah
diharapkan melalui Kaedah IQHAT ini, tiada lagi murid Tahun 6 yang masih membaca Iqra
selepas ini. Impaknya kepada Kurikulum j-QAF amatlah tinggi bagi memastikan semua murid
beragama Islam di Malaysia ini menjadi generasi yang celik al-Quran.
10. RUMUSAN
Kaedah IQHAT merupakan salah satu hasil usaha yang sangat wajar diketengahkan kerana
ianya sangat membantu dalam meningkatkan tahap bacaan Iqra murid. Walaupun kaedah
Hattawiyah ini biasa didengar dan digunakan, namun usaha untuk menyediakan Iqra yang telah
siap Hattawiyah masih belum dijumpai. Oleh kerana itulah, kami berusaha menghasilkan IQHAT
ini untuk membantu meningkatkan tahap bacaan Iqra murid kami. Kaedah ini boleh digunakan
oleh mana-mana guru dan boleh disusun sendiri bahagian yang mahu dirumikan mengikut
keperluan murid masing-masing. Pada kajian yang seterusnya saya bercadang untuk memastikan
masalah murid Tahun 6 yang masih membaca Iqra dikesan lebih awal lagi iaitu sewaktu murid-
murid ini berada di Tahun 5. Kaedah IQHAT ini juga boleh digunakan oleh semua murid yang
terbukti sangat lemah kemampuannya dalam membaca Iqra asalkan guru bijak menggunakan
kaedah ini dalam pembelajaran. Saya amat berharap, isu murid Tahun 6 yang masih membaca Iqra
tidak akan ada lagi selepas ini.
13
PENGHARGAAN
Bismillahirrahmanirrahim. Tiada lafaz sebaik ucapan alhamdulillah. Sekalung
penghargaan dan jutaan terima kasih kami deklarasikan kepada Sektor Pendidikan Islam, Jabatan
Wilayah Persekutuan Putrajaya yang banyak memberi bimbingan. Begitu juga kepada Guru Besar
dan Penolong Kanan Pentadbiran sekolah kami yang banyak memberi sokongan dan dokongan.
Begitu juga ahli kumpulan yang sabar bersama menyiapkan tugasan ini seterusnya jutaan terima
kasih yang tidak terhingga buat keluarga dan semua yang terlibat dalam kajian tindakan ini samada
secara langsung mahupun tidak langsung. Semoga kajian tindakan ini dapat memberi manfaat
kepada ummah.
RUJUKAN
Haziyah Hussin & Masitah Ismail. (2018). Keberkesanan Kaedah Al Matien Dalam Pembelajaran
Tilawah al-Quran. FPI. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2004). Buku Panduan Pelaksanaan Program Iqra dan Jawi
Enam Bulan Pertama. Kuala Lumpur: Jabatan Pendidikan Islam dan Moral.
Mohd Mukri Abdullah. (1994). Keberkesanan Iqra sebagai kaedah pembelajaran membaca al-
Quran. Prosisding Isu Semasa Pengajian Quran dan Sunnah. Kolej Universiti Islam
Malaysia.
Norsyida Binti Md Zin. (2014). Kaedah Bacaan al-Quran Teknik Iqra dan al-Baghdadi di Kuala
Lumpur: Kajian Perbandingan. Universiti Malaya.
Sapie Sabilan., Barinah Ibrahim., Suhana Mohamed Lip., Mohamad Fuad Ishak., Siti Nga’ishah
Mohni. (2018). Analisis tahap penguasaan bacaan al-Quran murid Tahun 5 Sekolah
Kebangsaan Sungai Karang berdasarkan Model Khatam al-Quran dan Model Tasmik j-
QAF. Kolej Universiti Islam Selangor.
Syarifah Norshah Bani Syed Bidin., Mohd Shafie Hamzah., Tasnim Abdul Rahman., Kasimah
Kamaruddin., Nik Azeah Nik Azman. (2018). Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran al-
Quran: Kajian di Masjid UNISZA. UKM.
14
LAMPIRAN 1
QR Code Iqra Hattawiyah
15
LAMPIRAN 2
Catatan sewaktu kelas Tasmik yang menggunakan kaedah IQHAT dijalankan.
16
17
LAMPIRAN 3
QR Code Rakaman Kelas Tasmik IQHAT
18