MENINGKATKAN KELANCARAN PESANAN MAKANAN DI KANTIN
SEKOLAH MENGGUNAKAN APLIKASI CAFE SEBESTA
Maryam Binti Junoh
[email protected]
Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin
[email protected]
SMK Bukit Sentosa
ABSTRAK
SMK Bukit Sentosa beroperasi seperti biasa dengan norma baharu walaupun berada dalam
PKPB. Pihak sekolah perlu menghadkan pergerakan murid di dalam sekolah bagi membendung
penularan jangkitan Covid-19. Justeru, satu inovasi dihasilkan dengan membuat satu sistem
tempahan makanan menggunakan Google Form bagi mengurangkan pergerakan murid ke
kantin. Kajian ini melibatkan 71 orang guru sesi pagi dan guru sesi petang daripada SMK Bukit
Sentosa bagi meningkatkan kelancaran proses pesanan makanan di kantin sekolah dengan
menggunakan Aplikasi Cafe SEBESTA. Pemerhatian terhadap proses pesanan makanan telah
dilakukan, diikuti dengan soal selidik menggunakan Google Form dan diakhiri dengan sesi
perkongsian pengalaman. Hasil kajian mendapati bahawa penggunaan apps Cafe SEBESTA
mendapat respons positif dalam kalangan guru, dan telah memudahkan mereka untuk membuat
pesanan makanan. Apps ini juga telah menyelesaikan masalah murid keluar kelas untuk
menghantar pesanan makanan. Aplikasi ini boleh digunapakai oleh semua sekolah di seluruh
Malaysia dan dijadikan standard tempahan makanan murid dengan pihak kantin. Aplikasi ini
juga boleh dikembangkan untuk digunakan oleh pengusaha restoran atau kedai makan untuk
proses tempahan awal dalam lokaliti yang kecil misalnya taman perumahan.
Kata kunci: aplikasi telefon bimbit, sistem pesanan makanan, aplikasi self-service, Google Form
PENGENALAN
Perkembangan teknologi informasi dan komunikasi telah membawa perubahan yang sangat
besar dalam mencorakkan dunia pendidikan. Seiring dengan perkembangan tersebut kaedah
pembelajaran juga turut berkembang pesat, sama ada dalam pedagogi, medium pembelajaran
mahupun proses pembelajaran. Kemajuan dalam teknologi ini telah memberikan keselesaan dan
memudahkan hidup masyarakat. (Yusron, Wijayanti & Novitasari, 2020).
Menurut Aji (2020), wabak Covid-19 yang merupakan suatu pandemik, telah merencatkan
seluruh aspek kehidupan manusia termasuk pendidikan. Di bidang pendidikan, pengoperasian
sekolah semasa penularan Covid-19 sedang berlaku dalam keadaan waspada dan penuh siap
siaga. Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP)
yang perlu diikuti oleh pihak sekolah, bagi mengelakkan jangkitan daripada berlaku dalam
kalangan warga sekolah. Salah satu aspek penting dalam SOP tersebut ialah penjarakan sosial
dan mengehadkan pergerakan murid di dalam kawasan sekolah. Justeru, murid dikehendaki
duduk di meja sendiri di dalam kelas, serta tidak dibenarkan berkeliaran atau merayau-rayau di
dalam kawasan sekolah.
Menurut Hasan (2020), pemanfaatan teknologi informasi pada masa pandemi ini merupakan
sebuah keniscayaan yang tidak dapat lagi ditolak keberadaannya. Teknologi selalu mengalami
perubahan dan perkembangan pada setiap zaman. Perubahan teknologi ini tentunya
memudahkan semua orang. Penggunaan Google Form telah dipilih adalah salah satu cara untuk
membuat pesanan makanan secara atas talian. Menurut Septiawan (2020), platform ini
umumnya dimanfaatkan untuk mengisi data yang mudah dan efektif. Menambahkan fitur dari
Google Form sangat mudah dan ramah diakses oleh pengguna. Google Form boleh diakses
menggunakan telefon bimbit sekaligus memudahkan guru-guru membuat pesanan makanan
dengan hanya menekan pautan yang teah disediakan.
Menurut Rasidi, Ismail, Yap, & Ishar (2021), pembelian atas talian menjadi pilihan masyarakat
kini kerana tidak perlu keluar rumah serta lebih selamat. Internet telah menjadi platform yang
berkesan dengan kewujudan perniagaan secara elektronik atau e-dagang. Kebanyakan e-dagang
melalui Internet adalah berdasarkan kepada konsep kedai maya dan client server (Kamal, 2013).
