MAKAM TOK SIKAI GUNUNG PASIR : SUATU KAJIAN BERDASARKAN PERSPEKTIF SEJARAH DAN KEPENTINGANNYA KEPADA MASYARAKAT PENGENALAN Kajian ini bertujuan untuk meneliti asal usul dan sejarah kewujudan Makam Tok Sikai yang terletak di sebuah kawasan pengamalan Adat Perpatih iaitu di Gunung Pasir, Kuala Pilah. Semenjak era sebelum kemerdekaan lagi, kajian yang berkaitan dengan makam-makam lama banyak dilakukan oleh para pengkaji baik dari dalam mahupun luar negara. Antaranya, W. Skeat yang mengkaji tentang amalan ilmu hitam dalam masyarakat Melayu pada kurun ke19. Skeat turut membincangkan perihal pemujaan makam-makam purba yang dianggap keramat serta pengamalan ritual dalam kalangan masyarakat Melayu melalui tulisannya yang berjudul Malay Magic yang diterbitkan pada tahun 1900. Tulisan Mohamad Sharif Abbas (1958) pula antara kajian terawal pascakemerdekaan berkenaan makam-makam purba yang diterbitkan dalam bentuk makalah. Mohamad Sharif mengarang sebuah buku yang bertajuk Pusara Pujaan Negeri Sembilan dalam tulisan jawi yang menyentuh berkenaan unsur kekeramatan pada makam-makam purba di Negeri Sembilan yang dianggap ajaib oleh masyarakat tempatan. Penulis lain ialah Mubin Sheppard (1969) yang mengarang rencana berkenaan sejarah Makam Dol Said di Naning, Melaka dan J. Chandran (1973) yang menulis ringkas berkenaan makam lama yang tidak dikenali di Kampung Johor Lama. Antara lain, suatu polemik telah timbul apabila kewujudan sebuah makam purba yang terletak di Tanjung Keling dikaitkan dengan seorang pahlawan Melayu tersohor era Melaka, Laksamana Hang Tuah. Dakwaan ini bertambah kukuh apabila pada tahun 1985, kerajaan negeri Melaka telah mengiktiraf makam purba yang berukuran 16.5 meter tersebut sebagai Makam Hang Tuah. Kajian yang telah dijalankan oleh Nik Hassan (2014) turut menguatkan lagi status makam tersebut sebagai makam pahlawan Melayu tersohor itu. Hujah Nik Hassan (2014) dalam syarahannya antara lain menekankan makam tersebut bukan makam rakyat biasa kerana ukuran panjang makam tersebut yang luar biasa (16.5 meter) selain merujuk kepada tulisan Shellabear dalam Sejarah Melayu yang merakamkan pengebumian Hang Tuah oleh Sultan Mahmud Shah di Tanjung Keling. Walau bagaimanapun, Ahmat Adam (2016) telah menyatakan ketidaksetujuannya berkenaan dakwaan tersebut dan menyifatkan keberadaan Makam Hang Tuah di Tanjung Keling itu hanyalah suatu dongeng tempatan. Beliau menulis satu bab ringkas dalam buku yang bertajuk Antara Sejarah dan Mitos untuk menolak dakwaan yang berkait dengan pahlawan Melayu itu.
Walaupun berlaku ketidakselarian dan kegagalan mencapai kesepakatan antara ahli sejarah dan pengkaji berkenaan pemilik sebenar makam itu, namun daripada perbahasan berkenaan telah tercetus perbincangan ilmiah yang menggalakkan percambahan dan pembugaran ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat. Oleh yang demikian, kajian berkenaan makammakam purba di Malaysia perlu terus giat dijalankan oleh para pengkaji dan penyelidik bagi menjernihkan kekaburan yang timbul serta memalarsegarkan naratif sejarah tempatan di samping merungkai penemuan sejarah yang baharu. Dalam konteks pensejarahan Negeri Sembilan, selain tulisan Mohamad Sharif Abbas (1958), pengkajian mengenai makam dan pusara lama di Negeri Sembilan amat terbatas. Pengkisahan berkisar sejarah makam-makam di Negeri Sembilan hanya berlegar dalam kalangan penduduk tempatan secara lisan dan tidak didokumentasikan dalam makalah ilmiah. Keterhadan dan keterbatasan dokumentasi berkenaan makam-makam ini menyebabkan kekangan serta menyukarkan kajian lanjutan untuk dilakukan oleh para penyelidik moden. Kebanyakan penulisan sedia ada pula hanya menjadi selingan dan sisipan dalam kajian. Justeru, kajian ini adalah bertujuan untuk mengisi kelompongan yang ditinggalkan di samping memperkayakan khazanah ilmiah tempatan.
BIBLIOGRAFI Mohd Fauzan Zuraidi, Zuliskandar Ramli & Shamsuddin Ahmad. (2020). Kewujudan Kota Raja Melewar berdasarkan sumber bertulis dan data lapangan. Jurnal Arkeologi Malaysia, 33(1), 1-13. Ahmat Adam. (2016). Antara sejarah dan mitos. Strategic Information and Research Development Centre. Mubin Sheppard. Makam Dato’ Abdul Said Dato’ Naning. Malaysia dari Segi Sejarah 5(1), Persatuan Sejarah Malaysia. J. Chandran. (1972). Sebuah makam yang tidak dikenali di Kampung Johor Lama: Satu catatan ringkas. JEBAT, 2(1), 103-106.