Penggunaan tempahan atas talian juga dapat mengelakkan beberapa masalah. Menurut Prastio
(2018), pemesanan menu akan berjalan dengan cepat dan praktis, tanpa melalui proses panjang
serta mengurangi kemungkinan terjadinya kesalahan komunikasi antara pelayan dan pelanggan.
Justeru, pemilihan Google Form telah digunakan dalam penghasilan Aplikasi Cafe SEBESTA di
SMK Bukit Sentosa.
REFLEKSI PdPc
Sesi pembelajaran dalam norma baru sepanjang tempoh PKP telah menggariskan beberapa
peraturan bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 di sekolah. Antara peraturan yang perlu
diikuti ialah murid tidak boleh makan di kantin. Rentetan dari hal tersebut, Unit Hal Ehwal
Murid SMK Bukit sentosa telah merangka satu kaedah pesanan makanan melalui borang
pesanan yang dibuat oleh AJK Unit Cafe SEBESTA.
Pesanan makanan murid perlu dibuat secara berkelompok mengikut kelas masing-masing
menggunakan borang pesanan bercetak yang telah disediakan oleh AJK Cafe SEBESTA. Guru
waktu pertama sesi pembelajaran perlu mengedarkan borang tersebut kepada wakil murid setiap
kelas. Wakil setiap kelas perlu menulis pesanan di dalam borang tersebut secara manual
mengikut menu yang telah dibuat oleh pihak kantin sekolah.
Jadi, setiap waktu pertama sesi pembelajaran murid/ wakil setiap kelas akan keluar ke kantin
untuk menghantar pesanan makanan di kantin. Hal ini telah mengambil masa murid kerana perlu
keluar kelas setiap kali hendak membuat pesanan makanan. Jika masalah ini tidak diatasi akan
menyebabkan proses pembelajaran murid tersebut terganggu. Maka, bagi mengatasi hal ini, satu
kajian tindakan telah dirancang bagi mengurangkan pergerakan murid keluar kelas untuk
menghantar pesanan makanan kelas masing-masing ke kantin.
OBJEKTIF KAJIAN
i) Menambah baik kelancaran proses pesanan pesanan makanan di kantin sekolah
ii) Memperkenalkan Aplikasi Cafe SEBESTA
iii) Menilai keberkesanan Aplikasi Cafe SEBESTA bagi menyelesaikan masalah murid keluar
kelas untuk menghantar pesanan makanan
PERSOALAN KAJIAN
i) Bagaimanakah cara menambah baik kelancaran proses pesanan pesanan makanan di kantin
sekolah
ii) Adakah Aplikasi Cafe SEBESTA dapat memudahkan guru untuk membuat pesanan makanan
murid
iii) Adakah Aplikasi Cafe SEBESTA berkesan bagi menyelesaikan masalah murid keluar kelas
untuk menghantar pesanan makanan
PELAKSANAAN KAJIAN
Kajian ini melibatkan semua kelas sesi pagi dan sesi petang di Sekolah Menengah Kebangsaan
Bukit Sentosa yang mempunyai 67 buah kelas. Rentetan daripada permasalahan yang wujud,
satu inovasi dihasilkan dengan membuat satu sistem tempahan makanan menggunakan Google
Form yang diberi nama Cafe’ SEBESTA bagi mengurangkan pergerakan murid ke kantin.
Maklumat yang terkandung dalam Google Form tersebut ialah paparan menu harian yang telah
ditetapkan oleh pihak kantin, pilihan tingkatan, kelas dan ruangan untuk catatan nama guru yang
membuat pesanan.
Pautan Google Form Cafe’ SEBESTA yang telah siap dijana telah diedarkan kepada semua guru
SMK Bukit Sentosa kerana tempahan makanan tidak lagi dilakukan oleh murid tetapi oleh guru
secara online. Guru mata pelajaran pertama perlu mengisi tempahan makanan murid secara
online dan hantar mengikut masa yang telah ditetapkan.
Data daripada Google Form ini diolah menggunakan Data Studio untuk memudahkan pihak
kantin melihat bilangan tempahan mengikut kelas. Penggunaan Data Studio juga membolehkan
pihak kantin membuat isihan data mengikut tarikh, tingkatan dan juga kelas. Dapatan daripada
Data Studio diakses menggunakan satu ikon di telefon bimbit yang dicipta menggunakan
perisian percuma WebGyser bagi memudahkan pihak kantin mengakses aplikasi tersebut dengan
hanya menekan ikon tersebut sahaja.
Dengan terhasilnya inovasi ini, maka masalah murid keluar kelas dapat dielakkan kerana murid/
wakil hanya perlu keluar kelas pada waktu rehat sahaja untuk mengambil tempahan makanan
beserta bayaran di kantin. Kajian awal untuk menilai keberkesanan Aplikasi Cafe SEBESTA
dilakukan ke atas 26 buah kelas di sesi petang.
Jelaslah bahawa Aplikasi Cafe SEBESTA sangat mudah untuk digunakan malah dapat
membantu Unit Hal Ehwal Murid (HEM) SMK Bukit Sentosa menyelesaikan bila anak murid
keluar kelas untuk menghantar pesanan makanan tu ke kantin.
METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini dilaksanakan menggunakan beberapa metodologi kajian, melibatkan sesi pemerhatian
oleh guru, sesi soal selidik, serta sesi perkongsian pengalaman oleh guru
a) Pemerhatian
Diperhatikan bahawa setiap waktu pertama sesi pembelajaran akan kelihatan ramai murid keluar
kelas menuju ke kantin untuk menghantar pesanan makanan. Selepas menghantar pesanan,
murid berlengah untuk masuk ke kelas. Malah ada yang mengambil kesempatan singgah di
koperasi atau ke tandas. Terdapat kelas yang jauh dari kantin yang menyebabkan murid
mengambil masa yang lebih lama untuk keluar dan masuk semula selepas menghantar pesanan
makanan.
b) Soal Selidik
Sesi soal selidik bersama guru-guru yang mengajar waktu pertama sesi pembelajaran mendapati
pengajaran guru-guru terganggu apabila murid keluar masuk ke kelas untuk menghantar pesanan
makanan. Malah ada murid yang mengambil kesempatan untuk ponteng kelas atau berlengah
untuk masuk ke kelas.
d) Sesi Perkongsian Pengalaman
Perbincangan bersama AJK Cafe SEBESTA melahirkan idea untuk menghasilkan aplikasi yang
mesra pengguna dan membantu mengatasi masalah pesanan makanan secara manual.
Perkongsian bersama rakan guru yang mengajar waktu pertama menyatakan sedikit terganggu
dengan proses keluar masuk murid untuk menghantar pesanan makanan. Guru disiplin juga
memandang serius perkara ini kerana terdapat murid yang mengambil kesempatan untuk
berlengah masuk ke kelas selepas menghantar pesanan makanan
DAPATAN KAJIAN
Hasil soal selidik ke atas 71 orang guru mendapati 64 orang guru mengajar pada waktu pertama
sesi pembelajaran. Mereka perlu mengedarkan borang pesanan makanan kepada murid untuk
membuat tempahan makanan secara manual. Guru-guru ini akan membenarkan murid keluar
kelas sewaktu sesi pembelajaran untuk menghantar pesanan makanan ke kantin sekolah. 70.7%
(47 orang) bersetuju bahawa proses PdPc terganggu dengan murid yang keluar masuk kelas
untuk menghantar pesanan makanan. Ini jelas menunjukkan bahawa majoriti guru kurang selesa
dengan keadaan ini.
Didapati 36 orang guru (50.7%) menyatakan murid mengambil masa antara 3 hingga 5 minit
tempoh masa untuk menghantar pesanan makanan. Manakala 35 orang guru (49.3%)
menyatakan murid mengambil masa antara 7 minit dan lebih untuk kembali semula ke kelas.
Kelewatan murid masuk semula ke kelas menyebabkan proses pembelajaran murid telah
terganggu.
Dapatan kajian setelah Aplikasi Cafe SEBESTA diperkenalkan mendapati tiada lagi murid yang
keluar untuk menghantar pesanan makanan ke kantin sekolah. 98.6% guru (70 orang murid)
bersetuju Aplikasi Cafe' SEBESTA menjimatkan masa untuk membuat pesanan makanan murid.
Malah 100% (71 orang) guru bersetuju bahawa penggunaan Aplikasi Cafe' SEBESTA telah
dapat mengurangkan masalah murid keluar kelas semasa proses PdPc. Majoriti guru (70 orang)
menyatakan penggunaan Aplikasi Cafe' SEBESTA dapat memberi fokus yang lebih kepada
mereka untuk mengajar kerana tiada lagi gangguan murid keluar masuk kelas.
Penggunaan Aplikasi Cafe' SEBESTA lebih efektif dan lebih baik berbanding dengan pesanan
makanan secara manual turut disokong oleh 70 orang guru yang terlibat dalam soal selidik ini.
Hanya seorang guru sahaja yang menyatakan bahawa Aplikasi Cafe SEBESTA ini menyusahkan
kerana guru tersebut tidak suka melihat telefon bimbit ketika berada di dalam kelas, manakala
70 orang yang lain menyokong bahawa Aplikasi Cafe SEBESTA ini telah banyak memudahkan
guru kerana sangat mudah dan menjimatkan masa.
Dapatan kajian juga mendapati majorit guru berhadap agar penggunaan Aplikasi CAfe
SEBESTA ini diteruskan kerana telah menyelesaikan masalah murid keluar kelas ke kantin
untuk menghantar pesanan makanan, malah dapat mengurangkan masalah murid berlengah
untuk masuk ke kelas setelah selesai menghantar pesanan makanan. Perkara ini sebenarnya telah
mengurangkan kes ponteng kelas dalam kalangan murid.
IMPAK KAJIAN
Setelah pengkaji melaksanakan Aplikasi Cafe SEBESTA untuk memesan makanan murid,
masalah murid keluar kelas dapat diatasi. Tiada lagi murid yang keluar ke kantin untuk
menghantar pesanan makanan pada waktu pertama sesi pembelajaran. Murid hanya membuat
pesanan makanan melalui guru subjek sebelum sesi pembelajaran waktu pertama dimulakan.
Melalui penggunaan Aplikasi Cafe SEBESTA ini juga secara tidak langsung dapat mengatasi
masalah murid berlegar di luar kelas. Hal ini sekaligus mengurangkan masalah disiplin dalam
kalangan murid. Penggunaan Aplikasi Cafe SEBESTA turut menyelesaikan masalah murid dari
kelas yang jauh dari kantin lambat masuk kelas.
Hal ini kerana murid tidak perlu lagi keluar ke kantin untuk membuat pesanan makanan. Justeru,
perkara ini dapat membantu murid lebih fokus untuk belajar di dalam kelas.
Jelaslah bahawa Aplikasi Cafe SEBESTA bukan sahaja dapat mengelakkan murid keluar dari
kelas malah dapat mengurangkan masalah disiplin serta membantu murid untuk belajar dengan
lebih selesa di dalam kelas.
RUJUKAN
Yusron, R. M., Wijayanti, R., & Novitasari, A. T. (2020). Pelatihan pembuatan Google Form
bagi guru SD sebagai media evaluasi pembelajaran jarak jauh (PJJ) masa pandemi. Publikasi
Pendidikan, 10(3), 182-188.
https://jurnal.ustjogja.ac.id/index.php/snpep2019/article/download/5711/2767
Hasan, H. (2020). Optimalisasi Google Form Dalam Pembelajaran Bahasa Arab di Era Pandemi
Covid-19. Prosiding Konferensi Nasional Bahasa Arab, 6(6), 181-192.
https://prosiding.arab-um.com/index.php/konasbara/article/viewFile/686/633
Septiawan, F. (2020). Efektivitas penggunaan Google Form dalam pembelajaran daring pada
mata pelajaran pemeliharaan mesin sepeda motor di SMK Negeri 1 Koba. Jurnal Pendidikan
Teknik Mesin, 7(2), 129-135.
https://ejournal.unsri.ac.id/index.php/ptm/article/viewFile/12276/5786
Rasidi, N. A. M., Ismail, N. F., Yap, P. H. Y. A. B., & Ishar, M. I. M. (2021). Cabaran
Perkhidmatan Penghantaran Makanan Semasa Pandemik COVID-19. Malaysian Journal of
Social Sciences and Humanities (MJSSH), 6(5), 1-11.
https://msocialsciences.com/index.php/mjssh/article/download/782/564
Kamal, A. S. (2013). Sistem tempahan makanan dan barang runcit secara atas talian (OoDeli)
(Doctoral dissertation, Universiti Teknologi Malaysia).
http://eprints.utm.my/id/eprint/36548/5/AbidatulShakiraKamalMFSKSM2013.pdf
Prastio, C. E. (2018). Aplikasi Self-Service Menu Menggunakan Metode Scrum Berbasis
Android. Petir: Jurnal Pengkajian dan Penerapan Teknik Informatika, 11(2), 203-220.
https://stt-pln.e-journal.id/petir/article/download/255/307
Aji, R. H. S. (2020). Dampak COVID-19 pada pendidikan di indonesia: Sekolah, keterampilan,
dan proses pembelajaran. Salam: Jurnal Sosial dan Budaya Syar-i.(7), 5, 395-402.
http://amoito-konaweselatan.id/desa/upload/dokumen/Dampak-Covid.pdf
PENGHARGAAN
Pengkaji ingin merakamkan penghargaan kepada Pn. Norhayathi Binti Mohd Don, Penolong
Kanan HAl Ehwal Murid (HEM), Pn Norhayati Binti Kusnin, (Penyelaras Kajian Tindakan
Sekolah kerana telah banyak memberikan bimbingan di sepanjang pelaksanaan kajian tindakan
ini dijalankan.